top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Kakiseni, Cammies dan Langkahnya yang Tempang

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 23 April 2017


Buang jurang kategori, buat jurang baru. Apakah jurang baru itu?


Di Malaysia, Anugerah Seni Boh Cameronian (Boh Cameronian Arts Award atau Cammies) merupakan salah satu anugerah seni yang mengiktiraf kerja-kerja dalam lapangan seni persembahan. Diinisiatifkan oleh Kakiseni, Cammies telah berlangsung selama lebih sedekad dengan penyertaan banyak produksi-produksi tempatan dalam pelbagai skala persembahan. Dalam industri filem, kita mempunyai Festival Filem Malaysia yang mengiktiraf hasil-hasil karya filem tempatan. Ada juga inisiatif lain yang mengiktiraf kerja-kerja perfileman seperti Anugerah Skrin, Anugerah Seri Angkasa dan pelbagai lagi. Selain Cammies, ada sebuah lagi acara yang mengiktiraf kerja-kerja seni pentas ini iaitu ADA Award. Ia memberi tumpuan kepada produksi-produksi berbahasa Cina sahaja. Namun, Cammies adalah satu-satunya anugerah yang wujud untuk meraikan penggiat seni persembahan di Malaysia merentas bahasa, budaya dan bentuk persembahan.


Oleh itu, memenangi anugerah dalam Cammies adalah sesuatu yang dibanggakan. Ia adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh penggiat seni persembahan seperti teater, tari dan muzik untuk mendapat pengiktirafan yang tertinggi daripada Cammies. Saya melalui Teater Juta-Juta turut pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik, Karya Asal Terbaik dan Persembahan Berkumpulan Terbaik pada tahun 2014. Tercalon dalam kategori yang sama bersama pengarah dan penulis teater tersohor Namron, saya kira ia sudah cukup baik, apatah lagi memenanginya. Anugerah ini secara peribadi telah menjadi pemberi semangat untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik lagi.


Karyawan pentas perlukan pengiktirafan. Pengiktirafan yang paling mudah boleh diberikan kepada karyawan ini adalah dengan memberikan tepukan tangan selepas tamat persembahan. Ini adalah pengiktirafan yang paling mudah, ringkas dan segera. Jika anda mahu, boleh berdiri sambil memberikan tepukan (standing ovation). Ini adalah lumrah dalam kerja-kerja seni pentas. Pengiktirafan kedua adalah dengan membincangkan karya-karya tersebut. Ia biasa dilakukan oleh pengkritik, ahli akademik, pelajar dan ahli dalam bidang-bidang tertentu. Pengiktirafan lain adalah dengan penganjuran majlis anugerah seperti yang dianjurkan Kakiseni melalui Cammies.


Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya mahu menarik perhatian anda mengenai iklim seni persembahan (saya fokus kepada teater) dewasa ini. Sejak kebelakangan ini, semakin ramai produksi yang mementaskan teater di sekitar Kuala Lumpur. Kemunculan panggung-panggung baharu, graduan baharu dan kumpulan produksi baharu memberikan impak yang positif kepada perkembangan seni persembahan. Saya yang bergiat dan memerhati fenomena pementasan teater di Lembah Klang merasakan ada sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Banyak produksi kecil dan muda, berani mementaskan teater dengan bermodalkan kederat dan idea. Produksi-produksi kecil dan muda ini adalah seperti Revolution Stage, Theatre Threesixty, Anomalist Production, Theatresauce, Tocatta Studio, Sisiseni dan banyak lagi. Mereka inilah sebenarnya penyumbang kepada perkembangan teater di Malaysia dewasa ini. Beroperasi di lot-lot kedai, mereka mengubah premis mereka menjadi ruang pementasan dengan kapasiti penonton lebih kurang 50 penonton maksimum pada satu-satu masa. Jika mempunyai sokongan dan bantuan kewangan yang besar, mereka memilih untuk mementaskan di panggung-panggung establish sekitar Kuala Lumpur.


Namun, dengan format baharu yang diperkenalkan Kakiseni, kumpulan-kumpulan baharu dan kecil tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Mereka ditenggelamkan dengan kumpulan-kumpulan gergasi dan establish. Senarai terbaik 2016 (Best of 2016) hanya menyenaraikan enam produksi yang terbaik sahaja. Senarainya anda boleh klik di pautan ini. <Klik pautan>.


