Pada 20 hingga 23 Januari 2012
yang lalu telah berlangsung dua buah pementasan teater dalam Teater Kompilasi V
dari Rumah Anak Teater bertajuk Aku Manusia Berdosa. Dalam pementasan ini
terdapat dua buah skrip yang dipentaskan iaitu Kampung Chetek dan juga Ju dan
Meo. Skrip ini telah ditulis oleh Nur Ahmad. Antologi skripnya baru dilancarkan
oleh pengarah filem tersohor U-Wei Hj Shaari dengan mengambil tajuk yang sama
dalam antologi skrip Aku Manusia Berdosa.
Tidak banyak penulis perempuan
yang menulis skrip teater di dalam Malaysia. Lenny Erwan adalah salah seorang
penulis yang agak prolifik menulis skrip teater dalam bahasa Melayu. Nama Nur
Ahmad mungkin nama baru dalam penulisan skrip teater. Saya tidak dapat menjejak
karya-karyanya sebelum ini yang dipentaskan. Mungkin ada. Jika betul ada,
bermakna agak lemahlah dokumentasi pementasan teater di Malaysia.
Kampung Chetek
Kampong Chetek dilakonkan oleh
Dira Abu Zahar. Beliau merupakan pengacara Melodi yang sensasi itew.
Persembahan ini berbentuk monolog yang mengambil kira-kira sebanyak 6 watak
yang dilakonkan oleh Dira seorang diri. Kampung Chetek mengisahkan kehidupan
seorang wanita yang hidup di dalam kampong yang berdepan tomahan daripada
penduduk di situ kerana tidak pandai menjaga suami (suaminya berkahwin lagi) sehingga
membuatkan dia mengambil keputusan memukul anaknya sehingga mati akibat
tertekan dengan tohmahan orang kampong.
Jika diperhatikan dengan skrip
ini, terdapat persamaan dengan skrip agung karya Euripedes iaitu Medea. Isunya
sama iaitu poligami dan pengakhiran yang sama iaitu watak utama mengambil
keputusan membunuh anaknya. Walaubagaimanapun, plotnya tidak diambil sama
seperti Medea. Berkemungkinan penulis mengambil inspirasi daripada kisah
tersebut untuk disesuaikan dengan latar belakang masyarakat kini.
Melihat dari segi lakonan yang
dibawakan oleh Dira Abu Zahar, teater ini gagal memberikan impak yang mendalam
terhadap persembahan. Dengan bloking dan aksi yang minimal, penonton terbeban
dengan dialog-dialog yang panjang dan sangat informatif itu. informasi yang
disampaikan tidak dapat dicernakan dengan baik lantaran tiada banyak aksi lakon
yang menyokong dialog-dialognya. Kebanyakannya pelakon hanya duduk dan berdiri
sahaja. Tiada pergerakan yang boleh menggoda mata penonton untuk terus melihat
aksi lakon. Saya percaya, lakonan bukan hanya pengucapan semata-mata tetapi
perlu disertakan dengan aksi yang membawa emosi tertentu. Tubuh, pengucapan dan
emosi perlu bergerak seiring bagi memberikan makna yang penuh terhadap
dialog-dialog yang dicadangkan oleh penulis.
Selain daripada itu, Kampung
Chetek seolah-olah lambat untuk berkembang. Plotnya sahaja berkembang tetapi
tidak dari segi emosi. Penonton tidak dipandu emosinya untuk mengikuti cerita
tersebut.
Ruang pentas hanya dihiaskan dengan
lima bongkah hitam yang disusun di tengah-tengah pentas dengan mesin taip
berada di atas bongkah tengah. Set ini tidak berubah dan kekal statik di situ.
Sinografinya gagal memberikan justifikasi ruang tersebut berada di mana. Ianya
hanya dapat dikesan melalui dialog-dialog.
Dari segi pengarahan, ternyata
pementasan ini masih lagi longgar. Tidak banyak idea yang dicurahkan untuk
membentuk persona pementasan ini. berkemungkinan disebabkan inilah, lakonan
yang dibawa Dira Abu Zahar tampak longgar. Dan dengar cerita juga, pengarahnya
terpaksa diganti di saat akhir. Akan tetapi, hal ini bukanlah sesuatu yang
harus dikonsider oleh penonton. Macam
masakan – peduli apa siapa yang masak, yang penting makanan sedap. Jika makanan
sedap, baru kita cari siapa tukang masaknya. Ye tak?
Ju dan Meo
Pementasan yang kedua ditunjangi
oleh dua orang pelakon tanah air. Tidak terkenal tetapi agak prolifik dan biasa
bergandingan dengan pengarah filem prolifik tanah air. Mereka adalah Mislina
Mustafa dan juga Pekin Ibrahim. Kedua-duanya mempunyai port folio dalam bidang
lakonan yang agak mantap. Lakonan mereka kebiasaanya dapat dilihat dalam
filem-filem bukan blockbuster dan arus perdana.
Ju dan Meo mengisahkan tentang perjalanan
cinta sepasang kekasih yang telah berkahwin dan berbulan madu. Untuk kali ke-500
mereka menyambutnya di Malaysia. Mengapa lokasi ini dipilih tidaklah dapat
diberikan justifikasi yang jelas. Di dalam synopsis turut menekankan hal ini. Walaubagaimanapun,
hal ini tidak ditekankan di dalam skrip.
