Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

31.12.11

Review 59 : Semerah Padi


Sejak 24 Disember 2011 yang lalu, telah berlangsung sebuah pementasan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh. Dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya sehingga 31 Disember ini. Teater ini diterbitkan oleh Keno Production iaitu rumah produksi yang sama menerbitkan Sri Mersing pada tahun lepas. Kali ini, formula yang digunakan masih sama dengan pementasan yang lalu iaitu adaptasi filem lama yang mengambil latar penduduk yang mengamalkan gaya hidup Melayu di perkampungan.

Kerja adaptasi sesuatu karya bukanlah sesuatu kerja yang mudah. Biasanya pengadaptasi akan mengekalkan ciri-ciri dominan karya asal supaya roh karya asal tidak jauh ditinggalkan. Adaptasi memerlukan pemahaman yang mendalam dan juga melihat pembaharuan yang ditokok-tambah, atau dibuang-tolak itu sebagai sesuatu yang bersifat lebih segar dan bersesuaian dengan medium yang dipilih. Tidak semua karya-karya boleh diadaptasi secara semberono. Bagi yang memilih untuk mengangkat karya-karya ke atas pentas teater, pastinya karya adaptasi itu memerlukan beberapa perkara yang perlu diambil kira.

Dan bagi melihat karya-karya adaptasi ini, tidak semestinya penonton perlu melihat karya asalnya (dalam kes ini, filem). Sesuatu kerja seni itu seharusnya tidak bergantung pada mana-mana hasil yang sebelumnya. Teater itu sendiri perlu berdiri dengan sendirinya tanpa perlu bantuan daripada pengalaman menonton filem asalnya. Tidak dinafikan bahawa filem Semerah Padi antara filem yang sering menjadi rujukan pelajar perfileman dan juga bahan polemik para akademik. Karya ini dianggap sebagai karya yang agak besar juga. Walaubagaimanapun, pengadaptasi/penulis/pengarah tidak boleh terlalu bergantung kepada faktor ini sahaja memandangkan teater Semerah Padi sudah pula menjadi milik pengkaryanya yang baharu.

Pementasan teater Semerah Padi kurang memberikan pengalaman teater yang baik. Apabila menonton teater, sudah tentu aspek-aspek teaterikal yang menjadi tali pengikat antara audien dengan pentas. Dalam teater ini, aspek-aspek ini kurang diberikan perhatian. Bukan tiada langsung tetapi kurang dan tidak berkesan. Pertama sekali adalah dari gaya lakonan yang masih terikat dengan gaya lakonan TV atau filem. Beberapa watak utama gagal memberikan pesona pentas. Khir Rahman yang memegang watak Aduka kelihatan sebagai seorang protagonis yang terlalu tenang. Interpretasi tenang itu tidak membawa semangat pentas sekaligus menenggelamkan aspek teaterikal itu sendiri. Tidak kurang juga dengan pelakon-pelakon yang lain seperti Anjang Aki (Penghulu), Fauzi Nawawi (Taruna) dan beberapa lagi. Berkemungkinan kesemua mereka adalah pelakon TV dan filem, maka untuk mengawal pentas Panggung Sari yang besar itu kelihatan mereka sangat ditenggelami. Energi pentas mereka yang lemah tidak berjaya memberikan impak yang mendalam terhadap karektor lantaran membuatkan watak yang ditampilkan kelihatan pipih dan tidak bermaya. Walaubagaimanapun, persembahan Fauzi Nawawi adakala memberikan sedikit kelainan, bila bersama dengan kumpulan ensemble. Dia tampak lebih bertenaga berbanding digandingkan dengan pelakon-pelakon utama yang lain.

Memandangkan teater ini mengambil latar masa Melayu tradisional, berkemungkinan adaptasi gaya lakonan bangsawan perlu diterapkan. Terdapat beberapa stock character yang boleh dijadikan contoh untuk memberikan dimensi baharu terhadap karektor-karektor ini seperti Orang Muda, Antagonis (Villain), Puteri dan sebagainya. Mungkin secara lebih tepat teater bentuk ini adalah lebih kepada purbawara. Teater bentuk ini agak popular pada tahun 1950an di mana pada zaman ini merupakan satu era transformaso teater bangsawan kepada realisme. Antara yang paling popular adalah Si Bongkok Tanjung Puteri. Teater purbawara mengambil latar masa Melayu lama tetapi bentuk teaternya tidak mengambil bentuk teater bangsawan. Tiada extra-turn, stock character dan bentuk-bentuk yang menjadikannya sebagai sebuah teater bangsawan. 

Selain itu, terdapat penggunaan watak Korus yang untuk memberikan pengalaman teaterikal. Korus ini digambarkan sebagai superego yang cuba mengawal segala perbuatan watak-watak. Korus ini boleh mengundang kepada perkara keburukan. Fungsi Korus diwujudkan supaya ianya menjelaskan segala apa yang difikirkan oleh watak. Aplikasi Korus ini mungkin dapat membantu shot-shot muka watak dalam filem untuk diterjemahkan di atas pentas. Oleh kerana jarak muka pelakon dengan penonton agak jauh, maka buah-buah fikiran yang bermain di minda watak diperbesarkan (exaggerated) bagi menjelaskannya menggunakan aplikasi tubuh. Pergerakan-pergerakan ini amatlah asing bentuknya bagi latar masa cerita ini dipilih. Hal ini dapat diterima kerana unsur-unsur kelainan inilah yang sebenarnya mewakili perasaan watak-watak tersebut yang kadang-kala terkeluar dari rasional dan moral masyarakat di situ. Walaubagaimanapun, sehingga ke akhir pementasan, Korus kelihatan sudah memberikan sesuatu yang boleh dijangka dan memualkan. Korus yang keluar ini sudah menjadi overuse sehingga membuatkan penonton ketawa apabila watak-watak ini keluar.

