top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012


Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hingga 10. Teater ini dibawakan oleh Peter (Penggerak Teater). Tidak banyak maklumat yang diketahui berkenaan teater ini. Tiada pamphlet, pameran atau info yang menerangkan produksi ini. oleh itu, saya juga tidak mengetahui siapa pelakonnya, pengarah, sinografer dan banyak benda lagi. Yang saya pasti teater ini diterbitkan oleh Peter dan ditulis oleh Yusof Bakar. Karya ini bukanlah pertama kali dipentaskan. Pertama kali dipentaskan di Pulau Pinang. Saya tidak pernah menonton teater ini.

Kebanyakan ahli produksi yang mementaskan teater ini adalah daripada kalangan pelajar ASWARA. Saya kira mereka adalah kalangan yang aktif dalam pementasan teater sekitar Lembah Klang. Ada yang saya lihat pertama kali beraksi di atas pentas dan ada juga yang telah saya lihat penampilan pentasnya sebelum ini. mereka bukanlah golongan professional tetapi masih lagi amatur.


Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan di sini. Perkataan amatur itu disadur daripada perkataan Perancis iaitu amateur yang disadur daripada Latin amator bermaksud pencinta. Oleh itu, golongan amatur teater ini bolehlah digelar pencinta teater. Mereka mementaskan teater kerana mereka suka dan cinta dengan teater. Apabila cinta mengatasi segala-galanya, duit sudah jatuh ke bawah. Tidak seperti professional yang menjadikan pekerjaan teater itu sebagai sumber pendapatan. Jadi saya puji usaha mereka (Peter) dalam memperluas dan memperbanyak pementasan teater. Saya tahu, industri teater ni masih kecil tetapi dengan adanya golongan seperti ini sekurang-kurangnya ia akan membantu meningkatkan perkembangan teater di Malaysia.


Setelah menyaksikan pementasan Dusta Pada Skala 1 Hingga 10, saya mendapati bahawa idea skrip ini dicedok bulat-bulat dari filem Saw. Konsep penceritaan dan naratif juga diwujudkan menghampiri idea filem ini. Saya berasa sangat kecewa dengan tulisan ini yang tidak menonjolkan kreativiti dari penulisnya. Jadi, tiada apa yang menarik untuk dikongsikan melalui skrip ini. Walaubagaimanapun, pemilihan watak-watak yang dimunculkan agak sedikit menarik perhatian saya. Kewujudannya betul-betul signifikan terhadap penceritaan tetapi tidak diatasi dengan mendalam. Ada watak-watak yang agak pipih dan tidak dibulatkan melalui skrip. Pembinaan wataknya tidak betul-betul mendalam. Hal ini adalah penting dalam skrip-skrip yang bemain dengan psikologi. Tambahan, penulis sering menyatakan tokoh-tokoh psikologi dunia dan juga ahli sains yang mengkaji psikologi manusia. Watak Artis itu diwujudkan sekadar memenuhi permainan yang dicipta oleh Mastermind iaitu untuk dirogol. Ianya tidak berjaya memenuhi tuntutan cerita. Begitu juga watak Arkitek yang wujud sekadar memenuhi dialog-dialog. Kalaulah sebenarnya Arkitek ini sebenarnya adalah Mastermind, tentunya ia lebih memberi makna yang besar kerana arkitek sering dikaitkan dengan perancangan dan pelan. Hanya watak Politikus dan Niagawan sahaja yang nampak lebih bulat daripada watak-watak yang lain.


Dengan jujur saya mengatakan saya kurang berminat dengan teater ini atas sebab peribadi. Saya punya citarasa tersendiri yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Terlalu banyak unsur keganasan yang ditampilkan. Pukul memukul, berdarah sana sini. Saya ingat saya hanya akan menyaksikan cerita berdarah dan kemalangan seperti ini dalam Harian Metro sahaja tetapi di pentas juga saya dapat saksikan. Violence yang wujud memualkan saya.


Saya tidak banyak benda lain yang mahu diperkatakan mengenai pementasan ini. secara keseluruhannya Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 tidak menarik perhatian saya. Pada saya ia kurang menarik sejak dari premis idea lagi. Tiada originaliti. Seharusnya setiap pengkarya perlu evolve dan mengambil seberapa banyak inspirasi terpilih ke dalam karya mereka.


1 view0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Lari

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 30 Mac 2012 Pertumbuhan kumpulan-kumpulan kecil teater sejak kebelakangan ini sangatlah memberangsangkan. Tidak dinafikan bahawa kemunculan kum

bottom of page