top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Electra yang Mengejutkan

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 9 Mei 2017


Menangani naskhah tragedi Yunani mungkin salah satu impian setiap pengarah. Usia naskhah yang beribu-ribu tahun ini mampu mencabar pengarah untuk membuka perspektif lain dan mencari potensi berbeza naskhah tersebut. Di tangan pengarah Natalie Hennedige daripada Cake Theatrical Production (CTP), Electra benar-benar mengejutkan, penuh kontras dan tegas.


Electra dipentaskan di KuAsh Theatre, TTDI pada 5 sehingga 7 Mei 2017. Pementasan ini telah dipentaskan terlebih dahulu di Singapura pada tahun 2016 dan dibawa untuk bertemu dengan penonton di Malaysia khususnya Kuala Lumpur hanya pada tahun ini. Pada tahun lepas, melalui Classic Series, CTP telah menerbitkan juga Ophelia.


Syarikat teater yang berasal daripada Singapura ini dikhabarkan sering mementaskan teater-teater yang aneh dan penuh eksperimentasi. Saya tidak mempunyai pengalaman menonton teater-teater yang diterbitkan oleh CTP dan tiada tanggapan yang dapat dibuat sebelum pementasan ini dipentaskan.


Pementasan dimulakan dengan lagu popular I will Survive. Ia sangat-sangat kontras dengan tragedi Yunani. Lagu dimainkan sehingga penonton di sebelah saya turut menyanyi bersama dan dengan penuh tegas, lagu tersebut dihentikan dengan serta merta dan digantikan dengan bunyi seolah-olah anda berada di dalam bilik yang kosong dan hanya ada satu bunyi penghawa dingin yang menyejukkan. Ia sesuatu yang mengejutkan. Ketepatan perubahan mood naskhah ini dipentaskan seolah-olah menjadi satu nilai dalam pementasan ini. Mungkin ada yang menganggap ia mungkin kesilapan penata bunyi tetapi ia dilakukan dengan penuh konsisten. Hampir setiap babak pengalaman seperti ini akan wujud dalam pendekatan yang berbeza. Ketepatan perubahan mood di dalam pementasan ini dibantu dengan penataan audio dan muzik yang baik.


Kejutan ini muncul di setiap adegan dengan penuh konsisten. Adakalanya kita merasakan ia betul-betul seperti naskhah tragedi yang meruntun perasaan. Namun, dalam sekelip mata, tragedi ini disulam dengan humor yang nampak seperti dangkal (dan tidak sesuai untuk naskhah tragedi) tetapi sangat matang dalam pemilihan jenakanya. Tidak pernah saya tonton sebuah naskhah tragedi yang punya sense of humor yang baik. Dengan olahan skrip oleh Natalie Hennedige dan Michelle Tan, sentuhan jenakanya cuma sesekali tetapi hadir tepat pada waktunya dan seolah-olah mengetuk kepala untuk menyedarkan tentang berseronok dengan keindahan teaterikal. Terdapat satu adegan yang mengundang tawa di mana watak Agamemnon dengan kapak yang melekat di kepala melintas di ruang pentas ketika watak lain menceritakan tentang kematian Agamemnon. Imej kepala yang terpacak kapak ini seringkali kita jumpa dalam filem-filem jenaka murah Hollywood. Namun di dalam Electra, sekali lagi, ia betul-betul mengejutkan dan penuh kontras.


Pemilihan pelakon juga sangat-sangat menarik. Sudah tentu apabila menangani naskhah Electra, pengkarya tidak akan terlepas dengan persoalan gender. Hennedige telah dengan sengaja mengambil peluang ini dengan menggunakan empat orang pelakon untuk memainkan watak yang pelbagai. Hal ini dilihat jelas melalui pemilihan tiga pelakon iaitu Sharda Harrison, Andrew Marko dan Lian Sutton yang mana setiap mereka memegang lebih daripada satu watak. Mereka juga memainkan watak yang bertentangan jantina (cross gender casting). Tambah menarik lagi, pelakon yang memainkan watak Clytemnestra (ibu Electra) dan Orestes (adik lelaki Electra) dimainkan oleh orang yang sama iaitu Sutton. Pemilihan yang agak baik juga untuk kita lihat bagaimana Orestes pada akhir adegan membunuh ibunya sendiri. Pelakon yang sama iaitu Sutton memainkan dua watak ini memberikan twist yang menarik terhadap adegan pembunuhan tersebut.


Jika kita menonton Electra untuk mencari dunia dan ruang di mana Electra hidup, kita akan gagal. Electra oleh CTP tinggal di dunia post-moden yang tiada di dalam susur masa kita. Terlalu banyak imej, bunyi dan makna yang penuh kontras. Ia seolah tidak cocok dengan dunia yang kita diami sekarang ini. Sebentar kita jumpa Electra menggunakan microwave, sebentar kita jumpa boneka dan topeng macam persembahan tradisional, sebentar kita nampak watak dan mutu lakonan komikal dalam naskhah tragedi, sebentar kita jumpa watak yang gemarkan lagu-lagu popular, klasik dan evergreen. Dunia Electra penuh distorsi dan kontras. Pengarahnya tidak ragu-ragu mengadun kesemua elemen ini di dalam satu persembahan yang sangat pekat citarasa teaterikalnya.


Sebagai pengarah, Hennedige betul-betul mempercayai nalurinya dan kematangan dalam berfikir. Sebagai penonton, kita sedar yang pemilihan yang dibuat oleh pengarah adalah melalui proses kreatif dan bukan sekadar nasib dan cuba-cuba. Tekstur persembahan tampak keras dan tegas tetapi mengejutkan. Dari awal sehingga akhir, kejutan-kejutan ini datang dalam bentuk lakonan, bunyi, penggunaan props, kata-kata dialog dan banyak lagi. Ada banyak hal yang tidak masuk akal tetapi kita membenarkan imaginasi untuk mempercayai dunia ciptaannya.


Pementasan yang memakan masa lebih kurang 90 minit berakhir dengan tepukan yang gemuruh. Ia adalah sebuah persembahan yang sangat mengujakan. Realiti pentas digodam dan dipersoalkan hakikatnya. Dalam dunia Electra yang penuh nilai teaterikal ini, kekaburannya dibuat dengan penuh vivid, kontras dan semacam sentuhan listrik.


0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page