top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Baling

*Pertama Kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 4 April 2016


Semalam, 3 April 2016, saya telah menonton Baling di Kotak, Five Arts Centre (5AC). Baling diarahkan oleh Mark Teh, salah seorang anggota 5AC dan dilakonkan (atau didemonstrasikan) oleh Imri Nasution, Fahmi Fadzil, Anne James dan Faiq Syazwan Kuhiri. Baling telah menjelajah banyak negara seperti Jepun, Korea Selatan, India dan banyak lagi sebelum dipentaskan di Malaysia di ruang pentas yang kecil dan sangat intim.


Pementasan ini sebenarnya pernah dipentaskan dahulu ketika saya masih di dalam pengajian Diploma Teater di UiTM. Ketika berbual dengan pengarahnya, Mark Teh beritahu saya, ia dipentaskan di dewan makan UiTM Puncak Perdana sekitar tahun 2006. Ini bermakna setelah 10 tahun saya menonton buat kali pertama, kali ini saya datang menonton kembali. Bezanya kali ini, pemahaman saya terhadap teater sudah bertambah baik dan semakin matang. Pengalaman menonton buat kali kedua dalam keadaan yang berbeza ini sudah tentu memberikan saya pengalaman yang secara peribadi amat berguna kepada diri sebagai penggemar teater tanah air.


Baling merupakan sebuah persembahan teater dokumentari yang menggunakan transkrip Rundingan Baling 1955 di antara pihak kerajaan ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lok dengan pihak Parti Komunis Malaya iaitu Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tien. Transkrip ini dibekalkan semasa persembahan berlangsung. Sumber transkrip juga disertakan bagi penonton membaca sendiri transkrip rundingan yang telah dibuat. Sepanjang persembahan, 4 orang pelakon akan membacakan transkrip ini mengikut segmen-segmen yang telah diatur oleh pengarah. Namun, tidak seorang pun pelakon akan membacakan dialog dari watak yang sama dalam setiap segmen. Semua orang akan melakonkan watak David Marshall, Chin Peng dan Tunku Abdul Rahman secara bergilir-gilir dalam setiap segmen. Namun, sepanjang pementasan, hanya watak Tunku, David Marshall dan Chin Peng sahaja dilakonkan. Watak-watak lain tidak.


Pementasan dimulakan dari luar bangunan Kotak 5AC dengan sedikit persembahan video, kemudian bertukar lokasi di tingkat atas dan kemudiannya berpindah ke tingkat bawah. Pementasan di tingkat bawah mengambil masa yang paling panjang namun, kedudukan penonton sering berubah-ubah mengikut kedudukan pelakon yang mengambil tempat yang berbeza-beza untuk setiap segmen. Penerangan ringkas mengenai mobiliti pementasan ini diberitahu pada permulaan persembahan. Kata Fahmi Fadzil pada permulaan persembahan, “shift your seat, change your perspective” (ubah tempat duduk anda, tukar pandangan anda [terjemahan sendiri]).


Baling adalah sebuah karya yang kuat dengan pengaruh teater Bertolt Brecht. Ciri-ciri Brechtian dapat dilihat dan dirasa dengan jelas sepanjang pementasan ini. Dikelaskan sebagai sebuah persembahan teater dokumentari, teater ini mengajak audien melihat kronologi Rundingan Baling dari perspektif yang berbeza. Walaubagaimanapun, secara jelas, pemahaman terhadap rundingan ini bukan mengajak kita melihat dari perspektif mana-mana watak di dalam teater ini tetapi melihat dari luar sebagai rakyat yang matang fikiran menilai kembali sejarah rundingan tersebut. Penonton bebas membuat andaian dan justifikasi kendiri terhadap rundingan tersebut melalui perspektif yang ditawarkan oleh Mark Teh. Hal ini menghampiri dengan pendirian Brecht terhadap fungsi teater yang mahu penonton melihat pementasan dan membuat penilaian kendiri terhadap aksi-aksi yang dilakonkan oleh watak. Brecht yang melihat keupayaan penonton untuk membuat keputusan mahukan penonton membuat keputusan sendiri. Begitu juga di dalam Baling. Sebagai penonton, kita diajak untuk menilai semula sejarah negara dari perspektif yang berbeza.