Melihat kepada senarai ini, kita sudah tahu di mana letaknya kumpulan-kumpulan kecil yang memerlukan pengikitrafan yang bukan sekadar tepuk tangan dan standing ovation sahaja. Cammies melepaskan peluang untuk memberikan pengiktirafan kepada kumpulan-kumpulan yang sedang mencari ruang mencari pengiktirafan yang lebih besar.


Kakiseni dalam mempertahankan pendiriannya menegaskan bahawa format baharu ini adalah untuk menjadikan anugerah ini lebih berprestij dan dan lebih kompetetif. Namun, persaingan yang wujud ini pula dilihat agak tidak seimbang. Untuk produksi kecil dan muda dan modal kecil, mereka bukan sahaja tidak berupaya menggajikan pelakon, pengarah dan pereka yang berpengalaman, mereka malah tidak berupaya untuk membayar royalti skrip yang baik seperti mana yang mampu dilakukan oleh produksi yang tersenarai dalam senarai best of 2016. Produksi kecil manakah yang mampu bayar royalti The Language Archive? Produksi mana yang mampu menyewa atau mereka kostum bertemakan Bollywood?


Akhirnya produksi kecil, muda dan modal kecil ini mementaskan skrip-skrip lama dengan rekaan yang minimal yang dilihat tidak mencapai ‘standard’ yang dikehendaki Kakiseni. Mereka yang tidak mampu membayar royalti akhirnya menulis skrip baharu yang akhirnya tidak mencapai ‘standard’ yang dikehendaki. Saya bukanlah memusuhi produksi-produksi gergasi, lama dan berduit. Akan tetapi melalui perubahan format seperti ini, ia menidakkan penglibatan secara menyeluruh terutama daripada kumpulan-kumpulan kecil. Dikhabarkan 12 anugerah utama akan diberikan di acara kemuncak pada 7 Mei 2017 kepada enam produksi yang terbaik ini. Nampaknya, ia menjadi semakin eksklusif. Tambah mereka lagi, jika ada sesuatu anugerah itu wajar diberikan kepada mana-mana produksi yang tidak tersenarai dalam senarai enam terbaik, anugerah tersebut akan diberikan mengikut kewajaran. Saya tidak pasti apakah kriteria yang mereka gunakan untuk melayakkan sesebuah produksi yang tidak tersenarai dalam enam terbaik mendapat anugerah yang mengikut kewajaran itu.


Format baharu Cammies ini pada saya adalah satu langkah ke belakang ketika mana seni persembahan di Lembah Klang sedang meningkat naik. Perkembangan ini sepertinya tidak diraikan Kakiseni dengan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Jika bantuan dan sokongan perlu diberikan, produksi terpinggir inilah yang seharusnya diberikan perhatian. Mereka perlu dibawa, ditunjuk ajar, dibuka peluang membina hubungan dengan penaja-penaja yang berpotensi. Dalam pernyataan yang dikeluarkan Kakiseni, kelebihan menjadi enam terbaik untuk Cammies pada tahun ini adalah mereka akan dipertemukan dengan penaja berpotensi dalam satu diskusi dan bual bicara. Melihat senarai enam terbaik dan peluang yang mereka miliki, simpati saya terhadap kumpulan kecil berlanjutan. Makanya mereka tiada peluang berjumpa dengan bakal penaja.


Saya faham tujuan Kakiseni mengubah langkahnya adalah untuk menaikkan standard dan mutu persembahan di Malaysia. Salah satu tujuannya juga adalah untuk menarik minat penaja supaya melabur dalam seni persembahan di Malaysia. Jika standard persembahan meningkat, maka semakin banyaklah pelaburan yang bakal dibuat oleh para penaja. Ini hipotesis mereka. Langkah ini dilihat sangat bergaya tapi sebenarnya ia tempang. Mengenai penghapusan kategori, saya tidak mahu membuat sebarang komen sehingga saya mengetahui sendiri apakah 12 anugerah yang akan diberikan pada 7 Mei nanti.


Namun, saya merasakan terdapat beberapa kategori yang perlu dikekalkan dan/atau diwujudkan.


  • Naskhah/Skrip Asal Terbaik. Kategori ini wajib dikekalkan sebagai langkah dan galakan menghasilkan karya-karya tempatan yang baik. Kita tidak mempunyai ramai penulis teater. Dan diharap dengan adanya kategori ini, ramai penulis dan produksi mahu menulis naskhah sendiri dan bukan setakat bayar royalti pentaskan teater.

