top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Tragedi Salmah

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 30 September 2012


Tragedi Salmah merupakah sebuah pementasan yang dipentaskan untuk Penilaian Tahun Akhir (PeTA) ASWARA. Teater ini diarahkan oleh Naque Ariffin dan ditulis oleh Naque Ariffin sendiri bersama Siti Fatimah. Tragedi Salmah merupakan teater terbaik yang dipentaskan pada PeTA 2012 yang lalu dan dipentaskan sekali lagi di Panggung Eksperimen ASWARA pada 27-28 September 2012 yang lalu. Mengekalkan barisan ahli produksi yang sama, teater ini mendapat sambutan pada kedua-dua malam pementasan. Saya tidak sempat hadir ke pementasan pertama dahulu dan hanya menghadirkan diri untuk pementasan semula baru-baru ini.


Sinopsis (dipetik daripada pamphlet)

Tragedi Salmah mengisahkan tentang keberanian Salmah yang sanggup mendedahkan rahsia peribadinya demi memperjuangkan hak kanak-kanak yang dibunuh kejam. Salmah, 26 tahun mengaku kesalahannya melakukan hubungan seks bersama tertuduh iaitu Sham. Kekhilafan Salmah berpunca daripada keluarganya yang tidak memberikan kasih sayang sewajarnya. Salmah dipaksa tinggal bersama atuknya sehinggalah usianya meningkat dewasa. Setelah itu, dia dipaksa berkahwin dengan Zali (seorang yang bisu) yang menyebabkan jiwa Salmah semakin memberontak dan akhirnya terjerumus ke kancah maksiat bersama Sham. Keberanian Salmah sebenarnya memerangkap dirinya. Tuduhan ke atas Sham tidak dapat dibuktikan dan akhirnya kes Salmah terkubur begitu sahaja.


Jika dibaca melalui sinopsis, Tragedi Salmah dikatakan kuat berbaur feminism. Walaubagaimanapun, melalui pementasan saya tidak dapat merasai halwa feminism yang kuat dibawa oleh watak tersebut. Perjuangan Salmah dalam mempertahankan haknya seolah-olah tidak sepenuh hati. Dia hanya reda dalam menjalani kes soal-siasat yang dijalankan dan sekadar mendedahkan rahsianya demi memberi laluan kepada kes pembunuhan kanak-kanak tersebut.


Saya kira, ini bukanlah masalah cerita tersebut tetapi masalah penekanan tema dalam teks tersebut. Tema feminism tidak diangkat dengan baik. Walaubagaimanapun, sekiranya ia adalah sebuah naskhah melodrama, saya percaya ia adalah sebuah pementasan yang baik.


Saya agak terganggu dengan perkataan ‘tragedi’ pada tajuk Tragedi Salmah. Seperti sedia maklum, tragedi di dalam teater membawa konotasi yang sangat besar. Saya sangkakan cerita tersebut mempunyai adaptasi daripada naskhah-naskhah tragedi Yunani daripada struktur ceritanya – mempunyai peripertia, anagnorisis dan pathos yang membulatkan keseluruhan plot cerita. Malah saya kira, jika penerapan struktur plot yang digunakan oleh naskhah Yunani klasik diadaptasi kepada pementasan moden, tentunya memberikan nilai pementasan yang lebih besar. Berkemungkinan idea-idea ini tidak dimasukkan dengan lebih jelas dan sekaligus, stail persembahan ini dilihat tidak nampak begitu konsisten.


Walaubagaimanapun, dari segi persembahan, saya nampak penggunaan korus yang hampir sama dengan korus yang digunakan di dalam teater tragedi Yunani. Hal ini menampakkan kelainan. Adaptasi teater dan subjek kontemporari tetapi diterapkan dengan stail dan gaya klasikal Yunani. Semua tahu penggunaan korus ini dapat memberikan kesan dramatik yang lebih besar berbanding yang dialami oleh watak utama atau sesuatu adegan. Penggunaan korus-korus ini juga memberikan kesan yang sama. Mereka juga didapati memainkan beberapa watak-watak sampingan yang lain sekaligus mengingatkan saya gaya persembahan yang dicadangkan oleh Bertolt Brecht – pelakon yang memainkan banyak watak. Hal ini dilihat konsisten di kebanyakan adegan. Perubahan watak-watak ini hanya dibuat dengan menambah prop, kostum atau sekadar pertukaran gestur badan untuk menjelaskan setiap perwatakan. Kita langsung tidak terganggu dengan watak-watak yang ditampilkan dengan pakaian seragam (merah hitam) untuk pementasan ini kerana telah lebih menumpukan perhatian terhadap aksi lakon tersebut.


Tempo permainan dalam Tragedi Salmah bergerak agak perlahan. Mungkin saya yang berjiwa muda ini tidak cukup sabar dengan adegan yang begitu lambat untuk develop. Pacing dialog-dialognya juga perlahan. Ada energi dari segi vocal tetapi pacing yang agak perlahan.


Melihat kepada keseluruhan pementasan, saya rasa naskhah ini sesuai untuk dijadikan telemovie. Dari segi bentuk persembahan, saya kira ia akan boleh menjadi drama TV yang baik. Jika mahu dipentaskan, saya kira perlu dilakukan beberapa penambahbaikan dari segi struktur cerita. Gaya dan stail itu dah ada cuma tak cukup berani. Saya tak cukup inzal lagi, bak kata hipster.


Tahniah kepada seluruh ahli produksi.

6 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page