top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Wujudkah Industri Teater Malaysia?

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 15 Jun 2017.


Persoalan sebegini mungkin sudah diaju oleh ramai orang dan sudahpun dijawab oleh ramai penggiat teater di Malaysia. Kita secara spontan dan rasional sudah mengetahui bahawa industri teater tidak wujud di Malaysia. Jika wujud pun, ia sangat-sangat kecil. Namun, apakah yang membuatkan sesuatu bidang itu sudah layak dipanggil industri?


Teater tidak seperti bidang seni persembahan yang lain. Walaupun ada yang mengatakan teater mirip kepada filem dan televisyen, namun ia sesuatu yang sangat-sangat berbeza. Kita boleh anggap bidang filem dan TV di Malaysia sudah mempunyai industri mereka yang tersendiri. Struktur organisasi mereka lebih tersusun walaupun masih ada kekurangan dan perlu penambahbaikan. Pada tahun 2016, jumlah kutipan tiket untuk filem tempatan sahaja berjumlah RM79,178,688.60 (sumber Finas). Jumlah ini tidak termasuk filem-filem import yang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Sudah tentu dengan jumlah kutipan tiket yang besar ini memberi peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja dalam bidang perfileman di Malaysia. Daripada pengarah, pelakon dan penulis sehingga penjual tiket, promoter dan ramai lagi. Ramai orang mampu memiliki pekerjaan melalui industri perfileman.


Bidang teater tidak seperti filem. Industri teater belum lagi wujud. Majoriti pembikin teater melakukan kerja-kerja teater sebagai aktiviti sampingan. Biasanya mereka mempunyai kerja lain selain bikin teater. Sebelah siang sebagai pengurus, malam sebagai pelakon. Siang sebagai guru, malam sebagai pengarah. Hanya ada sebilangan sahaja yang menjalankan kerja teater sepenuh masa dan bilangan ini sangat sedikit.


Disebabkan industri teater tidak wujud, ke manakah arah graduan-graduan teater seluruh negara akan pergi untuk mendapatkan pekerjaan? Biasanya mereka akan memasuki industri perfileman dan TV. Inilah bidang yang paling mirip dengan teater. Namun, tidak semuanya bertuah menjadi pelakon atau pengarah atau karyawan filem. Ada juga yang menceburi bidang perguruan, menjawat jawatan kerajaan dan banyak lagi kerja-kerja lain yang tiada kaitan langsung dengan seni persembahan. Paling teruk, ada yang menganggur. Isu ini tidak pernah sekali dibincangkan secara terbuka. Masing-masing hanya menumpukan bidang-bidang kritikal seperti perkomputeran, kejuruteraan dan sebagainya berbanding bidang-bidang sains sosial dan kemanusiaan.


Kadar pengangguran yang meningkat daripada 3% kepada 3.5% sejak dua tahun lalu perlu diambil berat oleh semua pihak. Tentunya, graduan bidang seni persembahan termasuk dalam statistik ini dan ketiadaan industri teater sudah tentunya menyumbang kepada perangkaan ini.

Di Malaysia, terdapat banyak universiti awam yang menawarkan pengajian seni persembahan. USM, UiTM, UM, ASWARA, Unimas, UMS dan UPSI. Rata-rata pusat pengajian, fakulti dan akademi ini dibuka sekitar tahun 1990an. Kini, ada di antara pusat pengajian ini sudah berusia hampir 20 tahun. Katakan setiap tahun, mereka mengeluarkan lebih kurang 50 orang pelajar. Mengikut kiraan matematik mudah:


7 Universiti x 20 Tahun x 50 pelajar* = 7000 alumni

*anggaran untuk setiap fakulti yang mempunyai lebih daripada satu jabatan.

*UiTM membuat pengambilan pelajar dua kali setiap tahun pengajian.


Ini adalah anggaran kiraan untuk 20 tahun sahaja dan tidak termasuk graduan daripada akademi negeri (Akademi Seni Melaka, Akademi Teater Perak dll), kolej dan universiti swasta (Sunway College, Lim Kok Wing University dll) dan graduan luar negara. Secara kasar, kita boleh anggarkan bahawa jumlah graduan seni persembahan adalah sekitar 10000 orang (atau lebih) setakat ini di Malaysia. Ini tidak termasuk mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal dan menceburi bidang ini secara sukarela dan sebagainya. Angka ini dilihat sangat besar.


