top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

SeNaPas


*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 17 Mei 2012.


Bagi sesiapa yang selalu menonton teater alternatif sudah tentu mengenali beberapa penggiat teater aktif. Kewujudan institusi pengajian seni memainkan peranan penting dalam mewujudkan golongan ini. beberapa rumah produksi turut muncul bagi menggalakkan penerbitan teater alternatif ini. Antara yang popular adalah Rumah Anak Teater (RAT), Revolution Stage, Playground Production dan banyak lagi. Meski kemunculan kumpulan teater alternatif ini muncul dalam satu period yang hampir sama, hal ini menggalakkan dan membantu menaikkan suasana yang sihat dari segi penulisan karya baharu dan juga penciptaan penonton yang baik.


Baru-baru ini, saya sempat menonton sebuah teater yang diterbitkan oleh Revolution Stage bersama Rumah Anak Teater dengan kerjasama The Actors Studio di bawah program Teater Rakyat. Senapas dipentaskan bermula 15 -19 Mei 2012 di The Actors Studio, Lot 10. Karya ini ditulis dan diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy dan diterbitkan oleh Faisal Mustaffa. 


Sinopsis

Sejarah Nasib Lepas’ (‘SeNaPas’), Razak merupakan anak muda yang dikatakan berpendirian matang yang hadir dari keluarga yang mengamalkan kehidupan yang bertitik tolak dari rasa cinta. Pertemuan Razak dengan Kamariah iaitu guru tuisyennya telah memutikkan sebuah rasa cinta diantara mereka akhirnya merubahkan kehidupan Razak kepada kehidupan yang benar-benar matang. Kamariah yang lebih usia daripada Razak telah berjanji untuk bersama Razak demi cinta mereka walaupun keluarga kedua-dua pihak membantah keras, mereka akhirnya telah bersekedudukan jauh daripada keluarga dan hidup sebagai sepasang suami Isteri yang sah. Maka bermulalah KISAH CINTA BERNAFAS HARAM. Setelah lama bersekedudukan, pada suatu hari Kamariah hamil dan mereka spakat untuk menggugurkan kandungan. Pelbagai kaedah telah dilakukan tetapi semuanya gagal. Suatu hari, saudara Kamariah berjumpa Kamariah dan mengetahui keadaan Kamariah lalu memberitahu keluarganya. Razak dan Kamariah teruk dibelasah oleh keluarga masing-masing. Akhirnya mereka bersetuju membenarkan pasangan ini bernikah sehingga tempoh berpantang tamat kemudian mereka dikehendaki berpisah dan anak itu diserahkan kepada pihak lain. Selepas melahirkan, Kamariah dan Razak seakan berat hati untuk menyerahkan anak mereka dan berharap agar kedua-dua orang tua mereka berubah hati dengan keputusan terdahulu apabila melihat anak mereka.


Teater ini dilakonkan oleh dua orang pelakon iaitu Amerul Affendi dan juga Aznah Mohamed. Nama Amerul Affendi bukanlah nama yang asing dalam pentas teater. Beliau telah muncul dalam banyak pementasan teater di sekitar Lembah Klang dan turut muncul sebagai pelakon TV dan filem. Aznah Mohamed pula mungkin baharu tetapi beliau juga telah muncul di pentas teater sebelum ini dan merupakan graduan teater ASWARA. Teater ini dibantu oleh tiga pemuzik yang muncul di atas pentas sepanjang pementasan.


Senapas membawa isu sumbang mahram. Berbanding karya-karya Khairunazwan sebelum ini yang lebih bersifat politikal, Senapas membawa isu yang lebih dekat dengan sosialnya. Isu yang sering disebut-sebut di dada akhbar diangkat untuk memberikan pengajaran dan moral kepada penonton secara terangan. Khairunazwan kurang bermain dengan simbolik, metafora dan ambiguiti dalam karyanya kali ini. Bentuk tulisannya masih sama dengan karya-karyanya lewat kebelakangan ini. Teknik penceritaan dalam lakonan digunakan sejak karyanya Pokok Kelapa Disayang, Perempuan-perempuan Seorang Wali dan Meta Cinta. Walaubagaimanapun, teknik penceritaan dalam lakonan kali ini dalam Senapas kurang memberi kesan seperti mana karya-karyanya yang terdahulu. Saya terbeban dengan dialog-dialog yang penuh maklumat lantaran kurang aksi-aksi pentas yang memberikan siginifikasi terhadap aksi dramatik sesebuah pementasan. Penceritaan ini gagal memberikan visual-visual menarik terhadap apa yang berlaku kepada kedua-dua watak yang diwujudkan di atas pentas. Segala yang terpancar hanyalah emosi. 


