top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011


Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya sehingga 31 Disember ini. Teater ini diterbitkan oleh Keno Production iaitu rumah produksi yang sama menerbitkan Sri Mersing pada tahun lepas. Kali ini, formula yang digunakan masih sama dengan pementasan yang lalu iaitu adaptasi filem lama yang mengambil latar penduduk yang mengamalkan gaya hidup Melayu di perkampungan.


Kerja adaptasi sesuatu karya bukanlah sesuatu kerja yang mudah. Biasanya pengadaptasi akan mengekalkan ciri-ciri dominan karya asal supaya roh karya asal tidak jauh ditinggalkan. Adaptasi memerlukan pemahaman yang mendalam dan juga melihat pembaharuan yang ditokok-tambah, atau dibuang-tolak itu sebagai sesuatu yang bersifat lebih segar dan bersesuaian dengan medium yang dipilih. Tidak semua karya-karya boleh diadaptasi secara semberono. Bagi yang memilih untuk mengangkat karya-karya ke atas pentas teater, pastinya karya adaptasi itu memerlukan beberapa perkara yang perlu diambil kira.


Dan bagi melihat karya-karya adaptasi ini, tidak semestinya penonton perlu melihat karya asalnya (dalam kes ini, filem). Sesuatu kerja seni itu seharusnya tidak bergantung pada mana-mana hasil yang sebelumnya. Teater itu sendiri perlu berdiri dengan sendirinya tanpa perlu bantuan daripada pengalaman menonton filem asalnya. Tidak dinafikan bahawa filem Semerah Padi antara filem yang sering menjadi rujukan pelajar perfileman dan juga bahan polemik para akademik. Karya ini dianggap sebagai karya yang agak besar juga. Walaubagaimanapun, pengadaptasi/penulis/pengarah tidak boleh terlalu bergantung kepada faktor ini sahaja memandangkan teater Semerah Padi sudah pula menjadi milik pengkaryanya yang baharu.


Pementasan teater Semerah Padi kurang memberikan pengalaman teater yang baik. Apabila menonton teater, sudah tentu aspek-aspek teaterikal yang menjadi tali pengikat antara audien dengan pentas. Dalam teater ini, aspek-aspek ini kurang diberikan perhatian. Bukan tiada langsung tetapi kurang dan tidak berkesan. Pertama sekali adalah dari gaya lakonan yang masih terikat dengan gaya lakonan TV atau filem. Beberapa watak utama gagal memberikan pesona pentas. Khir Rahman yang memegang watak Aduka kelihatan sebagai seorang protagonis yang terlalu tenang. Interpretasi tenang itu tidak membawa semangat pentas sekaligus menenggelamkan aspek teaterikal itu sendiri. Tidak kurang juga dengan pelakon-pelakon yang lain seperti Anjang Aki (Penghulu), Fauzi Nawawi (Taruna) dan beberapa lagi. Berkemungkinan kesemua mereka adalah pelakon TV dan filem, maka untuk mengawal pentas Panggung Sari yang besar itu kelihatan mereka sangat ditenggelami. Energi pentas mereka yang lemah tidak berjaya memberikan impak yang mendalam terhadap karektor lantaran membuatkan watak yang ditampilkan kelihatan pipih dan tidak bermaya. Walaubagaimanapun, persembahan Fauzi Nawawi adakala memberikan sedikit kelainan, bila bersama dengan kumpulan ensemble. Dia tampak lebih bertenaga berbanding digandingkan dengan pelakon-pelakon utama yang lain.


Memandangkan teater ini mengambil latar masa Melayu tradisional, berkemungkinan adaptasi gaya lakonan bangsawan perlu diterapkan. Terdapat beberapa stock character yang boleh dijadikan contoh untuk memberikan dimensi baharu terhadap karektor-karektor ini seperti Orang Muda, Antagonis (Villain), Puteri dan sebagainya. Mungkin secara lebih tepat teater bentuk ini adalah lebih kepada purbawara. Teater bentuk ini agak popular pada tahun 1950an di mana pada zaman ini merupakan satu era transformasi teater bangsawan kepada realisme. Antara yang paling popular adalah Si Bongkok Tanjung Puteri. Teater purbawara mengambil latar masa Melayu lama tetapi bentuk teaternya tidak mengambil bentuk teater bangsawan. Tiada extra-turn, stock character dan bentuk-bentuk yang menjadikannya sebagai sebuah teater bangsawan. 


Selain itu, terdapat penggunaan watak Korus yang untuk memberikan pengalaman teaterikal. Korus ini digambarkan sebagai superego yang cuba mengawal segala perbuatan watak-watak. Korus ini boleh mengundang kepada perkara keburukan. Fungsi Korus diwujudkan supaya ianya menjelaskan segala apa yang difikirkan oleh watak. Aplikasi Korus ini mungkin dapat membantu shot-shot muka watak dalam filem untuk diterjemahkan di atas pentas. Oleh kerana jarak muka pelakon dengan penonton agak jauh, maka buah-buah fikiran yang bermain di minda watak diperbesarkan (exaggerated) bagi menjelaskannya menggunakan aplikasi tubuh. Pergerakan-pergerakan ini amatlah asing bentuknya bagi latar masa cerita ini dipilih. Hal ini dapat diterima kerana unsur-unsur kelainan inilah yang sebenarnya mewakili perasaan watak-watak tersebut yang kadang-kala terkeluar dari rasional dan moral masyarakat di situ. Walaubagaimanapun, sehingga ke akhir pementasan, Korus kelihatan sudah memberikan sesuatu yang boleh dijangka dan memualkan. Korus yang keluar ini sudah menjadi overuse sehingga membuatkan penonton ketawa apabila watak-watak ini keluar.