Walaubagaimanapun, aspek teaterikal ini tidak dapat memegang penonton untuk duduk tanpa resah gelisah. Momentum persembahan ini dilihat agak lemah dan terlalu dragging. Masing-masing mahu mengawal lakonan mereka sehingga tidak mengawal pentas dengan baik. Tumpuan dan emosi mereka terperangkap di antara pelakon sahaja dan tidak dapat dikongsikan bersama dengan penonton yang hadir. Di sinilah tadi yang dikatakan energi pentas. Ketika pementasan dirasakan sudah mencapai klimaks, ianya berlarutan sehingga ke beberapa babak dan berlanjutan lagi ke babak yang lain pula. Dan ada sesetengah dialog juga seperti tidak perlu diucapkan kerana aksi lakon itu sendiri sudah menjelaskan dialog. Mengapa perlu buat dua perkara jika tujuannya hanya satu. 

Dapat diperhatikan, kebanyakan dialog-dialog yang diucapkan hanyalah menumpukan kepada dua watak sahaja yang berdialog. Jika ada tiga sekalipun, satu watak akan mengambil pendekatan mendiamkan diri. Hal ini yang membuatkan suasana tersebut menjadi tidak lively.

Selain itu, ada juga watak-watak kecil yang cuba menarik perhatian penonton tetapi sebenarnya aksi mereka sungguh mengjengkelkan terutama watak Jejaka ketika mereka sedang asyik bergurau senda di rumahnya. Watak-watak villain yang lain juga kelihatan menjengkelkan. Mereka seringkali terjerit-jerit seolah-olah cuba berlawan lakon sesama mereka sendiri – siapa gelak lagi kuat. Begitu juga dengan watak-watak lain yang kerjanya menjerit tak tentu hala. 

Dari segi pengarahan, Rosdeen cuba bermain di ruang selamat antara eksperimentasi dengan pendekatan komersial ala Istana Budaya. Tidak banyak ruang eksperimentasi yang dimasukkan melainkan penggunaan Korus. (saya dapat tahu bahawa watak-watak korus ini adalah ahli sukan parkour). Pembahagian ruang pentas digunakan dengan baik tetapi tidak dari segi blocking. Rosdeen gagal mengawal fokus area yang perlu diberikan tumpuan. Penonton terpaksa mencari-cari pelakon yang berdialog dalam keramaian pelakon lain atas pentas. Hanya setelah beberapa barus dialog diucapkan, barulah kelihatan watak yang bercakap. Ada juga kadang-kadang pelakon-pelakon lain mencuri aksi utama dengan melakukan aksi yang boleh menarik perhatian penonton untuk melihat mereka walhal adegan itu bukanlah mereka yang menjadi tumpuan. Berkemungkinan dengan bantuan pencahayaan dapat mengecilkan fokus area supaya tumpuan penonton terhadap aksi utama lebih jelas dan tertumpu.

Cuba lihat bagaimana The Lion King diterjemahkan daripada animasi kepada teater muzikal, Roshomon diterjemah dari filem kepada lakonan pentas, Oedipus diterjemah daripada pentas kepada kompisisi muzik, Jogho diterjemah dari novel ke filem. Saya percaya, bila buat kerja adaptasi, kita akan deal dengan apa yang hendak dibuang dan apa yang hendak ditekankan. Dan biasanya kita tak susah nak buang. Jadi, banyak benda yang perlu dibuang dalam Semerah Padi tidak dibuang dan membuatkan cerita tersebut bergerak dengan lambat sekali. Momentum persembahan sangat-sangat perlahan sehingga teater tersebut menjadi satu persembahan yang meletihkan. Kesan-kesan dramatiknya hilang kerana penonton muak menyaksikan sesuatu adegan yang terlalu lama dan tiada resolusi.

Akhir sekali, keseluruhan teater ini gagal memberikan satu pengalaman menonton teater yang baharu. Teater ini sangat mentah dari segi kerja-kerja adaptasi. Berkemungkinan Semerah padi hanya akan kekal status cult sebagai filem. Kerja adaptasi memerlukan proses menterjemah karya dengan lebih serius. Bukan sekadar menggunakan karya hebat untuk menarik penonton datang ke panggung sahaja atau menarik minat panaja untuk menaja.

p/s: Selamat Tahun Baru.

28.12.11

Promo: PARAH di KLPAC


Bagi peminat teater tempatan, aku rasa ada satu teater yang kalian perlu tengok. Teater ini adalah antara yang terbaik setakat ini yang aku tonton. Aku pernah menontonnya ketika pertama kali dipentaskan di Annexe Central Market. Teater ini bakal dipentaskan kembali pada 1-5 Februari 2012 di Pentas 2, KLPAC. Aku pernah menulis review teater ini di SINI.

Oleh yang demikian, aku terpanggil (chewah) untuk buat satu entri untuk promot teater ini. Tajuknya adalah PARAH. Ditulis oleh Alfian Sa’at dan diarahkan Jo Kukathas. Teater ini diterbitkan oleh The Instant Cafe Theatre Company. 


Sinopsis
Melur, Hafiz, Mahesh dan Kahoe merupakan 5 orang pelajar Tingkatan 5 di Kuala Lumpur. Sebagai rakan karib, mereka sentiasa berada di rumah Melur, melepak, saling usik-mengusik dan kadang-kadang belajar.