Pujian seharusnya diberikan
kepada Mislina Mustafa yang punya pengalaman pentas dan juga pengawalan pentas
yang baik. Dia seolah-oleh mengikat penonton dengan lakonan yang begitu jujur. Dengan
riak wajahnya yang punya emosi yang tajam juga turut mengikat Pekin Ibrahim. Kawalan
pentasnya bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga menerusi psikologikal. Kita
tahu ini menerusi kombinasi tuturan, pemilihan aksi dan emosi dan juga gestur
tubuhnya yang seolah-olah bersatu menjelaskan karektor Ju secara bersahaja.
Lakonan Pekin Ibrahim tampak relax dan bersahaja tetapi sering sahaja
ditenggelamkan dengan aksi psikologikal yang diberikan oleh Mislina Mustafa. Ada
beberapa bahagian, Pekin seolah-olah mencari rentaknya tersendiri untuk
bersama-sama dengan Mislina. Antara adegan kesukaan saya adalah apabila Ju
berjaya berdiri di atas satu puncak bukit dan melihat permandangan di
sekelilingnya. Kurang dialog tetapi reaksi muka yang sungguh memberi makna. Walaupun
kita tidak nampak apa yang Ju nampak tetapi kita masih boleh melihat dari
reaksi muka Ju lakonan Mislina.
Skrip Ju dan Meo ini agak
feminis sifatnya. Tampak tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi secara
dasarnya kita tahu dialog-dialog ini akhirnya menyebelahi wanita. (Dalam hal
ini jangan gelar saya sebagai chauvinis.) Dialog-dialog yang ditulis untuk Ju
lebih membawa maksud yang lebih mendalam dan sangat terperinci berbanding dialog
Meo. Sebagai contoh adegan Meo memaksa Ju memijak kepalanya. Saya merasakan Meo
tidak punya sebab yang sangat kukuh untuk Ju memijak kepalanya walaupun Ju
tidak mahu memijaknya. Kesungguhan Meo memaksa Ju memijak kepalanya hanyalah
satu tool bagi penulis untuk menyatakan pendiriannya sebagai wanita. Lantaran itu,
suara-suara feminis terkeluar dengan sendirinya walaupun dialog tersebut
dituturkan oleh lelaki.
Pengembangan cerita ini menjadi
semakin mendatar pada pertengahan cerita. Seperti pengarah sudah tidak punya
idea untuk mengawal cerita menjadi lebih dramatik. Ada ketika ianya memberikan
momentum persembahan yang baik dan ada ketika tidak.
Melihat kedua-dua persembahan
ini, terdapat persamaan yang jelas ketara. Kedua-dua plot dan inti naskhah ini
boleh disamakan dengan dua skrip klasik – Medea (karya Euripedes) dan juga
Romeo and Juliet (Shakespeare). Kampung Chetek mengambil inspirasi Medea di
mana di pengakhiran cerita protagonis akhirnya membunuh anaknya sendiri
berpunca daripada poligami. Persamaan mereka adalah kerana wanita yang tidak
dapat menanggung pandangan dan tomahan masyarakat terhadap mereka sebagai
wanita yang akhirnya terpaksa bertindak di luar akal fikiran manusia waras. Ju
dan Meo pula mengambil inspirasi dari karya Shakespeare. Walaubagaimanapun,
pada kali ini, nama Juliet didahulukan daripada Romeo pada tajuknya – sekaligus meletakkan
wanita di tempat pertama berbanding lelaki. Dari tajuk ini juga sangat jelas
pendirian penulis terhadap idea yang cuba dibawa oleh Nur Ahmad. Dari itu, persoalan
feminisme timbul sejak dari azali lagi walaupun ianya tidak begitu dijelaskan
di dalam skrip asal William Shakespeare (yang lebih berbicara mengenai kasta).
Seperti kebanyakan teater-teater
terbitan Rumah Anak Teater, Aku Manusia Berdosa masih mengekalkan ciri-ciri
yang hampir sama. Gaya pengarahan dan aspek sinografinya masih lagi meraikan
darkness, solemnity, dullness dan mundane. Dengan pemilihan konsep minimalisme,
ianya tampak bersesuaian dengan keseluruhan konsep yang cuba digayakan oleh
RAT. Ianya seolah-olah sudah menjadi satu trademark untuk rumah produksi ini. Bagi
mereka yang gemarkan karya-karya yang lebih lively dan menyegarkan tentunya
tidak akan menerima konsep yang agak gelap ini. Walaubagaimanapun, saya masih
teruja menonton kerana cuba melihat pementasan ini dari aspek yang berbeza. Berkemungkinan
saya teruja dengan pementasan ini yang cuba mengangkat idea penulis wanita
(yang jarang-jarang ada di Malaysia).
Secara keseluruhannya, terdapat
banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk menambah mutu kedua-dua persembahan
ini. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian jika memainkan konsep minimalisme.
Lantaran itu, beban pementasan sebegini akan digalas di bahu penulis, pengarah
dan juga pelakon. Hal-hal lain hanyalah sekadar aksesori untuk menambah impak
visual.
p/s: Mislina Mustafa memang
power! Tahniah kepada seluruh ahli produksi (walaupun saya dengar banyak cerita
kurang menyenangkan)