top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012


Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak Teater bertajuk Aku Manusia Berdosa. Dalam pementasan ini terdapat dua buah skrip yang dipentaskan iaitu Kampung Chetek dan juga Ju dan Meo. Skrip ini telah ditulis oleh Nur Ahmad. Antologi skripnya baru dilancarkan oleh pengarah filem tersohor U-Wei Hj Shaari dengan mengambil tajuk yang sama dalam antologi skrip Aku Manusia Berdosa.


Tidak banyak penulis perempuan yang menulis skrip teater di dalam Malaysia. Lenny Erwan adalah salah seorang penulis yang agak prolifik menulis skrip teater dalam bahasa Melayu. Nama Nur Ahmad mungkin nama baru dalam penulisan skrip teater. Saya tidak dapat menjejak karya-karyanya sebelum ini yang dipentaskan. Mungkin ada. Jika betul ada, bermakna agak lemahlah dokumentasi pementasan teater di Malaysia.


Kampung Chetek

Kampong Chetek dilakonkan oleh Dira Abu Zahar. Beliau merupakan pengacara Melodi yang sensasi itew. Persembahan ini berbentuk monolog yang mengambil kira-kira sebanyak 6 watak yang dilakonkan oleh Dira seorang diri. Kampung Chetek mengisahkan kehidupan seorang wanita yang hidup di dalam kampong yang berdepan tomahan daripada penduduk di situ kerana tidak pandai menjaga suami (suaminya berkahwin lagi) sehingga membuatkan dia mengambil keputusan memukul anaknya sehingga mati akibat tertekan dengan tohmahan orang kampong.


Jika diperhatikan dengan skrip ini, terdapat persamaan dengan skrip agung karya Euripedes iaitu Medea. Isunya sama iaitu poligami dan pengakhiran yang sama iaitu watak utama mengambil keputusan membunuh anaknya. Walaubagaimanapun, plotnya tidak diambil sama seperti Medea. Berkemungkinan penulis mengambil inspirasi daripada kisah tersebut untuk disesuaikan dengan latar belakang masyarakat kini.


Melihat dari segi lakonan yang dibawakan oleh Dira Abu Zahar, teater ini gagal memberikan impak yang mendalam terhadap persembahan. Dengan bloking dan aksi yang minimal, penonton terbeban dengan dialog-dialog yang panjang dan sangat informatif itu. informasi yang disampaikan tidak dapat dicernakan dengan baik lantaran tiada banyak aksi lakon yang menyokong dialog-dialognya. Kebanyakannya pelakon hanya duduk dan berdiri sahaja. Tiada pergerakan yang boleh menggoda mata penonton untuk terus melihat aksi lakon. Saya percaya, lakonan bukan hanya pengucapan semata-mata tetapi perlu disertakan dengan aksi yang membawa emosi tertentu. Tubuh, pengucapan dan emosi perlu bergerak seiring bagi memberikan makna yang penuh terhadap dialog-dialog yang dicadangkan oleh penulis.


Selain daripada itu, Kampung Chetek seolah-olah lambat untuk berkembang. Plotnya sahaja berkembang tetapi tidak dari segi emosi. Penonton tidak dipandu emosinya untuk mengikuti cerita tersebut.


Ruang pentas hanya dihiaskan dengan lima bongkah hitam yang disusun di tengah-tengah pentas dengan mesin taip berada di atas bongkah tengah. Set ini tidak berubah dan kekal statik di situ. Sinografinya gagal memberikan justifikasi ruang tersebut berada di mana. Ianya hanya dapat dikesan melalui dialog-dialog.


Dari segi pengarahan, ternyata pementasan ini masih lagi longgar. Tidak banyak idea yang dicurahkan untuk membentuk persona pementasan ini. berkemungkinan disebabkan inilah, lakonan yang dibawa Dira Abu Zahar tampak longgar. Dan dengar cerita juga, pengarahnya terpaksa diganti di saat akhir. Akan tetapi, hal ini bukanlah sesuatu yang harus dikonsider oleh penonton. Macam masakan – peduli apa siapa yang masak, yang penting makanan sedap. Jika makanan sedap, baru kita cari siapa tukang masaknya. Ye tak?


Ju dan Meo

Pementasan yang kedua ditunjangi oleh dua orang pelakon tanah air. Tidak terkenal tetapi agak prolifik dan biasa bergandingan dengan pengarah filem prolifik tanah air. Mereka adalah Mislina Mustafa dan juga Pekin Ibrahim. Kedua-duanya mempunyai port folio dalam bidang lakonan yang agak mantap. Lakonan mereka kebiasaanya dapat dilihat dalam filem-filem bukan blockbuster dan arus perdana.


Ju dan Meo mengisahkan tentang perjalanan cinta sepasang kekasih yang telah berkahwin dan berbulan madu. Untuk kali ke-500 mereka menyambutnya di Malaysia. Mengapa lokasi ini dipilih tidaklah dapat diberikan justifikasi yang jelas. Di dalam sinopsis turut menekankan hal ini. Walaubagaimanapun, hal ini tidak ditekankan di dalam skrip.


