top of page
  • Writer's pictureFasyali Fadzly

1984: Here and Now

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 2 Ogos 2016


Sepanjang saya menceburkan diri di dalam teater, saya banyak membaca karya-karya penting negara yang ditulis oleh ramai penulis negara. Pendidikan formal dalam bidang teater di Malaysia mendekatkan saya dengan karya-karya penting ini. Kebanyakannya karya-karya dalam bahasa Melayu. Selain bahasa Melayu, ada juga didedahkan dengan penulis-penulis dalam bahasa Inggeris. Antara nama yang sering disebut-sebut adalah Kee Thuan Chye. Saya kira ini pun diperkenalkan oleh pensyarah saya ketika saya di tahun pertama pengajian Diploma Teater di UiTM. Namun, sebagai pelajar pada ketika itu, nama ini sekadar melintas di dalam helaian nota sahaja dan tidak langsung memberi kesan kepada saya untuk mengamati tulisan beliau.


Saya pernah membaca 1984: Here and Now tulisan Thuan Chye lama dahulu. Namun, butir adegannya hilang ditelan masa. Apabila saya mendapat perkhabaran melalui Facebook mengatakan bahawa teater ini akan dipersembahkan kembali, saya tidak teragak-agak untuk menyaksikannya buat pertama kali. Yang lebih menarik, ia dipentaskan dalam bahasa Mandarin, iaitu bukan bahasa yang saya faham. Namun, perdirian saya untuk menonton naskhah ini tebal dan saya fikir, menonton teater perlu melampau batas bahasa. Saya sangat-sangat percaya bahawa bahasa teater adalah aksi dan emosi. Kita boleh memahami cerita dengan mengikuti aksi dan emosi. Kata-kata dan dialog adalah sumber maklumat sahaja.


Jadi, saya merancang untuk datang menonton pada 30 Julai 2016 persembahan malam. Namun, apabila sampai di sana bersama Ridhwan dan Aizam, pementasan sudah pun bermula selama setengah jam. Kami mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan menonton pada malam itu dan datang kembali pada persembahan matinee 31 Julai.


Saya kira, kehadiran saya pada persembahan matinee adalah berbaloi. Sebelum persembahan bermula, penulis yang berseluar pendek kargo dan berbaju produksi dengan tulisan 1984 di hadapan menghampiri kami. Thuan Chye kelihatan keliru dengan kehadiran kami menonton teater berbahasa Mandarin. Sebelum itu, dia bertanya kami datang daripada mana, dan saya jawab saya daripada Aswara (dia sangka kami pelajar). Kemudian memberitahu kami bahawa persembahan akan dipentaskan di dalam bahasa Mandarin. Saya jawab, saya tidak faham bahasa Mandarin tetapi tidak mengapa. Kemudian dia saya meminta beliau untuk menandatangani buku skrip 1984: Here and Now yang saya beli. Sempat saya bertanya samada teater ini pernah dipentaskan di dalam Bahasa Melayu atau tidak dan dia nyatakan tidak. Dia juga berharap ianya akan dipentaskan di dalam bahasa Melayu suatu hari nanti.


Memasuki ruang Black Box New Era College mengingatkan saya dengan interior Stor Teater DBP. Dengan ruang yang intim dan kecil, ia memberi halwa subversif - sama jiwanya dengan Stor Teater DBP. Aizam juga setuju interior panggung ini sama seperti Stor Teater DBP.


Teater ini bukanlah teater dalam bahasa Mandarin pertama yang saya tonton. Pertama dahulu menonton di DPAC. Karya bertajuk Chronology on Death yang 90% menggunakan bahasa Mandarin. Namun, persembahan tersebut menyediakan sarikata di kiri dan kanan pentas untuk pemahaman dialog. 1984: Here and Now tidak menyediakan sarikata. Jadi saya bergantung sepenuhnya dengan aksi dan ingatan-ingatan adegan berdasarkan skrip yang saya telah baca.