Apabila empat sekawan ini bersama-sama, mereka benar-benar kelihatan seperti kanak-kanak poster 1Malaysia.

Satu hari semasa sesi kajian pelajaran mereka, Melur mendapati bahawa sehelai mukasurat dari novel sastera yang dimiliki oleh ibunya, seorang guru sekolah, telah koyak. Menyangka bahawa ianya satu gurauan nakal oleh salah seorang daripada rakan-rakannya, dia menyoal mereka tentang hal itu, tetapi mereka semua menafikannya. Walaupun begitu, Melur merasakan bahawa salah seorang daripada mereka pasti puncanya.

Apabila Melur menyiasat lebih lanjut, rakan-rakannya mula tertanya-tanya tentang kandungan mukasurat yang terkoyak daripada buku yang bertajuk ʻInterlokʼ itu. Soalan-soalan mula timbul. Soalan-soalan tentang sejarah kolektif mereka dan identiti peribadi. Soalan-soalan yang tidak mampu dijawab oleh Mahesh, Hafiz, Melur dan Kahoe.

Adakah satu perkataan itu benar-benar mempunyai kuasa untuk membentuk realiti dan menukar jalan persahabatan mereka?

Memetik ilham daripada filem terakhir Yasmin Ahmad, Talentime, serta novel Interlok karya Abdullah Hussain, 'Parah' adalah sesuatu penerokaan bagaimana isu jati diri dipertandingkan dalam sebuah negara majmuk yang muda. Lucu, mencabar dan menyentuh hati, 'Parah' bertanya
soalan-soalan mendesak tentang kasih sayang, tempat tinggal dan kekitaan.


Antara pelakon yang membintangi teater ini adalah Iedil Putra, Farah Rani, Gregory Sze dan Branavan Aruljothi. Aku tahu, tak ada satu nama popular pun dalam teater ini. Tapi aku bersumpah, teater ini tidak memerlukan bintang untuk memberikan impak emosi dan minda. Mereka punya energy pentas yang tersendiri.

Info penulis, Alfian Sa’at.
Pemenang beberapa anugerah kesusasteraan, Alfian Saʼat ialah pengarang drama tetap dengan syarikat teater yang sering diiktiraf, W!LD RICE di Singapura. Di antara karya-karya yang diterbitkannya termasuk dua koleksi puisi ʻOne Fierce Hourʼ dan ʻA History of Amnesiaʼ, koleksi cerpen ʻKoridorʼ, serta dua koleksi drama. Alfian telah dicalonkan enam kali untuk Skrip Terbaik anjuran Anugerah Teater Life! di Singapura. Dia memenangi anugerah tersebut pada tahun 2005 bagi naskah ʻLandmarksʼ dan kemudian pada tahun 2010 bagi naskah ʻNadirahʼ arahan Jo Kukathas. Naskah-naskah drama beliau telah diterjemahkan kepada bahasa Jerman dan Sweden dan telah dibaca dan dipentaskan di Singapura, Kuala Lumpur, London, Zurich, Hamburg, Berlin dan Stockholm.

Info pengarah, Jo Kukathas
Artistic Director of The Instant Cafe Theatre Company and of CHAI, Jo Kukathas is an award winning actor, writer and director. Directing highlights include: Midsummer Night’s Dream, Merchant of Venice, Twelfth Night, Hero, Air Con, M! The Opera, and the famous ICT reviews: The Bolehwood Awards, Mass Hysteria, Kurang Manis, 1Sex1Money1Scandal. Her international directorial work includes Pulau Antara (Tokyo, KL), Hotel Grand Asia (Tokyo), Break-ing/Silence Please (KL, Tokyo, Singapore), co-director of Nadirah (Singapore), and PARiAH (Singapore). In 2004 Jo established FIRSTWoRKS, a writing program to develop and direct new Malaysian plays with a different generation of young writers. This program created the award winning plays Flies and Foreigners by Ridzwan Othman, Air Con by Shanon Shah and Hero by Arun Subramaniam – which went on to win New Zealand’s top New Writing prize. Her diverse work in theatre has taken her around the world and she has performed and conducted workshops in Japan, Germany, Korea, India, Singapore, Taiwan, China, Philippines, Indonesia, Australia and the USA.

Tarikh pementasan bermula pada 1 hingga 5 Februari 2012. Tiket berharga RM38 pada 1 Februari dan RM48 pada 2-5 Februari (termasuk RM3 caj tambahan). Pada hari Sabtu dan Ahad ada dua show (3pm dan 8.30pm). Sila klik poster di atas untuk info yang lebih besar dan jelas.

Ini adalah beberapa petikan daripada pengkritik:

Alfian ingenuously weaves among moments of budding romance, teenage crushes on teachers and boys being boys some really complex, confrontational situations where the four friends’ (three boys and a girl) innocent, racially-blind relationships with each other are challenged by an awakening
to their respective positions within Malaysian society.
Mayo Martin - 24 June 2011
http://blogs.todayonline.com
Singapore

... I believe we should have more of this kind of play especially at a time when, as a people, we have grown too quick to sweep things under the carpet or to rush too readily to whatever cause we feel entitled or enjoined to support.
U-En Ng - 30 July 2011
New Straits Times Malaysia

I was astounded by how one simple word could change the course of things happening around us.
Eunice Au - 18 July 2011
New Straits Times, Malaysia

Alfian has observed and grappled with our demons, and distilled down to words the essence of our national consciousness, along with its attendant complexities, fractures, ironies and hypocrisies. That the play manages to do this on both personal and broader, metaphorical levels is quite astounding.
Joshua Chong - 8 July 2011
wearemalaysianmade.com