Pujian seharusnya diberikan kepada Mislina Mustafa yang punya pengalaman pentas dan juga pengawalan pentas yang baik. Dia seolah-oleh mengikat penonton dengan lakonan yang begitu jujur. Dengan riak wajahnya yang punya emosi yang tajam juga turut mengikat Pekin Ibrahim. Kawalan pentasnya bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga menerusi psikologikal. Kita tahu ini menerusi kombinasi tuturan, pemilihan aksi dan emosi dan juga gestur tubuhnya yang seolah-olah bersatu menjelaskan karektor Ju secara bersahaja. Lakonan Pekin Ibrahim tampak relax dan bersahaja tetapi sering sahaja ditenggelamkan dengan aksi psikologikal yang diberikan oleh Mislina Mustafa. Ada beberapa bahagian, Pekin seolah-olah mencari rentaknya tersendiri untuk bersama-sama dengan Mislina. Antara adegan kesukaan saya adalah apabila Ju berjaya berdiri di atas satu puncak bukit dan melihat permandangan di sekelilingnya. Kurang dialog tetapi reaksi muka yang sungguh memberi makna. Walaupun kita tidak nampak apa yang Ju nampak tetapi kita masih boleh melihat dari reaksi muka Ju lakonan Mislina.


Skrip Ju dan Meo ini agak feminis sifatnya. Tampak tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi secara dasarnya kita tahu dialog-dialog ini akhirnya menyebelahi wanita. (Dalam hal ini jangan gelar saya sebagai chauvinis.) Dialog-dialog yang ditulis untuk Ju lebih membawa maksud yang lebih mendalam dan sangat terperinci berbanding dialog Meo. Sebagai contoh adegan Meo memaksa Ju memijak kepalanya. Saya merasakan Meo tidak punya sebab yang sangat kukuh untuk Ju memijak kepalanya walaupun Ju tidak mahu memijaknya. Kesungguhan Meo memaksa Ju memijak kepalanya hanyalah satu tool bagi penulis untuk menyatakan pendiriannya sebagai wanita. Lantaran itu, suara-suara feminis terkeluar dengan sendirinya walaupun dialog tersebut dituturkan oleh lelaki.


Pengembangan cerita ini menjadi semakin mendatar pada pertengahan cerita. Seperti pengarah sudah tidak punya idea untuk mengawal cerita menjadi lebih dramatik. Ada ketika ianya memberikan momentum persembahan yang baik dan ada ketika tidak.


Melihat kedua-dua persembahan ini, terdapat persamaan yang jelas ketara. Kedua-dua plot dan inti naskhah ini boleh disamakan dengan dua skrip klasik – Medea (karya Euripedes) dan juga Romeo and Juliet (Shakespeare). Kampung Chetek mengambil inspirasi Medea di mana di pengakhiran cerita protagonis akhirnya membunuh anaknya sendiri berpunca daripada poligami. Persamaan mereka adalah kerana wanita yang tidak dapat menanggung pandangan dan tomahan masyarakat terhadap mereka sebagai wanita yang akhirnya terpaksa bertindak di luar akal fikiran manusia waras. Ju dan Meo pula mengambil inspirasi dari karya Shakespeare. Walaubagaimanapun, pada kali ini, nama Juliet didahulukan daripada Romeo pada tajuknya – sekaligus meletakkan wanita di tempat pertama berbanding lelaki. Dari tajuk ini juga sangat jelas pendirian penulis terhadap idea yang cuba dibawa oleh Nur Ahmad. Dari itu, persoalan feminisme timbul sejak dari azali lagi walaupun ianya tidak begitu dijelaskan di dalam skrip asal William Shakespeare (yang lebih berbicara mengenai kasta).


Seperti kebanyakan teater-teater terbitan Rumah Anak Teater, Aku Manusia Berdosa masih mengekalkan ciri-ciri yang hampir sama. Gaya pengarahan dan aspek sinografinya masih lagi meraikan darkness, solemnity, dullness dan mundane. Dengan pemilihan konsep minimalisme, ianya tampak bersesuaian dengan keseluruhan konsep yang cuba digayakan oleh RAT. Ianya seolah-olah sudah menjadi satu trademark untuk rumah produksi ini. Bagi mereka yang gemarkan karya-karya yang lebih lively dan menyegarkan tentunya tidak akan menerima konsep yang agak gelap ini. Walaubagaimanapun, saya masih teruja menonton kerana cuba melihat pementasan ini dari aspek yang berbeza. Berkemungkinan saya teruja dengan pementasan ini yang cuba mengangkat idea penulis wanita (yang jarang-jarang ada di Malaysia).

Secara keseluruhannya, terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk menambah mutu kedua-dua persembahan ini. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian jika memainkan konsep minimalisme. Lantaran itu, beban pementasan sebegini akan digalas di bahu penulis, pengarah dan juga pelakon. Hal-hal lain hanyalah sekadar aksesori untuk menambah impak visual.


p/s: Mislina Mustafa memang power! Tahniah kepada seluruh ahli produksi (walaupun saya dengar banyak cerita kurang menyenangkan)

0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

Lari

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 30 Mac 2012 Pertumbuhan kumpulan-kumpulan kecil teater sejak kebelakangan ini sangatlah memberangsangkan. Tidak dinafikan bahawa kemunculan kum

bottom of page