top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Kekeliruan Tentang Teater Moden dan Kontemporari Malaysia

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 23 Mei 2016


Bagaimana sesuatu yang dulu dianggap moden, kini sudah jadi sesuatu yang klasik? Karya-karya Ibsen, Chekhov dan Strinberg, contohnya, yang dulu dianggap moden, kini sudah boleh dikategorikan sebagai kaya klasik. Kebanyakan pengkritik di Barat sudah pun mengatakan karya-karya mereka ini sebagai karya klasik. Usia karya-karya mereka ini sudah berusia lebih kurang 100 tahun. Jadi, kalau karya-karya mereka dianggap karya klasik, yang mana satu karya yang boleh dianggap moden? Adakah karya-karya yang lahir selepas itu seperti Bertolt Brecht atau, Samuel Beckett atau, Noel Coward atau sebagainya? Karya-karya ini juga sudah ada yang menggelarkannya sebagai karya klasik.


Klasik, moden, kontemporari, avant garde dan sebagainya adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran di dalam dunia teater. Saya kira pengkelasan seperti ini juga berlaku di dalam aspek kesenian yang lain juga seperi muzik, catan, penulisan dan sebagainya.


Di Malaysia contohnya, karya-karya daripada Bidin Subari, Usman Awang, Syed Alwi dan seangkatan boleh dianggap sebagai sebuah karya-karya moden sewaktu awal kemunculannya. Penilaian modeniti di dalam karya-karya ini walaubagaimanapun perlu dibuat kembali untuk melayakkan aspek modeniti itu relevan dengan konteks semasa. Lantaran itu, karya-karya moden Malaysia perlu dinilai kembali dalam konteks semasa. Ada yang masih menganggap karya-karya tersebut adalah karya moden. Hal ini tidak salah, namun, bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas itu seperti karya-karya Nordin Hassan, Hatta Azad Khan, Dinsman dan Syed Alwi. Adalah boleh disebut karya-karya mereka sebagai post-moden? Bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas lagi daripada Nordin Hassan dan seangkatan? Seperti karya-karya Namron, Jit Murad, Faisal Tehrani, Zakaria Arifin dan seangkatan? Adakah karya mereka kita gelarkannya sebagai avant garde? Atau post-post-moden atau sebagainya? Sudah tentu tidak.


Karya-karya tidak diikat dengan masa dan modeniti melibatkan pemikiran, bukan masa. Oleh itu, sesebuah karya tidak wajar ditandai melalui masa. Modeniti berubah mengikut masa.


“Denoting a current or recent style or trend in art, architecture, or other cultural activity marked by a significant departure from traditional styles and values.” - Kamus Oxford Online


Maksudnya di sini, moden adalah keadaan kini atau mutakhir dalam kesenian atau arsitekstur atau kesenian lain atau gaya hidup yang bertitik tolak terhadap penentangan gaya dan nilai tradisional.


Tradisional pula bermaksud sesuatu yang lama; sudah lama dalam erti kata – sudah diulang buat sehingga menjadi tradisi. Jadi moden boleh dikatakan sebagai benda baharu yang dibuat untuk menentang benda-benda lama. Jadi, kata kunci untuk moden adalah benda/perkara baharu. Di dalam teater dan drama benda/perkara baharu ini boleh dijumpai jika kita menganalisa pemikiran penulis dan pengarah dengan teliti.


Jadi teater moden di Malaysia tidak wajar ditandai dengan tahun atau genre. Ramai di Malaysia beranggapan teater moden adalah teater realism – yang muncul pada tahun 1960an. Sebenarnya ciri-ciri moden sudah terdapat di dalam teater Bangsawan lagi. Jika sebelum ini, teater di Malaysia dipentaskan atas tujuan ritual dan keraian di Istana, Bangsawan menentang prinsip teater di Malay pada ketika itu dengan menjadikan teater itu dipertontonkan kepada orang awam dan dijadikan sebagai sebuah urus niaga. Bukankah itu satu bentuk penentangan terhadap gaya dan nilai tradisional. Sandiwara juga mengandungi unsur modeniti di dalamnya di mana ia menentang gaya dan bentuk teater Bangsawan dengan menghapuskan extra-turn. Dan teater realism pula adalah satu penentangan terhadap teater sandiwara di mana ia menentang watak dan isu yang selalu diketengahkan oleh teater sandiwara. Dan begitulah seterusnya. Jadi tidak adil jika mengatakan teater moden adalah teater realisme.


Perkataan post-moden ini juga adalah sesuatu yang boleh didebatkan. Heiner Muller (penulis dan pengarah teater Jerman, 1929-1995) apabila digelar sebagai seorang post-modenis, dia menafikan, meskipun karya-karya sudah dilihat jauh meninggalkan karya-karya sezamannya dan pengkarya seangkatan. Namun ada definisi terperinci dan perdebatan tertentu mengenai post-modernism yang mana tidak akan saya bincangkan di dalam tulisan ini.


Berbalik kepada teater moden, saya mahu menekankan di sini bahawa teater moden Malaysia tidak ditandai dengan masa, tetapi boleh dikelaskan mengikut genre atau gaya atau pemikiran. Anak Kerbau Mati Emak pada sesetengah orang mungkin sudah masuk teks klasik, namun ada yang beranggap ia sebuah naskhah moden. Dan sudah saya terangkan – jika terjadi perdebatan ini, ia adalah kerana pemikiran yang dibawa oleh teks dan pembacanya.


Saya kira, hal ini juga boleh berlanjutan kepada aspek teater kontemporari. Oleh kerana perkataan kontemporari itu sendiri terikat dengan masa, adalah tidak wajar kita menandai teater Nordin Hassan, dan Hatta Azad Khan sebagai naskhah teater kontemporari. Jika naskhah-naskhah mereka adalah kontemporari, bagaimana naskhah-naskhah yang wujud mutakhir ini – adakah perlu dikelaskan sebagai naskhah post-kontemporari?


Saya membaca esei tulisan Krishen Jit bertajuk Hatta Azad Khan dan Teater Kontemporari di Malaysia. Tulisan ini seolah menekankan pemahaman Krishen terhadap teater kontemporari (dengan huruf kecil ‘k’) Malaysia yang dapat dilihat melalui karya-karya Hatta Azad Khan. Hatta menggunakan teknik dan gaya-gaya mutakhir yang dianggap agak digemari oleh pengkarya lain juga di zaman penciptaan karyanya (1980an). Karya-karya Hatta dibincangkan secara terperinci dengan membandingkan karya-karya lain yang turut mengaplikasikan gaya penulisan yang hampir sama dan sedang menjadi trend pada ketika itu seperti karya-karya Dinsman, Syed Alwi dan seangkatan. Krishen turut membandingkan karya-karya Hatta dengan karya-karya semasa dari luar negara seperti Beckett (yang saya kira agak baru di Malaysia pada ketika itu.)


Klasik, moden, kontemporari dan avant garde adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran. Ia langsung tidak ada kaitan dengan masa depan dan lampau.

3 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page