At first it was a bit surprising to me that it took a Singaporean to write such an honest Malaysian play.
But perhaps it’s because of some level of outsider detachment, a freedom from any communal agenda and calm objectivity that allowed Parah to be written so deftly, with an emotional “tightness” which is never felt heavy-handed.
Joshua Chong - 8 July 2011
wearemalaysianmade.com

a POWERFUL play of words.
Eunice Au - 18 July 2011
New Straits Times, Malaysia

Their raw performance had a tinge of naivete apt in the portrayal of high school students.
Eunice Au - 18 July 2011
New Straits Times, Malaysia

The pathos in Parah comes not from the tragedy of its story, but from the tragedy of its inherent truth; we see not a photoshopped poster of what we wish we were, but the reality of what we are, and that reality is truly heartbreaking.
Joshua Chong - 8 July 2011
wearemalaysianmade.com

dan terakhir sekali daripada aku (dalam press release, dia quote aku atas sekali. hehe)

... ianya dipentaskan pada waktu yang sesuai dan juga tepat. Ianya begitu jujur bercerita tentang rakyat Malaysia yang hidup di dalamnya.
Fasyali Fadzly - 4 July 2011
fasyalifadzly.com

19.12.11

Interview Diri Sendiri : Part II

Part I boleh baca di SINI (klik)

Apa intention kau semasa menulis skrip-skrip tu?
Oleh sebab kebanyakan skrip yang aku tulis tu adalah komedi, bermakna intention yang paling utama adalah to provoke laughter la. 

Tak, maksud aku apa yang kau cuba nak sampaikan? Apa maksud-maksud sebenar di sebalik skrip-skrip kau tu?
Kau mesti tak pernah datang tengok show aku kan? Takpe, aku jawab juga. Aku suka melihat penyakit-penyakit sosial dari perspektif yang berbeza. Dan pada aku tujuan seni itu salah satunya untuk mendokumentasi perkara yang berlaku di sekeliling pengkarya tu sendiri. Jadi, cara aku mendokumentasi adalah dengan menulis dan mengkritik permasalahan itu dengan pendekatan seni. Aku cuba kritik dalam nada sinis dan satira. Lagipun orang Melayu kita ni kan suka cakap berlapik-lapik. Jadi, itu yang aku cuba terapkan dalam penulisan aku. bak kata orang-orang tua. Pukul anak, sindir menantu.  

Maksudnya?
Maksudnya macam ni – aku nak masyarakat melihat diri mereka itu dari perspektif aku pula. Mungkin mereka di luar sana punya pandangan yang berbeza. Jadi aku cuba mengajak mereka untuk melihat dari perspektif aku sebagai penulis dan pengkarya. Aku cuba kongsikan apa yang aku rasa dan fikir pula. 

Jawapan tu macam klise je?
Aku rasa semua pengkarya mahu karyanya dilihat atau ditonton atau didengar. Atau dengan nama koman dikongsi. Kalau kau berkarya dan mahu kau nikmati sendiri buat apa. Even, karya-karya syok sendiri pun – pengkarya tu tetap mahu karyanya itu dikongsikan ditatap oleh orang. Cuma capaiannya itu kepada majoriti atau minoriti.

Dan karya-karya kau tu syok sendiri ke?
Semua karya-karya yang dihasilkan perlu ada rasa syok sendiri. Kalau kita syok kepada karya kita sendiri, barulah kita boleh kongsi. Kalau kau tak rasa syok terhadap karya kau sendiri, bermakna kau tak puas terhadap karya kau. Kau cuma please the audiences. Cuma capaian syok sendiri itu adakah meluas kepada majoriti atau minority. Itu sahaja. Tak semua orang suka karya-karya Jackson Pollock, Lars Von Trier, Usman Awang dan sebagainya. Tapi masih ada yang suka. Jadi, aku lebih senang berkongsi sahaja. Siapa yang suka itu terpulang kepada penonton.

Pergh. Kau ni dah mula berfalsafah dah.
Berfalsafah ke? Takdelah. Aku jawab apa yang kau tanya je. Kau pun macam tak faham je apa yang aku cakap.

Okay, kau juga terlibat dalam pengarahan teater. Sudah berapa banyak teater yag kau arahkan?
Lebih kurang tujuh teater panjang dan satu teater pendek.

Macam mana pula kau boleh terjebak dengan pengarahan?
Masa tu aku baru sambung degree. Semester pertama atau kedua aku tak pasti. Aku direct skrip Jerjak karya Syahrul Fithri Musa. Oleh sebab aku juga menonton teater tu semasa kali pertama dipentaskan dulu, aku agak terpengaruh dengan gaya pengarahan dia. Dan pada aku aku masih lagi mentah dalam pengarahan. aku pun tak tahu apa yang aku buat. Dan cara aku mengarah pun masih kokak lagi pada masa tu. Lepas tu, aku beranikan diri untuk direct teater pertama aku iaitu Berani Mati. 

Macam mana kau berani untuk direct skrip kau sendiri?
Okay, ada kisah sebenarnya. Masa aku tulis Berani Mati tu, aku publish satu skrip penuh kat dalam blog dengan harapan ada orang yang akan komen dan beri pendapat. Lagipun tu skrip kedua aku yang aku tulis. Maka aku nakkan pandangan orang lain dulu sebelum ianya dipentaskan. Tapi malangnya tak ramai orang komen. Lepas tu, aku beranikan diri aku bagi link skrip dalam blog tu kepada Nam Ron. Selang beberapa hari dia komen. Aku jadi teruja sebab dia komen. Lepas tu, aku cuba lagi cari pandangan beberapa orang lain termasuk pensyarah-pensyarah aku juga. Aku beri pada kawan-kawan untuk buat script reading. Lama lepas tu aku pergi menonton teater di KLPAC seorang diri. Nam Ron juga terlibat dalam show tu. Lepas habis show, aku keluar hisap rokok sebelum balik. Aku ternampak Nam Ron juga keluar dari panggung dan hisap rokok bersama kawan-kawan dia. Aku salam dia dan ucap tahniah. Pada masa tu, aku nak cakap terima kasih sebab komen aku punya skrip tapi tak terucap. Aku ni pemalu orangnya.

