top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Teater Malaysia 2017

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2017


Tahun 2017 sudah hampir melabuhkan tirainya. Tahun ini adalah tahun yang mana saya paling aktif menonton teater. Saya tak dapat kira berapa banyak teater yang telah saya tonton, tapi dari segi pengalaman penontonan sepanjang saya bergiat dalam teater, inilah tahun saya banyak menonton teater. Banyak perkara menarik telah berlaku pada tahun 2017. Saya akan menyenaraikan beberapa dan senarai ini tidak disusun mengikut kronologi dan kesukaan. Ada juga acara yang bagus tetapi tidak saya hadiri dan tidak dapat dimasukkan ke dalam senarai ini. Senarai ini adalah antara acara sekitar teater yang saya anggap menarik bagi pandangan saya.


1. BOH Cameronian Arts Award 2016

Memang namanya ada tertulis 2016 tapi acara ini berlaku pada tahun 2017 di mana majlis penyampaian anugerah dijalankan pada tahun 2017. Berlaku banyak cakap-cakap berkenaan dengan format baharu BOH Cameronian Arts Award yang dibuat pada tahun lepas. Rata-rata begitu terkejut dengan pengumuman Best 6. Kumpulan-kumpulan teater kecil dilihat tidak tersenarai dan senarai pencalonan untuk sub kategori juga tidak didedahkan. Beberapa perjumpaan kemudiannya diadakan antara penggiat teater kecil ini (bersama Kakiseni dan juga tidak) untuk berbincang tentang hala tuju teater di KL. Saya turut terlibat dalam banyak perjumpaan dan menyaksikan beberapa luahan perasaan, isu dan masalah yang dihadapi oleh kumpulan teater kecil yang tidak mendapat perhatian. Ramai juga yang semakin meragui penganugerahan ini sehingga ada beberapa kumpulan teater dan perseorangan dengan tegas tidak menghantar penyertaan mereka dengan BOH Cameronian Arts Award.


2. Teater Modular

Teater Bahasa Melayu secara tiba-tiba didatangi seorang penulis baharu, Ridhwan Saidi. Beliau yang sebelum ini telah menulis enam buah novel, banyak cerpen, puisi dan pelbagai esei yang diterbitkan secara mandiri, syarikat penerbitan sendiri dan syarikat penerbitan alternatif. Melalui siri Teater Modular yang pertama, Ridhwan mengejutkan penonton teater di Lembah Kelang dengan empat naskhah playlet yang bercakap dalam humor yang gelap. Ia sesuatu yang jarang berlaku dalam penulisan teater Bahasa Melayu. Tulisannya mempunyai originaliti dan tegas dalam menyampaikan idea yang absurd. Dia tidak langsung berusaha untuk menjadi sesiapa. Beliau kemudiannya dipanggil ke Singapura untuk membuat bengkel teater Modular di sana serta bacaan naskhah yang dianjurkan oleh Teater Ekamatra di Singapura. Bagaimanapun, siri kedua Teater Modular dilihat tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segi kritikan. Tidak banyak percakapan dan tulisan yang secara kritis membincangkan teater tersebut berbanding siri pertama. Namun, kemunculan Ridhwan perlu diberikan perhatian. Ridhwan akan meneruskan siri ketiga Teater Modular pada tahun 2018. Ia bakal dipentaskan pada bulan April nanti. Selain itu, beliau turut akan mementaskan double bill dan sedang menyiapkan sebuah naskhah panjang bertajuk Mautopia.


3. Kandang

Selepas Dato’ Seri yang diadaptasi daripada Macbeth, duo Omar Ali dan Tan Sri Ali Hashim sekali lagi melakukan kerja adaptasi ke pentas. Adaptasi daripada novel George Orwell bertajuk Animal Farm, ia kemudian diangkat ke pentas dengan tajuk Kandang. Kandang dibawa dengan nuansa politik Malaysia dalam nada satira. Walaupun tidak secara terang-terangan mengambil kumpulan politik tertentu sebagai bahan jenaka, namun ia klu-klu yang terdapat di dalam pementasan ini jelas merujuk kepada sebuah parti yang paling dominan dalam negara. Kandang begitu pekat berbicara tentang sejarah pembentukan Malaysia mengikut naratif Barisan Nasional. Melalui pementasan ini, kita dapat melihat kepincangan pentadbiran dan dasar sempit yang begitu selari apa yang diperkatakan oleh Goerge Orwell. Dramaturgi yang dilakukan oleh duo ini begitu menarik menjadikan pementasan ini dilihat kemas dari segi kerja-kerja pengadaptasian. Bukan sekadar itu sahaja, pementasan ini juga adalah pementasan pecah panggung dan dijangka akan dipersembahkan sekali lagi di masa akan datang. Namun, gandingan anak dan ayah ini tidak akan dapat kita lihat lagi berikutan pemergian Tan Sri Ali Hashim pada bulan Oktober 2017. Semoga rohnya dilindungai rahmat Ilahi. Al-Fatihah.