Saya enjoy dengan persembahan para pelakon. Melihat pelakon-pelakon melakonkan watak kaum Melayu sungguh mengujakan. Saya kira, banyak sudah sketsa-sketsa atau pementasan dalam bahasa Melayu, jika ada watak kaum Cina atau India, pelakon kaum Melayu yang memerankan watak tersebut. Dan ini pertama kami saya tonton persembahan dalam bahasa Mandarin dan melihat kaum Cina memeran watak kaum Melayu namun segala dialog di dalam bahasa Mandarin. Pelakon-pelakon adalah terdiri daripada pelajar-pelajar di New Era College dari Jabatan Drama dan Visual. Mereka kelihatan begitu komited terhadap watak yang dibawa tanpa judgement mentah terhadap perwatakan. Hal ini juga memberikan kesan terhadap tona dan tekstur persembahan ini.


Apabila membaca skrip (yang ditulis asal dalam bahasa Inggeris), saya merasakan ia akan menjadi sebuah komedi gelap. Namun, sepanjang persembahan berlangsung, jarang sekali saya dengar penonton ketawa. Mungkin di sini saya tertinggal dari segi bahasa. namun, pertukaran tona persembahan ini juga dibuat dengan baik oleh Loh Kok Man (pengarah). Kemungkinan ia dibantu dengan gaya lakonan yang konsisten dan terkawal oleh semua pelakon.


Selain itu, muzik dan audio sangat membantu dalam mengekalkan tona persembahan. Bagi saya yang gagal memahami dialog, maklumat-maklumat dari segi visual dan audio sangat-sangat membantu memberikan kesan emosi terhadap pementasan sekaligus mengikuti persembahan.


1984: Here and Now menggunakan khidmat Fairuz Sulaiman sebagai video artist. Saya tidak pernah menonton hasil kerja Fairuz tetapi sering mengikuti hasil kerja dan eksperimentasi (yang banyak bermain dengan skrin, wayang dan projektor) menerusi laman sosial. Menerusi teater ini, garapan video yang dihasilkan oleh beliau juga menarik dan kreatif. Dengan mobiliti set dan projektor memberikan banyak ruang kepada eksplorasi projektor dan imej di dalam persembahan ini. Dua set kotak yang besar seperti TV ini boleh bergerak di atas pentas sekaligus menjadi set penting dalam naskhah ini. Ia seolah-olah TV besar dengan imej Big Brother yang sangat-sangat berkuasa.


Pementasan berakhir dengan rakaman interview yang dibuat bersama penulis menceritakan sedikit penghasilan naskhah ini 31 tahun yang lalu. Interview dibuat di dalam bahasa Inggeris. Beliau juga menyatakan bagaimana sambutan yang dia dapat selepas pementasan tersebut daripada orang yang menonton dan juga dari pihak berkuasa tempatan. Nama Kee Thuan Chye menjadi buah mulut pegawai di bahagian perlesenan pada ketika itu dan menyebabkan kesukaran beliau untuk mementaskan teater lagi. Namun, tambahnya lagi, dia berharap agar teater yang dipersembahkan di dalam bahasa Inggeris dulunya kepada komuniti urban bandar dapat dipentaskan di dalam bahasa lain untuk mendapat bilangan penonton yang lebih ramai. Dia turut berhasrat supaya ia dapat dipentaskan di dalam bahasa Melayu.


p/s: Kalaulah saya berpeluang mementaskannya di dalam bahasa Melayu, saya nak tukar watak Big Brother kepada wanita dengan nama Bik Berada.


0 views0 comments

Related Posts

See All

Semerah Padi

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 31 Disember 2011 Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di

Aku Manusia Berdosa

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 3 Februari 2012 Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V dari Rumah Anak

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

*Pertama kali diterbitkan di dalam blog Vitaminisme pada 5 Mac 2012 Setelah lama tidak menyaksikan teater, hari Sabtu yang lepas saya telah hadir menonton sebuah teater bertajuk Dusta Pada Skala 1 Hin

bottom of page