Walaubagaimanapun, aspek teaterikal ini tidak dapat memegang penonton untuk duduk tanpa resah gelisah. Momentum persembahan ini dilihat agak lemah dan terlalu dragging. Masing-masing mahu mengawal lakonan mereka sehingga tidak mengawal pentas dengan baik. Tumpuan dan emosi mereka terperangkap di antara pelakon sahaja dan tidak dapat dikongsikan bersama dengan penonton yang hadir. Di sinilah tadi yang dikatakan energi pentas. Ketika pementasan dirasakan sudah mencapai klimaks, ianya berlarutan sehingga ke beberapa babak dan berlanjutan lagi ke babak yang lain pula. Dan ada sesetengah dialog juga seperti tidak perlu diucapkan kerana aksi lakon itu sendiri sudah menjelaskan dialog. Mengapa perlu buat dua perkara jika tujuannya hanya satu. 


Dapat diperhatikan, kebanyakan dialog-dialog yang diucapkan hanyalah menumpukan kepada dua watak sahaja yang berdialog. Jika ada tiga sekalipun, satu watak akan mengambil pendekatan mendiamkan diri. Hal ini yang membuatkan suasana tersebut menjadi tidak lively.


Selain itu, ada juga watak-watak kecil yang cuba menarik perhatian penonton tetapi sebenarnya aksi mereka sungguh mengjengkelkan terutama watak Jejaka ketika mereka sedang asyik bergurau senda di rumahnya. Watak-watak villain yang lain juga kelihatan menjengkelkan. Mereka seringkali terjerit-jerit seolah-olah cuba berlawan lakon sesama mereka sendiri – siapa gelak lagi kuat. Begitu juga dengan watak-watak lain yang kerjanya menjerit tak tentu hala. 


Dari segi pengarahan, Rosdeen cuba bermain di ruang selamat antara eksperimentasi dengan pendekatan komersial ala Istana Budaya. Tidak banyak ruang eksperimentasi yang dimasukkan melainkan penggunaan Korus. (saya dapat tahu bahawa watak-watak korus ini adalah ahli sukan parkour). Pembahagian ruang pentas digunakan dengan baik tetapi tidak dari segi blocking. Rosdeen gagal mengawal fokus area yang perlu diberikan tumpuan. Penonton terpaksa mencari-cari pelakon yang berdialog dalam keramaian pelakon lain atas pentas. Hanya setelah beberapa barus dialog diucapkan, barulah kelihatan watak yang bercakap. Ada juga kadang-kadang pelakon-pelakon lain mencuri aksi utama dengan melakukan aksi yang boleh menarik perhatian penonton untuk melihat mereka walhal adegan itu bukanlah mereka yang menjadi tumpuan. Berkemungkinan dengan bantuan pencahayaan dapat mengecilkan fokus area supaya tumpuan penonton terhadap aksi utama lebih jelas dan tertumpu.


Cuba lihat bagaimana The Lion King diterjemahkan daripada animasi kepada teater muzikal, Roshomon diterjemah dari filem kepada lakonan pentas, Oedipus diterjemah daripada pentas kepada kompisisi muzik, Jogho diterjemah dari novel ke filem. Saya percaya, bila buat kerja adaptasi, kita akan deal dengan apa yang hendak dibuang dan apa yang hendak ditekankan. Dan biasanya kita tak susah nak buang. Jadi, banyak benda yang perlu dibuang dalam Semerah Padi tidak dibuang dan membuatkan cerita tersebut bergerak dengan lambat sekali. Momentum persembahan sangat-sangat perlahan sehingga teater tersebut menjadi satu persembahan yang meletihkan. Kesan-kesan dramatiknya hilang kerana penonton muak menyaksikan sesuatu adegan yang terlalu lama dan tiada resolusi.


Akhir sekali, keseluruhan teater ini gagal memberikan satu pengalaman menonton teater yang baharu. Teater ini sangat mentah dari segi kerja-kerja adaptasi. Berkemungkinan Semerah Padi hanya akan kekal status cult sebagai filem. Kerja adaptasi memerlukan proses menterjemah karya dengan lebih serius. Bukan sekadar menggunakan karya hebat untuk menarik penonton datang ke panggung sahaja atau menarik minat panaja untuk menaja.

0 views0 comments

Related Posts

See All

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

Lari

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 30 Mac 2012 Pertumbuhan kumpulan-kumpulan kecil teater sejak kebelakangan ini sangatlah memberangsangkan. Tidak dinafikan bahawa kemunculan kum

bottom of page