4. Swordfish + Concubine, Bangsawan Dendam Laksamana dan Bahara Emas

Tiga pementasan ini dilihat sebagai sesuatu pertembungan tak sengaja yang menarik. Semua pementasan ini diambil daripada kisah dalam Sejarah Melayu dan dipersembahkan dalam tempoh masa yang berdekatan - cuma selang seminggu dua. Semua teater ini secara tanpa sedar bercakap tentang kepincangan kuasa pembesar dan golongan raja. Apa yang menariknya, tema penyalahgunaan kuasa ini dibuat oleh tiga produksi yang berlainan. Adakah ini sesuatu yang tindakan bawah sedar para karyawan di Malaysia ataupun secara sedar bahawa mereka bersetuju bahawa salah guna kuasa golongan kuasawan sesuatu yang tidak mampu diselindungkan lagi? Sehingga para karyawan mengangkat tema ini ke atas pentas. Swordfish+Concubine adalah yang jelas nada politikalnya, manakala Bangsawan Dendam Laksamana dan Bahara Emas yang dipersembahkan dalam Bahasa Malaysia tidak begitu kuat nada politikalnya. Semoga tahun 2018 semakin banyak teater yang mengambil tahu, mempunyai sikap dan bertegas dalam menyampaikan keresahan rakyat.


5. Throne of Thorns

Saya kira, pementasan ini sesuatu yang mengejutkan dari segi persembahan. Pengarah Norzizi Zulkifli mengambil bentuk persembahan teater tradisional Mak Yong, menggunakan naskhah Shakeskpeare, The Tempest, melakukan pengubahsuaian dan mementaskannya dalam bentuk yang tidak kita kenali lagi – baik Mak Yong ataupun Shakespeare. Bagi tradisionalis, ToT mungkin mencemar warisan budaya. Namun, ToT dengan sengaja 'mencemarkan' warisan untuk mencari bahasa baharu dalam pementasan teater. Ia adalah sebuah pementasan post-modern yang betul-betul mengganggu dan mencabar bentuk persembahan Mak Yong dan Shakespeare yang konvensional. Pementasan ini juga adalah sebahagian daripada syarat pengajian PhD Norzizi Zulkifli ketika menuntut di University of Wollonggong. Kini beliau telah pun menamatkan pengajian PhDnya. Beliau kini sedang mengusahakan pementasan semula Mak Yong Titis Sakti, adaptasi daripada naskhah A Midsummer Night’s Dream karya Shakespeare.


6. Version 2020

Version 2020 adalah sebuah pementasan teater yang telah membuat pementasan perdananya bukan di dalam negara, tetapi di luar negara iaitu Jerman. Pementasan perdana yang dibuat sempena Spielart Festival ini diarahkan oleh Mark Teh yang telah mementaskan beberapa buah teater sebelum ini. Pada tahun 2016, Mark Teh turut mementaskan Baling yang telah menjelajah ke 7 buah bandar besar dunia termasuk di Jepun, Jerman dan India. Penglibatan beliau dalam teater di peringkat antarabangsa seharusnya diberikan perhatian. Version 2020 dijangka akan menyambung siri jelajahnya ke beberapa buah bandar lagi. Walaupun saya belum menonton Version 2020, tapi saya kira ia perlu diletakkan di dalam senarai ini sebagai pencapaian teater Malaysia yang menembus pasaran antarabangsa. Five Arts Centre selaku penerbit teater ini juga semakin sibuk dengan rangkaian antarabangsa. Sebagai sebuah syarikat teater yang prolifik, ia sesuatu yang perlu dijadikan contoh kepada banyak suarikat teater yang kecil dan muda.


Terdapat beberapa pementasan lain yang tidak dapat saya masukkan di dalam senarai ini berikutan saya tidak dapat hadir menonton dan kekurangan maklumat mengenainya. Dikhabarkan Losertown yang dipentaskan di KLPAC antara yang menarik. Riwayat di Georgetown Festival, The Storyteller di Kotak Five Arts Centre dan beberapa lagi.


Senarai ini walaubagaimanapun adalah pandangan peribadi saya sebagai penonton dan pemerhati teater. Mungkin anda sebagai pembaca mempunyai senarai anda sendiri yang berlainan daripada saya. Saya mengalu-alukan pandangan anda. Tahun 2017 melabuhkan tirainya dengan bermacam-macam harapan. Semoga teater Malaysia pada tahun akan datang akan terus berkembang di dalam dan luar negara.

1 view0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page