top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Saya Tonton Tiga Teater

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 15 Oktober 2015


Setelah belajar selama dua tahun, saya akhirnya pulang ke tanah air pada 1 Julai yang lalu. Pulang dengan semangat yang berkobar-kobar mahu mengubah – jika tidak banyak, sikit pun tak apa – landskap pementasan teater di Malaysia. Disebabkan pembelajaran saya di Canada ditaja oleh ASWARA, saya diminta untuk berkhidmat dengan mereka selama beberapa tahun. Dan minat saya menjadi guru teater memang sudah lama saya tanam – sejak saya sedar bahawa teater adalah bidang yang sepatutnya saya ceburi dari dulu lagi. Dan dengan terlibat secara langsung dalam dunia teater, saya kira dengan menjadi guru saya merasakan pendidikan dapat mengubah landskap teater – sekali lagi – jika tidak banyak sikit pun tak apa.


Sehingga ke hari ini, sejak saya balik Julai lalu, sudah ada beberapa buah pementasan teater yang saya tonton sekitar Kuala Lumpur. Ada yang elok, ada yang kurang elok dari segi kualiti persembahan. Saya kira ini biasa. Tetapi saya tidak ada rasa terpanggil untuk menulis review atau kritikan mengenai teater-teater yang saya tonton ini. Tidak semacam zaman dulu semasa saya belajar peringkat sarjana muda. Peter Brook cakap, ada teater yang kita patut bincangkan, dan ada yang tidak patut bincangkan pun. Teater yang tak patut cakap ini adalah Deadly Theatre (Teater Malar) yang dibincangkan oleh Brook dalam buku The Empty Space. Boleh baca lanjut kalau mahu tahu apa yang dibincangkan.


Antara teater yang telah saya tonton adalah Chronology on Death di DPAC, Maduku Kalut di Istana Budaya dan Dari Bintang ke Bintang di Auditorium ITBM. Saya rasa ini sahaja teater yang saya tonton sejak saya balik. Atau mungkin lebih, saya lupa.


Chronology on Death, saya dapat tiket percuma dari seorang rakan yang mana rakannya yang telah beli tiket tidak dapat hadir. Teater yang dipentaskan dalam 98% dalam bahasa Mandarin. Saya tonton teater ini dan baca subtitle yang dipancarkan di kiri kanan pentas. Rupa-rupanya teater ini dalam siri jelajah mereka yang mana KL adalah lokasi terakhir mereka. Sebelum ini teater ini telah menjelajah ke serata tempat di Malaysia. Lebih memeranjatkan saya, teater ini juga telah pun dipentaskan selama dua tahun (kalau tidak silap saya) dan pernah dipentaskan di Taiwan, China dan juga Singapore.


Berdasarkan dialog-dialog yang saya baca di skrin semasa pementasan, premis cerita ini agak menarik. Berkisarkan mengenai dua beradik yang mahu kebumikan jenazah ayahnya, tetapi tanpa diketahui, ayahnya pernah memeluk Islam dan jabatan agama nak tuntut mayat tu untuk disemadikan mengikut lunas Islam. Premis yang menarik dan penulis juga mengukil penceritaan dengan menarik sehingga isu ini dilihat tiada unsur provokasi. Provokasi yang saya maksudkan di sini adalah provokasi politikal, perkauman dan agama. Bukan provokasi emosi, kerana emosi saya turut diganggu dengan penceritaan dan lakonan yang bersih. Melalui teater ini, saya diajak melihat kepada nilai-nilai manusia yang wujud di dalam keluarga kecil ini yang kisahnya kita terlepas pandang. Menarik. Dan saya kira berbaloi setelah dua tahun tidak menonton teater Malaysia, bila pulang disajikan teater sebegini.


Dari Bintang ke Bintang adalah pementasan teater yang diinspirasikan dari karya-karya Usman Awang yang kita kenal dia (melalui penulisan) seorang yang lembut dan romantis. Diarahkan oleh Fauziah Nawi. Apabila menonton teater ini, saya rasa puisi-puisi ini bukan ditulis oleh Usman Awang yang romantis, tetapi oleh seseorang yang panas baran atau sedang marah. Kecewa juga saya bila dengar puisi Kekasih itu diterjemahkan ke atas pentas dengan gaya yang sangat ekspresif. Kelembutan puisi tersebut hilang. Saya tak nampak seorang kekasih yang lembut peribadinya. Secara keseluruhan teater ini sangat ekspresif sehingga gagal menampakkan sisi kelembutan dan romantis Usman Awang. Kita tahu Usman Awang juga ada marah-marah dalam puisinya tetapi ia lebih kepada marah dalam sindiran sinis yang mana ia lebih Melayu daripada marah-marah biasa ni.


Jika anda mengharapkan naratif melalui teater ini, saya kira anda tidak akan dapat apa-apa. Ia sebuah kolaj dan montaj karya-karya Usman Awang yang disusun menjadi satu bentuk persembahan puisi teaterikal. Jika ia sebuah lukisan, ia lukisan abstrak. Jangan harap cerita tetapi hanya zat karya Usman Awang yang mengikut pandangan Fauziah Nawi beliau seorang yang ekspresif dan agresif. Walaubagaimanapun, dari segi muzik dan lagu, gubahannya sangat menarik. Sedap didengar. Ia dapat capture aspek muzikaliti dalam puisi-puisi Usman Awang. Dengan persembahan yang sangat ekspresif itu juga, pujian terhadap pelakon-pelakon yang kebanyakannya adalah pertama kali menjejakkan kaki di atas pentas teater. Untuk mereka yang pertama kali ke atas pentas, mereka memberikan komitmen penats yang sangat mendalam. Stamina, lontaran vokal, gerakan fizikal yang berjaya digenggam dengan konsisten sehingga akhir pementasan.


Selain daripada dua teater itu tadi, saya juga menonton sebuah teater farce/farsa, Maduku Kalut, adaptasi daripada karya Ray Cooney, Run For Your Wife yang dipentaskan di Istana Budaya.


Diharap anda semua (yang terlibat dalam produksi) tidak mengambil hati jika saya menulis mengenai teater anda. Saya harap anda terbuka. Show pun dah tamat, apa nak dikisahkan pun.

0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page