top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Review Pukal Empat Teater

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme dalam tiga bahagian pada 17 Ogos 2016


Bahagian I


Selepas Ramadan habis dan menjelangnya Syawal, banyak pementasan teater yang dipentaskan di sekitar Kuala Lumpur. Sepanjang bulan Julai dan Ogos, tiba-tiba terlalu banyak persembahan yang dibuat. Mungkin para penggiat merasakan waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk dibuat pementasan. Kalau anda baca entri sebelum ini yang membincangkan mengenai teater, anda akan dapat bayangkan betapa meriahnya suasana teater selepas raya ini. Tambahan pula tahun ini adalah ulangtahun ke 400 pemergian Shakespeare. Maka banyak juga pementasan yang berkaitan dengan Shakespeare dipentaskan.


Saya ada menonton beberapa buah teater yang tak sempat saya review satu persatu. Entri kali ini saya akan membuat review secara pukal dan tidak secara komprehensif. Namun, melalui review teater yang saya buat ini ada sesuatu yang menarik dapat saya perhatikan. Saya menonton teater skala besar sehingga kecil. Sepanjang bulan Julai dan Ogos, saya sepmat menyaksikan Taman Neapolitan dan Hochburg di Bilik Sempit RS, Titus Andronicus di DPAC dan juga Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. Dari segi skala persembahan, agak lengkap, dari bilik yang hanya muat 40 orang ke panggung yang berupaya memuatkan 1400 penonton.


Sebelum saya pergi lebih lanjut, terdapat sesuatu yang menarik mengenai keempat-empat persembahan ini. Pertama tema cerita mereka yang binari. Binari ini tidak saya maksudkan membawa konotasi negatif. Tema yang agak structural ini merupakan tema yang diguna pakai sejak zaman berzaman. Dalam keempat-empat teater ini, tema structural ini jelas dirasai dalam Mencari Sumaiyah (kampung vs bandar), Titus Andronicus dan Hochburg (good vs evil). Kecuali Taman Neapolitan yang menampilkan tema cinta tak terucap. Namun masih ada sensasi binari.

Taman Neapolitan merupakan sebuah antologi tiga teater pendek yang bertemakan cinta tak terucap – Beromen, Shit Happens dan Neon. Dipentaskan pada hujung Julai di Bilik Sempit RS dan diterbitkan oleh Projek BB. Arsyad Adam bertindak selaku penulis dan diarahkan oleh tiga pengarah yang berlainan. Arsyad meneroka dunia percintaan yang tidak hanya terbatas antara lelaki dan wanita tetapi juga melangkau batas gender dan kelas. Keupayaan Arsyad menulis di dalam bahasa Melayu dan Inggeris merupakan satu kelebihan buat dirinya. Saya merasakan, dengan pendedahan terhadap teater dan naskhah drama bahasa Inggeris, Arsyad berjaya keluar daripada jenama Bilik Sempit yang kebiasaannya mementaskan naskhah-naskhah bahasa Melayu yang gelap. Melalui Shit Happens, yang menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu, saya kira pelakon-pelakon ini bijak bermain bukan sahaja dengan dialog tetapi dengan tempo persembahan juga. Ini ditambah dengan keupayaan pelakon-pelakon untuk segmen ini berbahasa Inggeris dengan baik. Persembahan untuk dua lagi segmen agak lemah namun berupaya untuk menjadi lebih baik sekiranya pelakon-pelakonnya terus menerus menimba pengalaman.


Melalui tiga naskhah teater pendek yang ditulis Arsyad, saya kira beliau perlu menulis sebuah naskhah teater panjang untuk menguji stamina penulisan dan juga pengawalan naratif yang lebih mencabar. Tidak adil jika perbandingan dibuat antara tiga teater ini kerana masing-masing mempunyai cerita dan pendekatan yang berbeza. Namun saya secara peribadi menggemari Shit Happens. Nampak kematangan Arsyad dalam mengolah jalan cerita dengan limitasi pelakon dan ruang di atas pentas. Ceritanya tidak kompleks tetapi apa yang dialami watak lebih kompleks terutama watak wanita lakonan Izza. Untuk skala teater pendek seperti ini, Shit Happens memenuhi kriteria untuk sebuah naskhah teater pendek. Mudah, ringkas dan mengesankan. Untuk dua lagi naskhah saya kira, kapasiti idea untuk dua naskhah itu tidak dapat menampung skala dan durasi persembahan.


