top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Ratna Kadhal

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 23 Oktober 2012


Pada 19 – 21 Oktober 2012 yang lalu, sebuah pementasan bertajuk Ratna Kadhal telah berjaya dipentaskan di Auditorium Kompleks Kraftangan Jalan Conlay. Pertama kali sejak saya menonton teater di Kuala Lumpur, pementasan teater dibuat di sini. Saya tidak pasti mengapa ia dipentaskan di sini.


Ratna Kadhal ditulis dan diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy dan dilakonkan oleh beberapa pelakon pentas tanah air seperti Dynna Zainal, Hariry Jalil, Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin, Azrul Azizi dan Azman Hassan. Khairunazwan pernah mengarah beberapa buah teater sebelum ini seperti SeNaPas, Pokok Kelapa Disayang dan beberapa buah karya lain. Graduan teater daripada ASWARA kini terus giat mementaskan teater di bawah produksi Revolution Stage.


Saya telah hadir pada pementasan malam pertama. Walaupun tempat persembahan berada di tengah-tengah pusat Bandar yang sesak dan sibuk, kelihatan ramai penonton yang hadir ke pementasan pertama. Bermula agak lewat seperti yang dijadualkan, pementasan ini dihadiri lebih kurang 100 orang penonton. Ia dipersembahkan dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Tamil.


Pada mulanya, saya agak skeptikal dengan pementasan Ratna Kadhal. Saya beranggapan teater ini akan membawa tema dan halwa yang gelap sebagai intipati cerita ini. Ini berikutan beberapa pementasan daripada Khairunazwan yang telah saya lihat sebelum ini. Walaubagaimanapun, tanggapan saya salah.


Ratna Kadhal bermula dengan perlahan dan mood dibina dengan baik melalui perkembangan plotnya. Saya perhatikan penulisan Khairunazwan dalam kebanyakannya teaternya bersifat lebih episodik. Setiap plot adalah episod-episod yang dilalui oleh protagonis mahupun antagonis di dalam ruang dan waktu yang berbeza. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku penulisan skrip pentas – cara untuk menimbulkan konflik dengan baik adalah dengan menempatkan watak-watak di ruang yang claustrophobic supaya wujud krisis-krisis kecil untuk menolak tension plot menjadi semakin tinggi.


Walaubagaimanapun, tanpa ruang-ruang claustrophobic ini, Khairunazwan masih berjaya menolak plot cerita dengan baik dan lancar. Pendekatan sebegini biasanya digunakan dalam medium skrin (filem dan drama TV) dan tampak berkesan dan sesuai dalam pengarahan yang dibuat kemas oleh Khairunazwan.


Cerita yang diselang-seli dengan penceritaan Krishnan/Nasir (lakonan hebat Aloy Paradoks) terhadap ustazah Nurkamisah mengenai derita seorang wanita berbangsa India yang mencintai seorang lelaki bernama Nasir. Ada banyak aksi flashback yang berlaku di atas pentas yang divisualkan melalui pertukaran set yang tidak membebankan.


Saya begitu kagum dengan lakonan Azman Hassan dan juga Aloy Paradoks. Azman Hassan yang memegang watak Siva bercakap dalam bahasa Tamil. Saya langsung tidak memandang dan membaca sarikata yang dipancarkan melalui projektor. Walaupun tidak faham dengan bahasa yang digunakan tetapi beliau telah membawa psikologi dialog tersebut mengatasi bahasa. Permainan psikologinya membuatkan saya memahami apa yang dituturkan. Bahasa tubuh dan intonasi dialog Azman Hassan lebih mendahului bahasa yang digunakan. Lakonan Aloy turut memberikan kesan. Beliau berjaya memberikan emosi dan konflik dalaman Krishnan yang tersepit dalam kisah percintaan Nasir dan Ratna. Sepanjang saya menonton teater yang dilakonkan oleh Aloy Paradoks (selain di bawah arahan saya), saya berpendapat lakonan beliau dalam Ratna Kadhal yang paling memberikan kesan.


Khairunazwan juga meletakkan stereotaip karektor pada watak orang-orang kampung yang menaruh perasaan dengki terhadap Siva dan kaum India di kawasan penempatan mereka. Hal ini memudahkan penceritaan yang dibawa oleh beliau dalam pengarahannya.


Apa yang paling menarik pada saya adalah bagaimana Khairunazwan menghasilkan akhiran cerita yang begitu kemas. Ia tidak terlalu meleret dan juga tidak terlalu mudah. Di sini, lakonan Aloy memberikan makna yang baik terhadap teks yang ditulis oleh Khairunazwan. Mereka berjaya menawan saya dengan gaya yang minimal.


Pada malam pertama, pementasan agak sedikit terganggu dengan kesilapan teknikal. Sistem audio yang tersekat-sekat sedikit sebanyak mengganggu tumuan penonton. Walaubagaimanapun, saya tidak langsung memikirkan hal ini kerana memahami keadaan produksi kecil. Pada saya, untuk teater skala kecil begini, apa yang saya mahu lihat adalah teks, lakonan dan pengarahan. Soal teknikal tidak patut dilihat dalam teater sebegini (melainkan ia adalah intention pengarah).


Tema kemanusiaan dan cinta diangkat begitu pekat di dalam teater Ratna Kadhal. Mungkin ini yang membuatkan teater ini seronok ditonton. Tahniah kepada seluruh ahli produksi.

0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page