Lepas tu?
Lepas tu dia tanya, macam pernah jumpa. Aku cakaplah tak pernah sebab itu memang pertama kali aku jumpa dengan dia. Dia tanya adakah aku ni Vitamin – nickname aku dalam blog. Aku pun mengiyakan. Terus dia cakap, aku perlu pentaskan skrip Berani Mati tu. Buatlah dalam apa gaya sekalipun, perlu dipentaskan. Balik je dari tonton teater tu, aku berfikir-fikir. Seminggu lepas tu, aku setup produksi dengan kawan-kawan aku dan terus start arahkan teater aku yang kedua dan skrip aku yang pertama. Alhamdulillah, Berani Mati berjaya dipentaskan. 

Kau rasa macam mana?
Bila aku ingat balik, aku rasa macam bodoh je teater tu. Setelah lebih kurang 3 tahun aku rasa aku boleh buat dengan lebih baik. Tambahan bila aku baca skrip tu balik, aku rasa boleh buat yang lebih baik.

Selepas Berani Mati?
Aku teruskan kerja-kerja pengarahan aku. Dan pada ketika itu, aku juga rasa yang aku ni boleh mengarah juga. Haha. Jadi, aku cuba fokus kepada kerja-kerja pengarahan. selepas itu barulah aku mengarah teater kanak-kanak Reban Ayam Itik, Mak Yong Puteri Timun Muda, Kotak Hitam, Waiting For Godot Too dan Teater Juta-Juta. 

Siapa pengaruh kau dalam kerja pengarahan?
Yang ini pun sama. Aku tak suka mengikut stail tertentu pengarah-pengarah yang sedia ada. Syahrul Fithri cakap, sekarang zaman post-modern – jadi kita tak boleh mengikut sesuatu stail sahaja. Kita kena dengan sendirinya akan terkesan dengan banyak stail yang kita dah tahu. Tambahan aku mengaji secara formal dalam bidang teater, jadi aku ilmu-ilmu formal ini sudah menjadi sebahagian stail pengarahan aku. cumanya, aku tidak boleh terlalu rigid dengan sesuatu stail dan takut-takut untuk dilanggar. 

Tapi mesti ada work yang menjadi inspirasi kau semasa kau mengarah, kan?
Ada. dalam dunia teater tu sendiri aku sangat adore dengan cara Meyerhold berfikir dan invention yang dia buat dalam teater. Pada aku, Meyerhold adalah seorang pengarah teater yang keluar terus secara total dengan apa yang ada pada zaman dia. Dia lawan apa yang guru dia, Stanislavsky buat. Ini adalah model murid yang bagus. Belajar dari guru hebat, lepas tu langgar apa yang guru dia cakap. Selain itu aku juga suka dengan konsep-konsep teater dari Bertolt Brecth, Julie Taymor, Peter Brook, Jerzy Grotowski, Ninagawa, Dimitris Papaiaonnou, Zizi Zulkifli dan banyak lagi pengarah teater yang lain.

Banyak juga pengarah kau minat ni, kan?
Banyak jugalah. Selain itu aku juga suka dengan work yang bagus-bagus. Tak kisah filem ke, novel ke, painting ke, sculpture ke, muzik ke atau apa-apa sahajalah. Sebab pada aku, seni ni kita tak boleh menumpu kepada satu-satu disiplin sahaja. Kita kena buka kepada banyak disiplin. Aku dah cakap sebelum ni. Kalau kita buka pada disiplin-disiplin yang lain, aku rasa punya lebih banyak inspirasi. Jadi, dalam kebanyakan teater yang aku buat, kalau kau perasan akan ada nampak stail-stail orang lain yang aku cuba adapt masuk menjadi sebahagian aku punya stail.

Apa stail kau? Apa signature kau yang orang boleh cakap, “okay, ni Fasyali punya work”?
Aku pun tak tahu. Aku rasa signature tu atau stail tu, biarlah orang lain yang tengok dan cam. Aku rasa aku akan buat sahaja tanpa fikir semua tu. Aku takut nanti terlalu menjaga stail aku, idea aku jadi tersekat dan tak berkembang.

Tapi kebanyakan teater yang kau arahkan adalah skrip tulisan kau sendiri kan?
Ya, kecuali dua iaitu Jerjak dan Oedipus. Yang lain semua skrip aku sendiri. Oedipus tu pun adalah projek final aku masa bergelar student.

Kenapa kau direct skrip kau sendiri? Tak teringin nak buat skrip orang lain?
Pertama kalau aku tak direct skrip aku sendiri, siapa nak direct. Kedua, aku tak menjumpai skrip yang betul-betul aku yakin boleh direct. Teringin juga aku nak direct salah satu skrip Moliere dan Shakespeare. Tapi Insya-Allah bulan Februari 2011 ni nanti aku akan mengarah sebuah teater oleh Shakespeare. Nanti aku akan umumkan kemudian.

