top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Gadis Jalan Burmah: Tragedi Wanita Moden atau Komedi Gadis Keliru?

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 10 April 2017


Pada 6 – 9 April 2017, pementasan bertajuk Gadis Jalan Burmah telah dipentaskan di Kotak Five Arts Centre yang terletak di TTDI. Ditulis oleh Redza Minhat, naskhah ini pernah dipentaskan sebanyak dua kali – pertama kali pada tahun 2006 (lakonan Soefira Jaafar) dan kali kedua pada tahun 2008 (lakonan Sherry Al-Hadad). Untuk pementasan kali ketiga ia dilakonkan oleh Farah Rani, diarahkan oleh Ashraf Zain dan diterbitkan oleh produser muda Syarifah Alesya. Di era millennial ini, ada beberapa naskhah lain yang mengangkat wanita sebagai protagonis. Antaranya adalah Laut Lebih Indah Dari Bulan (oleh Namron), Emily of Emerald Hill (oleh Stella Kon) dan (A Modern Woman Called) Ang Tau Mui (oleh Leow Puay Tin). Gadis Jalan Burmah bolehlah dimasukkan di dalam kategori ini sekaligus boleh membawa banyak persoalan similar tentang aspek tentang modeniti, feminism, identiti dan fungsi gender.


Gadis Jalan Burmah boleh dibaca sebagai sebuah tragedi untuk wanita moden. Kartini Shuib digambarkan sebagai seorang wanita lanjut usia yang menjalani kehidupan moden yang belum berkahwin dan tinggal bersama ibunya yang suka mendesak, di Butterworth, Pulau Pinang. Cerita ini dilatarkan di sebuah dapur ketika Kartini menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 42 tahun. Sedang dia membuat kek untuk harijadinya, dia menceritakan tentang kisah cinta lampaunya dan mengapa dia masih belum berkahwin lagi. Dia juga sedang berkira-kira untuk menelefon seorang agen insuran Kassim Rahman setelah didesak ibunya.


Kartini Shuib adalah watak yang sukar dan kompleks. Dibesarkan oleh ibunya seorang ustazah, dia menjalani kehidupan yang berlainan dan jauh dari tanggapan masyarakat. Kehidupannya agak bebas dan boleh dikatakan dia mempunyai determinasi dan keazaman yang agak kuat sebagai seorang wanita moden. Namun, dalam meniti arus kemodenan ini, dia masih terikat dengan tanggapan-tanggapan dan norma-norma masyarakat Melayu era millennial. Mengikut pandangan dan norma masyarakat, beliau seharusnya sudah berkahwin dan beranak pinak.


Ada sesuatu yang menarik mengenai naskhah ini. Gadis Jalan Burmah bercakap tentang kebebasan wanita Melayu Moden tetapi masih tidak bebas dan keliru dengan modeniti. Di awal-awal adegan lagi, kita sudah nampak Kartini Shuib yang menanggalkan bra ketika sampai di rumah. Ini adalah salah satu petunjuk kepada bentuk kebebasan fizikal yang Kartini mahukan. Ini juga menjelaskan perwatakan Kartini yang mahu bebas. Kartini merokok (lambang maskuliniti), minum alkohol (berdasarkan props yang mencadangkan), berdialog dengan bahasa campuran Melayu-Inggeris kolokial, pergi disko, menjalin hubungan cinta antara kaum (dengan pilot berbangsa Cina dan expat Amerika) dan banyak lagi petanda-petanda yang sekaligus menjelaskan perwatakannya yang bukan mewakili wanita-wanita Melayu yang konservatif. Kartini juga agak out-spoken. Kita percaya yang watak sebegini memang wujud. Dia kelihatan begitu selesa dengan dirinya yang menjalani kehidupan sebegitu. Tidak nampak kepura-puraan atau orang yang terkena kejutan budaya.


Namun, sebagai wanita yang inginkan kebebasan, usahanya hanya sekerat jalan. Inilah tragedi yang menimpa watak ini. Dia masih lagi tunduk dengan kehendak sosial berbanding memenuhi kemahuannya sendiri. Dia marahkan Mak Piah tetapi masih menurut kehendak ibunya. Di akhir pementasan, tanpa keazaman yang kuat, Kartini menelefon Kassim Rahman untuk mencuba-cuba meneruskan percarian jodohnya.


Namun, yang ditonjolkan melalui watak Kartini ini lebih mengelirukan sebenarnya. Kartini tidak layak dipanggil wanita moden sekiranya tidak mempunyai keazaman yang kuat. Sangkaan bahawa watak Kartini bolehlah disamakan visinya dengan watak-watak wanita karangan Henrik Ibsen, namun disebabkan dia patuh kepada kehendak keluarga dan tekanan masyarakat serta dirinya sendiri yang mahu mengikat ikatan perkahwinan, watak ini yang pada awalnya ingin bebas masih kekal terperangkap dalam persoalan budaya dan norma masyarakat. Ia menjadi keliru kerana perangkap ini bukan dibina oleh orang lain tetapi sifat dirinya sendiri yang tunduk dan akur kepada tekanan sosial dan psikologinya sendiri. Kartini tidak sedar yang nilai-nilai tradisi masih lagi terikat kuat dalam dirinya walaupun dia menjalani kehidupan yang penuh kemodenan.


Kisah-kisah percintaan yang terbenam menjadi nostalgia mengikat watak ini untuk menjadi bebas. Di akhir adegan, ingatan-ingatan Kartini terhadap semua bekas kekasihnya dimainkan dengan penuh dramatik dan memberi kesan psikologi kepada Kartini. Kartini bukan sahaja dibelenggu tekanan sosial, tapi persoalan psikologinya sendiri. Inilah yang ditegaskan bahawa pencarian Kartini untuk mencari kebebasan adalah usaha sekerat jalan. Ia menjadi komedi secara tiba-tiba kerana karektornya yang keliru. Kartini tidak punya tujuan hidup yang jelas. Gaya hidup moden yang diamalkan akhirnya cuma aksesori kerana tidak ditunjangi daya pemikiran yang bebas. Ia jadi komedi kerana watak Kartini yang telah jatuh ingin bangkit melawan tetapi terjatuh lagi – kali ini dalam keadaan yang lebih teruk – kelihatan dia mahu merancang masa depannya tetapi yang dilaksanakan adalah bukan rancangannya. Beberapa kali watak Kartini menegaskan (bukan secara satirikal) bahawa impiannya mempunyai ramai anak dan mahu memiliki Alphard – imej biasa sebuah keluarga besar. Ini menunjukkan dia tiada beza dengan wanita kebanyakan yang lain.


Lakonan Farah Rani sungguh dicabar di dalam naskhah ini. Namun, melalui watak Kartini Shuib ia bukanlah penampilan beliau yang terbaik. Saya pernah menonton beberapa hasil lakonan beliau sebelum ini yang ternyata lebih kompleks permainan lakonnya. Meskipun begitu, pengalamannya yang luas dalam sketsa dan improvisasi komedi, Farah sebagai Kartini berjaya menghidupkan jenaka-jenaka ringkas tulisan Redza tanpa terlalu berusaha. Barangkali sering digandingkan bersama, Farah faham benar dengan comedic timing yang ada di dalam naskhah ini.


Persembahan berlangsung selama lebih kurang 75 minit tanpa henti. Kehadiran penonton yang agak ramai memenuhi pementasan pada malam terakhir. Walaupun banyak pementasan berjalan serentak di panggung-panggung lain sekitar Kuala Lumpur, namun bilangan penonton yang banyak menjelaskan perkembangan aktiviti penontonan teater dewasa ini.

0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page