  • Rekaan Produksi Terbaik. Ada pementasan yang tidak memerlukan rekaan yang extravaganza. Bak kata Peter Brook, aspek-aspek visual ini adalah sebuah kleptokrasi - ia mengalih tumpuan pementasan daripada pengisian persembahan jika rekaannya tidak selari. Sebagai contoh, rekaan yang cantik namun tidak mencerminkan pemikiran bukanlah rekaan produksi yang baik. Ia mungkin cantik tetapi tidak punya makna dan gagal berkomunikasi dalam lapisan makna yang dalam.

  • Naskhah Pendek Terbaik. Saya merasakan ia penting untuk galakan kepada kumpulan-kumpulan kecil, muda dan modal kecil untuk bertanding sesama mereka. Dan yang pasti, kita tahu, kumpulan besar dan berpengalaman tak akan mementaskan persembahan pendek. Jadi, kumpulan-kumpulan kecil dapat bersaing sesama mereka. Dan kita menganggap mereka tidak selamanya akan mementaskan teater pendek dan akan berusaha untuk bersaing dengan produksi senior dan besar.

  • Seniman/Karyawan Baharu Terbaik. Ini penting supaya saban tahun kita akan terus menghasilkan karyawan-karyawan baharu. Mereka boleh jadi individu atau kolektif yang secara konsisten menghasilkan karya-karya yang baik. Kita sering memberi penghargaan kepada seniman veteran dan banyak menabur budi, namun kita kurang beri penghargaan kepada seniman/karyawan muda.

  • Esei/Kritikan/Tulisan Terbaik. Sebagai galakan kepada bidang apresiasi, saya mencadangkan anugerah ini diwujudkan. Jika kita mahu meningkatkan mutu seni persembahan, ia perlu menyeluruh. Pengkritik dan penulis memainkan peranan yang besar dalam melengkapkan kitaran industri. Justeru itu, pengiktirafan seharusnya diberikan kepada mereka yang menjadi jambatan antara pengkarya dan penonton (atau pembaca). Pengkritik, walau mereka tidak berproduksi, mereka tetap menyumbang kepada perkembangan industri. Justeru itu, saya menegaskan ia sesuatu yang wajar. Ia mungkin juga satu galakan supaya lebih ramai orang menulis tentang seni persembahan dan berhujah dan berdebat tentang idea mereka.

  • Persembahan Tradisional Terbaik. Ini adalah sebagai inisiatif kepada pemeliharaan seni tradisional. Ada penggiat seni tradisional yang betul-betul menjaga keaslian dan kehalusannya. Sudah tentu mereka tidak akan dapat dinilai dari segi rekaan terbaik, pengarahan terbaik kerana hanya mengekalkan format dan bentuk yang asal tetapi pengiktirafan seharusnya dibuat dengan melihat bagaimana penggiat ini meletakkan seni tradisional sesuatu yang relevan dengan situasi sekarang ini.

Selain itu, jika pada tahun itu tiada satu pun produksi yang layak untuk memenangi mana-mana kategori, saya mencadangkan bahawa kategori itu diumumkan tiada pemenang. Ia biasa terjadi di mana-mana sekalipun demi menjaga standard. Festival Filem Malaysia juga pernah berbuat demikian pada tahun 1989 apabila mengumumkan bahawa tiada filem terbaik untuk tahun tersebut. Sayembara DBP juga beberapa kali mengumumkan bahawa tiada pemenang utama untuk kategori-kategori yang dirasakan tidak mencapai standard yang mereka kehendaki.


Mungkin tahun ini Kakiseni melangkah dengan kaki yang tempang. Bagi yang mengikuti Cammies saban tahun, mereka memberikan pelbagai reaksi terhadap langkah ini. Namun saya menyarankan agar perhatian diberikan kepada kumpulan-kumpulan terpinggir supaya mereka terus kekal bersemangat dalam menghasilkan karya-karya bermutu. Alangkah baiknya jika produksi yang terbaik dalam kumpulan terpinggir, baharu dan modal kecil ini mendapat peluang yang sama untuk bertemu, berdialog dan berdiskusi dengan para penaja dan senarai enam terbaik. Itupun kalau Kakiseni mahu bercakap tentang removing barrier. Kerana pada saya, itulah barrier yang perlu kita beri perhatian sebenarnya.

0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page