Lebih mendukacitakan, setelah 20 tahun (diulang, 20 TAHUN) penubuhan pusat-pusat pengajian seni di Malaysia, kita masih lagi gagal membina sebuah industri. Kegiatan berteater masih dianggap sebagai kegiatan masa lapang, hobi dan juga aktiviti persatuan. Ia tidak dipandang serius sebagai punca pendapatan utama. Disebabkan itu, ramai penggiat teater menjadikan teater sebagai aktiviti masa senggang dan perlu melakukan kerja lain demi meneruskan hidup. Mereka tidak fokus kepada satu kerja sahaja dan memberi kesan kepada peningkatan kualiti seni budaya di Malaysia secara umum.


Ketiadaan industri membuatkan peningkatan kualiti produksi berkembang dengan sangat perlahan. Sukar untuk kita kesan perubahan yang besar dalam sela satu dekad. Kita boleh lihat sendiri dengan penganjuran Kakiseni Boh Cameronian Arts Award 2016 yang mana jumlah anugerah yang diberikan dilihat berkurangan daripada tahun-tahun sebelumnya. Ini secara kasar menunjukkan banyak produksi yang dipentaskan tidak mencapai kualiti (mengikut standard Kakiseni) sekaligus banyak anugerah tidak diberikan seperti Naskhah Asal Terbaik, Pelakon Utama Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Rekaan Lampu Terbaik dan banyak lagi. Hal ini sesuatu yang merunsingkan sebenarnya kerana berdasarkan kiraan, sebanyak lebih kurang 80 produksi yang dipertandingkan tetapi yang mendapat anugerah terbaik hanya 12 sahaja selain 6 produksi yang digelarkan Best of 2016.


Ketiadaan industri teater juga menjadikan bidang teater sebagai bidang yang tidak kompetetif. Hal inilah sebenarnya yang menjadi punca dan menjadikan tiada peningkatan kualiti yang jelas terhadap hasil karya dan produksi di Malaysia. Kita masih dapat menonton banyak teater dengan pendekatan dan isu lapuk. Bercakap tentang hal-hal yang ketinggalan. Kita masih lagi mementaskan skrip-skrip lama kerana tiada permintaan untuk penghasilan skrip-skrip baharu. Kita masih lagi tidak mahu membayar royalti skrip demi kelangsungan hidup penulis skrip tersebut. Teater kita masih kurang inovasi kerana kurang dana untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.


Industri teater boleh wujud sekiranya kerajaan benar-benar mahu ia jadi kenyataan. Tekad kerajaan untuk membangunkan teater industri perlu besar sebesar kerajaan membangunkan industri permotoran sehingga terhasilnya Proton dan sebagainya. Usaha ini tidak boleh sekerat jalan tetapi perlu dipergiat daripada akar umbi lagi. Mereka telah bina institusi seni yang banyak pada tahun 90an tetapi usahanya terhenti setakat itu sahaja. Tiada tindakan susulan yang diambil oleh pihak lain. Banyak pihak yang akan memperoleh manfaat jika industri teater wujud. Seperti industri lain, akan terdapat golongan hiliran yang dapat manfaat sekiranya industri teater wujud. Industri teater bukan sahaja memberi pulangan dari segi ekonomi tetapi dapat memberi impak terhadap kemajuan intelek, seni dan budaya.


Sudah tentu kerajaan tidak berupaya melakukan ini semua seorang diri. Kerjasama korporat turut diperlukan bagi membina jaringan industri. Insentif cukai perlu wujud dan diberikan kepada syarikat-syarikat korporat yang membiayai dan membina industri teater atau seni persembahan. Dengan wujudnya insentif cukai yang efisyen dan telus, akan banyak syarikat-syarikat korporat membiayai syarikat-syarikat teater untuk menghasilkan produksi-produksi yang berkualiti. Ini sekaligus mengurangkan beban kerajaan untuk membantu membangunkan industri teater kerana tugas ini telah diambil oleh syarikat-syarikat korporat.


Namun buat masa ini, industri teater tidak wujud. Pekerja teater tidak wujud. Yang wujud cuma kegiatan berteater sahaja. Kita gelar mereka yang menceburi bidang ini sebagai penggiat teater dan terma ini digunapakai secara meluas seolah-olah sebagai konsesus bahawa industri teater tidak wujud. Namun disebabkan ramai orang teater bernafaskan mimpi dan cinta, kegiatan berteater masih berterusan. Cuma bak kata orang, mati segan hidup tak mau.

3 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page