Teknik ini bukanlah satu teknik yang baharu. Kebanyakan teater-teater klasik seperti teater Yunani dan juga Shakespeare turut menggunakan teknik ini sebagai satu cara untuk membuat adegan imbas kembali. Di dalam Oedipus dan Medea, watak Messenger turut menggunakan teknik penceritaan untuk bercerita mengenai segala aksi yang tidak dapat dilihat oleh penonton. Walaubagaimanapun, penceritaan ini mempunyai aksi dramatik yang memberi kesan terhadap aksi dan visual pentas. (Adalah agak keterlaluan membandingkan karya agung ini dengan teater moden kini.) Walaubagaimanapun, perbandingan ini dibuat mungkin boleh dijadikan sebagai contoh untuk tujuan penambahbaikan. A.Samad Said turut menggunakan teknik ini dalam bentuk yang disarankan sebagai dekon (deklamasi dan lakon) di mana pelakon bukan sahaja mendeklamasi sajak tetapi turut membuat aksi lakon. Daerah Zeni adalah prototaip kepada bentuk dekon yang disarankan. Walaubagaimanapun, saya kurang pasti adakah bentuk karya A.Samad Said yang muncul sama bentuknya dengan dan mengikut formula dekon yang diusulkan. 


Berikutan Senapas yang menyentuh isu sosial secara terangan, hawa Brechtian sememangnya dapat dihidu dengan jelas dalam pementasan ini. Brechtian bukanlah dilihat bukan sahaja melalui bentuk (form) tetapi juga isi (content) cerita tersebut. Melalui teater ini, pengarah bertindak sebagai polis moral yang mengajak penontonnya menghentikan aktiviti sumbang mahram. Beliau memberikan sebab dan akibat tanpa berselindung di sebalik retorik pementasan supaya moral cerita ini yang diangkat melebihi apresiasi teaterikal yang membunuh isi pementasan. Penonton diajak untuk tidak mengikuti apa yang dibuat oleh watak-wataknya supaya dapat memberikan impak kepada sosial. 


Dinding keempat diruntuhkan melalui teknik penceritaan ini (narration) di mana pelakon berinteraksi terus kepada penonton (walaupun penonton tidak memberikan respon secara terus). Tiada lagi soliloquy ala Greek dan Shakespeare yang lebih berpusat kepada emosi dan fikiran pelakon. Segalanya dilepaskan kepada penonton supaya penonton aktif berfikir mengenai isu yang disampaikan. 


Verfrumdung effect (v-effect) juga sering berlaku melalui aksi-aksi fizikal yang begitu kontra dengan perlakuan realiti. Ada aksi-aksi yang tidak mengikut aksi-aksi sebenar kita seharian. Aksi-aksi yang telah di-distort-kan dan grotesque menjadikan pementasan ini bukanlah seperti pementasan yang biasa. Masih lagi wujud pencarian makna melalui aksi-aksi yang abstrak. 


Bagi melengkapkan kitaran Brechtian, pada akhir pementasan (saya tonton malam preview) pengarah telah naik ke atas pentas dan memberikan rumusan pementasan ini dan tujuan pementasan ini dibuat. Nah! Ketika inilah pengarah telah membuat kesimpulan dan mengajak audien untuk tidak mengikut apa yang dilakukan oleh watak-watak yang dia munculkan untuk membentuk sosial yang lebih harmoni. Seperti karya-karya Brecht, watak yang merumuskan adegan untuk memberikan kesedaran sosial sentiasa wujud. Emosi penonton akan terpisah sebaliknya pemikiran yang akan mengambil alih pementasan ini supaya memikirkan isu yang diketengahkan itu tadi. Kemunculan pengarah inilah yang saya katakan membawa hawa Brechtian ini. Penonton sudah berhenti beremosi sebaliknya aktif bersoal jawab dengan pengarah dan memberi respon. Dalam sesi soal jawab dengan penonton, ada yang terus bertanya mengenai simbol-simbol yang dimasukkan, peranan pemuzik, isu yang diketengahkan, bentuk (form) yang dieksperimenkan dan pelbagai lagi. 


Sememangnya, dalam teater era post-moden, kita tidak akan lari dari bentuk-bentuk yang disarankan oleh Bertolt Brecht. Brecht memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia teater melalui form dan content yang disarankan. Adalah agak mustahil untuk kita menolak idea dan saranan Brecht. Sekurang-kurangnya kita akan terinspirasi (samada menambah, menolak, membaikpulih) dengan idea-idea kita untuk disesuaikan dengan latar sosial yang semakin mencabar ini. 


Kepada sesiapa yang belum menonton, dijemput hadir menyaksikan pementasan ini. pementasan berlangsung sehingga 19 Mei 2012. Tiket berharga RM30. RM20 untuk pelajar, veteran dan juga OKU. 


Tahniah kepada seluruh ahli produksi. Majulah teater alternatif demi sepotong pizza. LOL!


0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page