Kau tak rasa ke orang Melayu dan Islam di Malaysia ni akan cakap kerja-kerja kau ni adalah pengaruh barat, sekular dan terlalu Western?
Pada aku, ilmu itu milik Tuhan yang satu. tak kisahlah ianya daripada mana sekalipun tetapi aku percaya bahawa ilmu tu milik Tuhan. Jadi aku tidak ada masalah untuk mengaplikasikan mana-mana teori sekalipun samada ianya terbit dari Arab, Amerika, Eropah atau Asia sekalipun. Mana yang baik aku ambil. mana yang tidak, aku ketepikan. 

Tapi kenapa kau tak ambil sumber dari yang dekat je, contohnya Quran? Daripada kau ambil teori-teori barat yang jauh?
Aku baru setahun jagung dalam teater ni. Even interview ni pun aku yang tulis sendiri. Aku tanya, aku jawab. Tak ada sesiapa yang tanya dan paksa aku jawab. Bagi aku, kalau belum tiba masanya untuk aku menggunakan pendekatan-pendekatan Islam baik jangan mengada-ngada nak buat. Nanti sesat. Kalau aku sorang tak apa, ni nanti semua orang sesat. Jadi baiklah aku buat cara aku tersendiri. Aku buat apa yang aku tau je. 

(bersambung Part III)

18.12.11

Interview Diri Sendiri : Part I


Assalamualaikum. Boleh tak aku nak interview kau?
Waalaikumsalam. Boleh apa salahnya. Ini interview untuk apa eh?

Untuk saja-saja je. Boleh kan? Nak masuk dalam blog.
Eh, boleh. Tak de halnya. Tanyalah, nak tanya apa?

Okay, saya start dengan soalan yang pertama. Macam mana boleh terlibat dengan teater?
Oh, masa tu di UKM. Study IT di sana. So, macam universiti lain. Student kena ambil satu subjek ko-kurikulum. So aku ambil subjek teater. Dan sumpah masa tu aku rasa menyampah dengan bebudak teater. Diorang ni poyo. Jadi aku selalu malas datang kelas. Latihan pun buat main-main je. Masuk semester ke berapa ntah, aku punya result TERUK. Hancur gila. Even, subjek teater aku pun dapat E. So, semester berikutnya aku tumpukan perhatian dalam semua subjek. Aku pukul sama rata. Dan aku pun datang kelas teater serajin kelas-kelas yang lain. Dan ketika itu aku rasa teater ni fun. Aku diberi peluang untuk berlakon dalam kelas tu. Dan aku cakap kau, teater ni gian. Lepas terlibat yang itu, aku mula terus cari peluang untuk berlakon.

Lepas tu, macam mana kau boleh belajar kat UiTM. Ni kau cakap kat UKM kan? Bukan kau grad di UiTM ke?
Sekejap cerita aku belum habis. Lepas aku fokus kepada semua subjek yang aku pernah fail, akhirnya result pun keluar untuk semester itu. tapi CGPA aku rendah lagi sehingga dibuang universiti. Haha. Aku pasrah dan malu untuk balik kampong. Jadi, aku stay KL dan kerja kedai komputer buat wiring LAN connection kat mana-mana makmal computer. Bekerja sekali dengan warga Acheh. Dalam masa yang sama, aku dah apply Diploma Seni Lakon kat UiTM tanpa pengetahuan mak ayah aku. Tak tahan kerja dengan gaji yang ciput, aku balik kampong dan ikut jejak langkah famili aku - kerja di dapur restoran.

Bila masa kau masuk UiTM?
Ha... Lepas kerja kat restoran tu sebulan lebih, sampai surat UiTM. Aku masuk belajar UiTM. Maka bermulalah pendidikan formal aku dalam bidang teater. Seingat aku hujung tahun 2004.

So, macam mana belajar di sana?
Oklah. Fun! Aku suka! Sebab aku pernah rasa depress sebab malukan mak ayah aku yang kononnya aku akan jadi programmer suatu hari nanti, so aku belajar bersungguh-sungguh kali ni. Aku harap bila jadi pelakon nanti mak bapak aku akan bangga. Meski tak jadi programmer, aku keluar TV.

Dapat keluar TV?
Ada la dua tiga kali. Lepas tu aku malas dah. Leceh.

Leceh apa pasal?
Aku tak suka pergi casting. Pergi casting beratus-ratus. Tapi job yang lekat ada la dua tiga. Lagipun susah nak fight dengan pelakon lain yang dah ngendeng kat produser awal-awal, yang muka jambu-jambu. So, aku yang datang casting dengan badan kurus melengkung ni, memang tak akan dapat la.

So, kau hancurkan harapan mak ayah kau lagi sekali la ni?
Tak kot, sebab mak ayah aku tak pernah cakap kat aku yang aku kena jadi pelakon masa ambil Diploma Seni Lakon dulu. Diorang cuma cakap, belajar rajin-rajin. Jangan main-main. Itu je. So, aku belajar betul-betul la masa tu.

Okay, kita tukar topik. Cerita sejarah lampau ni macam dah overrated sangat dah kan.
Hah! Tu la. Kau la yang bagi soalan. Aku jawab je.

Okay, soalan seterusnya. Kau pun menulis skrip teater juga kan? Apa skrip-skrip yang kau dah buat?
Aku malu nak mengaku aku penulis skrip. Haha. Sebab aku rasa macam belum layak je. Haha. Okay, skrip pertama aku adalah untuk performance monodrama lebih kurang 7 minit. Aku yang tulis dan aku sendiri yang berlakon. Yang ini aku perform untuk pertandingan di fakulti dulu. Aku wakil kelas yang akan bertanding dengan wakil-wakil dari kelas yang lain. Tajuknya Tangan Kiri Ayah. Skrip ini terinspirasi dari kisah ayah aku sendiri. Tapi untuk jadikan dia sebagai satu bentuk persembahan, aku exaggerate sikit supaya ada elemen dramatik. Dan Alhamdulillah dalam pertandingan dalaman fakulti tu, aku dinobatkan sebagai persembahan terbaik dan skrip itu dapat Karya Asal Terbaik. Start dari situ aku rasa yang aku juga boleh menulis. Jadi, aku terus menulis.