Sebuah lagi persembahan di Bilik Sempit adalah Hochburg. Hochburg adalah karya baru yang dihasilkan oleh Aim Zackry dan diterbitkan oleh Patblas Studio. Saya berasa ragu-ragu untuk menulis review untuk teater ini memandangkan terlalu banyak perkara yang menggusarkan saya. Saya kira ini adalah sebuah persembahan amatur yang perlu diperbaiki baik dari segi penulisan naskhah, pengarahah dan juga lakonan. Sukar untuk saya secara peribadi menyukai persembahan ini. Mengambil latar Jerman sudah cukup meresahkan jiwa saya yang selalu menantikan teater dengan citra nasional dan tempatan. Dengan itu, teater ini terus mengasingkan saya dengan realiti kita yang berada di Malaysia. Tiada rasa kepunyaan (sense of belonging). Namun saya tulis juga review ringkas sebagai peringatan kepada saya dan juga Aim Zackry. Mana tahu, beliau akan menghasilkan karya yang di luar jangkaan selepas ini.


Bahagian II


Kita beranjak ke ruang yang lebih besar sedikit dengan teater Titus Andronicus karya William Shakespeare yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC). Titus diarahkan oleh Christopher Ling dan diterbitkan oleh Theatrethreesixty dan The KL Shakespeare Players. Theatrethreesixty adalah salah sebuah kompeni teater yang masih muda dan telah mementaskan beberapa karya besar dan popular sejak ditubuhkan pertengahan tahun 2014. Dari Beckett dan Miller juga karya sebesar Angels in America. Melalui sambutan 400 Shakespeare, TheatreThreeSixty tidak ketinggalan mementaskan sebuah naskhah tragedi Shakespeare. The KL Shakespeare Players pula satu-satunya kompeni teater di Malaysia yang komited mementaskan karya-karya Shakespeare. Berdasarkan entri saya sebelum ini yang berbincang mengenai poster, saya menyatakan tentang keinginan saya untuk menonton teater ini kerana mahu melihat kerja-kerja pengarahan Christopher.


Satu perkara yang saya gemar apabila menonton Shakespeare yang dilakonkan bukan orang kulit putih ialah mereka tidak langsung berusaha untuk menjadi atau hidup di zaman Shakespeare. Demikian terjadi dalam Titus – pelakon hidup dalam persekitaran yang dicipta pengarah dan bukan hidup di dalam naskhah. Dunia yang dicipta oleh pengarah adalah dunia yang lebih rapat dengan kita. Watak-watak dibezakan dengan pakaian hujan (raincoat) dengan warna dan corak yang berbeza setiap satunya. Dengan bantuan bunyi guruh dan kilat, membuatkan kita sebagai rakyat Malaysia familiar dengan iklim dan cuaca naskhah ini. Sekaligus membuatkan kita rasa dekat walaupun naskhah asal ini mengambil latar Empayar Rom.


Sebanyak 11 pelakon menjayakan pementasan ini. Ada pelakon yang memegang banyak lebih daripada satu watak, pelakon wanita memegang watak lelaki dan tidak mengikut umur. Christopher dengan berani melakukan cross casting dan blind casting untuk watak-watak yang agak penting. Namun ternyata pemilihan pelakon ini sesuai dengan watak yang dibawa. Saya juga tidak rasa terganggu dengan konsep pelakon yang membawa lebih daripada satu watak. Di awal permulaan adegan, kita dapat lihat semua pelakon berpakaian serba putih masuk ke pentas dan menyarung kostum mereka di atas pentas. Di sini kita dapat tahu bahawa mereka hanya memainkan watak sahaja dalam naskhah ini.


Konsep ini seperti mengikut acuan lakonan Brecht namun ia tidak sama sekali menuju ke arah tersebut. Biarpun pelakon bertukar-tukar watak namun di akhir cerita, kita tidak dapat lihat para pelakon ini keluar daripada watak-watak yang dimainkan dan memulangkan kembali kostum yang mereka pakai. Mereka tidak kembali seperti awal kemunculan mereka (berpakaian serba putih) untuk menutup persembahan ini.


Bahagian III


Teater terakhir adalah Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. Diterbitkan oleh Hyper Pictures. Agak sukar mencari maklumat mengenai teater ini walaupun ia sebuah produksi skala besar. Di luar panggung, buku program tidak dibekalkan. Di dalam poster tidak dinyatakan karya dan arahan melainkan nama-nama pelakon. Menurut carian google, teater ini diarahkan oleh Dira Abu Zahar. Bertambah pelik, teater yang sepatutnya kredit utama diberikan kepada penulis, tidak mencatatkan nama penulis di dalam mana-mana bahan promosi dan bercetak. Setelah disiasat, teater ini ditulis oleh Junad M.Nor dan Haris M.Nor. Nama Junad M.Nor diumum sebagai penulis ketika sidang media. Disebabkan kekurangan masa untuk pra-produksi, banyak halangan yang mengganggu kelancaran persiapan pementasan ini. Namun, sebagai penonton halangan-halangan ini bukanlah sesuatu yang kami ingin ambil tahu.