Alienation (Pengasingan) merupakan ciri terpenting dalam teater Brecht. Menerusi Baling, alienation diwujudkan dengan pelbagai cara. Yang pertama tadi adalah dengan mengajak penonton untuk bertukar-tukar tempat duduk sepanjang pementasan supaya kita tidak begitu selesa dengan duduk di satu tempat sahaja. Kita aktif bergerak sepanjang pementasan. Ini membuatkan kita sedar bahawa kita berada di dalam tempat pementasan dan bukan dibawa meneliti keadaan ketika rundingan dibuat. Selain itu, pelakon juga tidak menghafal skrip tetapi membacakan transkrip-transkrip yang dicetak di atas kertas sepanjang pementasan. Hal ini membuatkan pelakon tidak meletakkan terlalu banyak emosi ketika melakonkan watak yang dibawa. Sebagai penonton, kita akan sedar bahawa bukanlah emosi dan psikologi watak yang perlu diberikan perhatian tetapi idealogi-idealogi yang dibawa oleh watak-watak ini melalui dialog-dialog daripada transkrip sebenar rundingan tersebut. Kurang emosi dan penekanan terhadap emosi watak membuatkan kita tidak bersimpati terhadap watak tetapi meneliti dengan tekun idea yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak ini. Dengan membaca transkrip juga kita sedar bahawa apa yang dilihat ini adalah demonstrasi semula acara tersebut dan bukanlah peniruan ataupun representasi semula babak bersejarah tersebut.


Tambah menarik, untuk setiap adegan, keempat-empat pelakon ini akan bergilir-gilir melakonkan Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Chin Peng. Hal ini membuatkan kita lebih menajamkan pendengaran dialog-dialog berbanding menajamkan pemerhatian kita meneliti perkembangan watak. Malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa watak tidak berkembang di dalam teater Baling. Ini bukanlah suatu konotasi yang tidak baik tetapi satu keputusan yang bijak yang dibuat pengarah Mark Teh.


Saya terfikir, adakah teater ini akan jadi lebih baik jika pelakon amatur diambil memandangkan teater ini tidak memerlukan penyampaian emosi dan teknik lakon yang baik. Saya kira, pemilihan pelakon yang mahir dan professional amatlah perlu dan bertepatan berikutan mereka ini perlu sentiasa sedar yang unsur lakonan yang terlalu menjiwai akan membuatkan pementasan ini gagal dan lebih bersifat tertutup. Stereotaip watak juga akan turut berlaku jika diserahkan pementasan ini kepada kumpulan amatur. Hal ini akan turut menyebabkan anjakan perspektif menjadi lebih kecil dan sempit.


Walaubagaimanapun, bentuk persembahan ini akan gagal sekiranya pengisian yang cuba disampaikan tidak diteliti dengan jelas. Sudah tentu pengisian dan pendekatan yang diambil oleh Mark itulah sebenarnya membentuk sebuah persembahan ala Brecht walaupun tidak mengikut format teater-teater Brecht. Naskhah-naskhah seperti Caucasian Chalk Circle, Mother Courage dan banyak lagi dikatakan contoh mandat-mandat teater Brecht. Namun, dengan bentuk yang tersendiri, Baling masih lagi berjaya menghasilkan halwa yang segar dan pemahaman Mark Teh terhadap konsep teater Epik saranan Brecht.


Pementasan yang berlangsung di Kotak 5AC pada 30 Mac – 3 April 2016 yang lalu dipenuhi oleh penonton setiap hari. Sudah tentu, perspektif yang pelbagai ditemui oleh semua yang hadir. Setelah 61 tahun rundingan ini berlalu, pementasan ini merupakan sebuah retrospektif terhadap acara penting dalam sejarah pembentukan negara kita. Baling mengajak kita menilai semula sejarah sebagai rakyat Malaysia yang semakin matang menilai. Dunia ini bukan diwarna dengan hitam dan putih sahaja (seperti foto-foto lama) tetapi warna lain yang wujud di antara keduanya juga. Mark Teh dan rakan-rakannya seolah-olah berikan kita palet warna untuk kita warnakan sendiri foto sejarah terpenting negara.


Tahniah diucapkan kepada semua.

3 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page