Ada skrip lain yang kau tulis?
Ada. setakat ni aku dan tulis Berani Mati, Kotak Hitam, Teater Juta-Juta, Reban Ayam Itik – yang ini teater kanak-kanak dan beberapa karya pendek seperti Waiting For Godot Too dan juga Hello, Nama Saya... ada lagi satu skrip yang aku tulis tapi belum dipentaskan lagi.

Apa tu?
Barah. Malah Barah ni adalah skrip panjang aku yang pertama sekali dihasilkan iaitu sekitar tahun 2007 tapi belum pun pernah ada peluang untuk dipentaskan.

Kenapa kau simpan skrip tu lama-lama?
Sebab masa first time aku tulis tu, aku sangat ambitious. Masa aku tulis, aku bayangkan set yang besar, pelakon yang ramai. Nak perform di Istana Budaya atau panggung yang boleh tampung ramai audien. Jadi, Barah ni memang boleh dikatakan telan bajet besar berbanding skrip aku yang lain. Jadi kena tunggu ada bajet la baru boleh pentaskan. Tapi takdelah bajet yang besar gila babi punya. tapi dia besar sedikit dari teater-teater aku yang lain.

Okay, pasal skrip-skrip yang kau tulis ni, aku tengok banyak sangat yang bergenre komedi? Kau memang suka dengan genre komedi ke?
Ya. Sejak awal penglibatan aku pun aku terdedah dengan teater-teater komedi. Ada orang beranggapan teater-teater komedi ni murah dan tak ada nilai. Pada aku, itu terpulang pada masing-masing. Sebab nilai itu kau yang letak sendiri. Kalau aku nak cakap, Nordin Hassan tu tak ada nilai pun boleh juga sebab itu benda tu subjektif. Macam aku pernah terbaca dalam blog siapa entah dia cakap, masing-masing ada selera masing-masng ketika menjamah makanan. Jadi, ada yang suka pedas, ada yang suka manis, ada yang suka itu dan ini. Jadi selera orang itu mana kita boleh halang. Jadi, sebagai penulis, aku memang suka menulis genre komedi. Sebab pada aku menulis genre komedi itu fun dan mencabar. Aku pernah terfikir, kenapa masa zaman Yunani dulu, masa Festival Dionysia setiap penulis dikehendaki mementaskan tiga tragedi dan cuma satu komedi? So, aku assume sebab komedi lebih sukar ditulis. Sebab tu hantar satu je berbanding tragedi – tiga.

Tapi takkan kau tak nak tulis genre lain selain komedi?
Nak, siapa kata tak nak. Aku juga tak mahu dianggap sebagai penulis teater komedi sahaja. Tetapi setakat ni, semua benda yang aku nampak sebagai sesuatu yang kelakar. Mungkin bila tiba masa aku buat genre lain, aku buatlah. Aku juga memang nak buat sesuatu yang di luar kebiasaan.

Siapa idola kau dalam penulisan teater?
Hurm... aku tak tahu siapa. Dan aku tak suka mengidolakan seseorang itu sebab aku takut nanti aku tertiru stail penulisan dia. Tapi aku lebih suka melihat pelbagai gaya penulisan banyak penulis lain dan lihat apa yang special penulis-penulis ni.

Contoh penulis yang kau rasa special?
Kalau penulis tempatan aku rasa Malina Manja. Hatta Azad Khan pun mungkin juga tapi tak kuat sangat. Kalau penulis luar aku suka Moliere, Shakespeare, Michael Frayn (walaupun aku baru baca satu je skrip dia). Woody Allen dan juga Charlie Kaufman juga.

Woody Allen dengan Charlie Kaufman tu bukan tulis untuk filem ke?
Yupp.

So, apa kena mengena dengan teater?
Pada aku, aku tak suka kecilkan skop disiplin itu menjadi satu sahaja. Seni ini bebas – kau boleh masukkan pelbagai disiplin untuk buat dia dinamik. Aku suka penceritaan yang digubah oleh Charlie Kaufman. Itu yag aku cuba serapkan dalam Teater Juta-Juta.

Woody Allen?
Woody Allen aku suka sebab aku suka dialog-dialog arguement yang ada dalam screenplay dia. Those arguements pada aku sangat lively. Sangat hidup. Kalau boleh aku nak cuba apply cara arguement yang Woody Allen buat tu dalam skrip teater.

(bersambung Part II)

13.12.11

Pasca: 1 Plastik Hitam

Alhamdulillah, 6 pementasan 1 Plastik Hitam sudah pun berakhir pada hari Ahad yang lepas. Banyak pandangan yang didengari mengenai pementasan tersebut. Biasalah, seni itu subjektif. Ada yang cakap cantik rupa ini, ada yang cakap cantik rupa itu. Jadi, ianya tidak statik. Masing-masing punya pendapat masing-masing. Ada pula yang memberikan interpretasi yang pelbagai. Aku kira, Syahrul Fithri Musa (pengarah 1 Plastik Hitam) juga akan melepaskan interpretasi kepada audien. Karya sudah dipentaskan pun. Yang memberi makna kini adalah audien yang menonton.