Mencari Sumaiyah menceritakan kisah empat gadis dari kampung yang mahu menempa kejayaan di bandar besar. Tema binari kampong-bandar, maju-mundur menjadi tema utama dalam cerita ini. Dengan tema yang struktural yang mudah seperti ini, penulis berjaya menawarkan jalan cerita yang mudah tetapi menarik. Ia bukan satu kisah klise yang mudah dijangka setiap babak. Pengawalan dan pengolahan cerita dibina dengan baik untuk skala pementasan seperti ini. Kewujudan setiap watak dalam naskhah ini juga berjaya menampilkan keunikan tersendiri. Setiap watak berpeluang untuk kita ketahui matlamat kewujudannya. Disebabkan pembahagian watak yang lebih adil, membuatkan berlaku kompleksiti yang menarik dalam pembinaan naratif setiap watak. Namun dengan pendekatan komedi ringan dan ala muzikal, kompleksiti watak dapat diringankan.


Saya fikir Mencari Sumaiyah bukanlah sebuah muzikal. Ia cuma menerapkan ciri muzikal tetapi tidak menggunakan format teater muzikal sepenuhnya. Pihak yang tidak bertanggung jawab telah menyalahgunakan terma muzikal dan memberikan tanggapan dan didikan yang salah kepada penonton. Label teater muzikal yang digunakan dalam teater ini hanyalah untuk tujuan publisiti. Dalam Mencari Sumaiyah, ada menampilkan adegan nyanyian dan tarian tetapi masih tidak cukup untuk dikategorikan sebagai teater muzikal. Sememangnya produksi yang mementaskan teater di Istana Budaya akan menerapkan nyanyian dan tarian sebagai pelengkap rencah untuk menarik perhatian penonton.


Untuk standard pementasan Istana Budaya, Mencari Sumaiyah menampilkan sesuatu yang berlainan. Kebanyakan pelakon yang berlakon mempunyai pengalaman pentas sebelum ini – samada berlakon dalam produksi skala kecil dan juga sederhana. Saya kira, disebabkan kebanyakan pelakon mempunyai pengalaman pentas, penampilan mereka di atas pentas memberikan persembahan yang lain kualitinya berbanding pelakon-tangkap-muat-casting-berdasarkan-berapa-ramai-follower-dekat-media-sosial-siapa-ramai-follower-dapat-berlakon. Mereka, terutamanya gabungan berempat Sherry Al-Hadad, Ruzana Ibrahim, Nadia Aqila dan Aisyah Hasnaa masing-masing melakonkan watak usahawan kampung yang ingin berjaya, memberikan persembahan yang baik. Masing-masing tahu untuk membantu rakan masing-masing menonjol dalam setiap adegan. Sebagai persembahan ensemble, mereka berempat memberikan persembahan yang baik. Senang kata, penampilan mereka berempat mempunyai tekstur yang menarik dan juga harmoni.


Penutup

Berdasarkan jumlah pementasan yang banyak ini, saya kira ini satu pertumbuhan yang menarik untuk diperhatikan. Penggiat teater dari skala kecil hingga besar sama-sama mementaskan teater di seluruh Kuala Lumpur. Namun, saya resah bila memikirkan betapa sukar mencari teater berkualiti untuk ditonton. Berdasarkan citarasa saya yang agak memilih ini, keempat-empat teater ini masih gagal dianggap teater yang baik dan sempurna. Namun, saya masih optimis bahawa akan wujud teater yang sangat baik dalam lambakan produksi teater di Malaysia di masa akan datang. Diharap dengan lambakan ini akan wujud kesedaran untuk menghasilkan teater yang bukan sahaja menguntungkan tetapi membawa suara.


Apa yang boleh dibanggakan adalah melihat pementasan ini dari aspek perniagaan. Kesemua teater ini diniagakan dan ada penggiat teater yang menjana pendapatan melalui perniagaan ini. Untuk mereka yang terlibat dalam showbiz, sudah tentu dengan persembahan yang banyak ini memberi peluang pekerjaan kepada mereka dan sekaligus dapat kekal mencari pendapat menerusi kerja-kerja teater. Namun, jangan pula nanti, semua benda diniagakan sehingga menggadai seni pada wang ringgit.

1 view0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

Comments


bottom of page