Sumpah, setelah sudah lama tidak berlakon pentas dengan serius, aku kira inilah penampilan aku yang pertama sejak 2007. Sumpah lama. Kalau orang lama kira dah macam come-back la. haha. Pengalaman yang menarik sebab berlakon pentas agak berlainan dengan berlakon dengan kamera. Aku rasa semua pelakon (mahupun yang popular) akan cakap perkara yang sama. Pada aku, aku lebih sukakan pengalaman pentas daripada skrin.  Mungkin interaksi emosi, jiwa dan minda itu sangat intim dan terus. Audien dan performer berkongsi ruang yang sama. Dua-dua berada dalam dunia yang sama tetapi pengalaman yang berbeza. Audien dengan pengalaman menonton, dan pelakon dengan pengalaman yang dia cipta sendiri sebagai watak.

Aku juga terima beberapa komen mengenai penampilan sebagai Lelaki Perkasa dalam teater ini. Kenapa watak aku Lelaki Perkasa walhal aku sebenarnya tidak perkasa? Itu kau kena tanya diri sendiri dan aku rasa kau juga ada jawapannya jika turut menonton 1 Plastik Hitam.

Terima kasih aku tidak terhingga kepada pengarah teater ini, Syahrul Fithri Musa yang sudi mengambil aku berlakon dalam teater ini. Kepada rakan-rakan lakon yang lain seperti Fazleena Hishamuddin, Karl Shafek, Ameera Ramlee, Anas Ridzuan dan juga Aloy Paradoks. Juga kepada penerbit Shawn Amer, sinografer (bakal bergelar bapa tidak lama lagi) Azhar Zainal, pemasaran Hilal Azmi dan juga pengurusan Shazlin Kasim. Aku juga turut mengucapkan selamat datang dan terima kasih di atas bantuan Aji dalam produksi ini. Aku kira dia punya potensi untuk berjaya dalam bidang ini. Ini produksi keduanya bersama MASK Team.

Akhir sekali, terima kasih kepada semua yang telah datang menonton, memberikan sokongan, bantuan dan sebagainya bagi menjayakan pementasan 1 Plastik Hitam. Selepas ini MASK Team akan berehat sebentar bagi memberi laluan kepada semua ahli MASK Team yang punya hal-hal tertentu. Berkemungkinan MASK Team akan kembali pada tahun hadapan dengan karya yang lain pula. 

1.12.11

1 Plastik Hitam


Kurang seminggu lagi pementasan teater 1 Plastik Hitam akan berlangsung. Aku yang terlibat sebagai pelakon sedang dalam persiapan rapi untuk kembali mengambil pentas. Aku tidak pasti bila kali terakhir aku naik atas pentas sebagai pelakon. Jadi, kena ambil masa sedikit untuk kembalikan semangat pentas tu. Eceh!

Kali ini aku mahu promot sikit teater ini. 1 Plastik Hitam adalah sebuah karya dan arahan Syahrul Fithri Musa. Beliau sebelum ini pernah menulis dan mengarahkan beberapa buah teater seperti Jerejak, Gugurnya Kopiah Putih, Isteriku Tiada Susu dan beberapa lagi. Beliau juga adalah salah seorang guru aku ketika belajar dulu di UiTM dan kini sebagai rakan sejawat. Sebenarnya karya ini telah dipentaskan dahulu untuk penilaian lakon pelajar-pelajar diploma. Kemudian, dia menyatakan hasrat untuk mementaskannya kembali dengan roh yang lebih 'jahat'. Kebetulan pihak produser MASK Team turut mencari karya-karya lain untuk dipentaskan. Jadi aku mencadangkannya 1 Plastik Hitam. Ternyata, pementasan kali ini lebih 'jahat' (pendapat peribadi sebagai orang yang pernah menonton pementasan pertama dulu dan kini terlibat dalam produksi secara langsung). 

Sinopsis (dipetik dari Facebook)

Apa yang tersembunyi di dalam satu plastik hitam sehingga menimbulkan segala kekecohan dan menjadi pertikaian kepada semua orang. Mungkinkah benar ia adalah sebuah bom yang dikhuatiri akan meletup? Atau mungkin juga sesuatu yang sangat berharga. Dalam masa yang sama, mereka semua sebenarnya di dalam sebuah rancangan realiti tv menguji bakat seni. Beberapa orang telah tersingkir pada minggu-minggu sebelumnya. Tewas di tangan peserta lain akibat undian sms tidak memihak pada mereka. Dan hari ini, adalah hari penentuan. Siapakah antara mereka bakal menjadi pemenangnya dan mara ke pusingan akhir. Segala ditentukan oleh undian SMS anda. Jadi tolong bawa telefon bimbit anda dan topup sebelum masuk kerana anda, bakal penentu pengakhiran rancangan ini.

Kali ini kami mahukan anda turut serta dalam teater ini. Bukan sebagai pelakon (sebab aku tahu penonton Malaysia masih mahu seronok duduk di kerusi audien). Kami hanya mahu kamu turut serta untuk mengundi secara SMS sahaja. Jadi, sebelum masuk panggung sila topup siap-siap dan bayar bil tertunggak cepat-cepat. Undi anda sangat memberi makna kepada pengakiran cerita ini.

Jumpa anda di Stor Teater DBP 7-11 Disember jam 8.30 malam. Pada hari Ahad, kami akan buat dua pementasan. Satu matinee (3.00 petang) dan malam seperti biasa. Pas masuk berharga RM20. Untuk yang nak pergi dalam kumpulan, anda akan dapat diskaun. Akan tetapi kena tempah dulu. Boleh telefon Hilal untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut di talian 019 - 357 2093. Jumpa di sana.