Apa intention kau semasa menulis skrip-skrip tu?
Oleh sebab kebanyakan skrip yang aku tulis tu adalah komedi, bermakna intention yang paling utama adalah to provoke laughter la.
Tak, maksud aku apa yang kau cuba nak sampaikan? Apa maksud-maksud sebenar di sebalik skrip-skrip kau tu?
Kau mesti tak pernah datang tengok show aku kan? Takpe, aku jawab juga. Aku suka melihat penyakit-penyakit sosial dari perspektif yang berbeza. Dan pada aku tujuan seni itu salah satunya untuk mendokumentasi perkara yang berlaku di sekeliling pengkarya tu sendiri. Jadi, cara aku mendokumentasi adalah dengan menulis dan mengkritik permasalahan itu dengan pendekatan seni. Aku cuba kritik dalam nada sinis dan satira. Lagipun orang Melayu kita ni kan suka cakap berlapik-lapik. Jadi, itu yang aku cuba terapkan dalam penulisan aku. bak kata orang-orang tua. Pukul anak, sindir menantu.
Maksudnya?
Maksudnya macam ni – aku nak masyarakat melihat diri mereka itu dari perspektif aku pula. Mungkin mereka di luar sana punya pandangan yang berbeza. Jadi aku cuba mengajak mereka untuk melihat dari perspektif aku sebagai penulis dan pengkarya. Aku cuba kongsikan apa yang aku rasa dan fikir pula.
Jawapan tu macam klise je?
Aku rasa semua pengkarya mahu karyanya dilihat atau ditonton atau didengar. Atau dengan nama koman dikongsi. Kalau kau berkarya dan mahu kau nikmati sendiri buat apa. Even, karya-karya syok sendiri pun – pengkarya tu tetap mahu karyanya itu dikongsikan ditatap oleh orang. Cuma capaiannya itu kepada majoriti atau minoriti.
Dan karya-karya kau tu syok sendiri ke?
Semua karya-karya yang dihasilkan perlu ada rasa syok sendiri. Kalau kita syok kepada karya kita sendiri, barulah kita boleh kongsi. Kalau kau tak rasa syok terhadap karya kau sendiri, bermakna kau tak puas terhadap karya kau. Kau cuma please the audiences. Cuma capaian syok sendiri itu adakah meluas kepada majoriti atau minority. Itu sahaja. Tak semua orang suka karya-karya Jackson Pollock, Lars Von Trier, Usman Awang dan sebagainya. Tapi masih ada yang suka. Jadi, aku lebih senang berkongsi sahaja. Siapa yang suka itu terpulang kepada penonton.
Pergh. Kau ni dah mula berfalsafah dah.
Berfalsafah ke? Takdelah. Aku jawab apa yang kau tanya je. Kau pun macam tak faham je apa yang aku cakap.
Okay, kau juga terlibat dalam pengarahan teater. Sudah berapa banyak teater yag kau arahkan?
Lebih kurang tujuh teater panjang dan satu teater pendek.
Macam mana pula kau boleh terjebak dengan pengarahan?
Masa tu aku baru sambung degree. Semester pertama atau kedua aku tak pasti. Aku direct skrip Jerjak karya Syahrul Fithri Musa. Oleh sebab aku juga menonton teater tu semasa kali pertama dipentaskan dulu, aku agak terpengaruh dengan gaya pengarahan dia. Dan pada aku aku masih lagi mentah dalam pengarahan. aku pun tak tahu apa yang aku buat. Dan cara aku mengarah pun masih kokak lagi pada masa tu. Lepas tu, aku beranikan diri untuk direct teater pertama aku iaitu Berani Mati.
Macam mana kau berani untuk direct skrip kau sendiri?
Okay, ada kisah sebenarnya. Masa aku tulis Berani Mati tu, aku publish satu skrip penuh kat dalam blog dengan harapan ada orang yang akan komen dan beri pendapat. Lagipun tu skrip kedua aku yang aku tulis. Maka aku nakkan pandangan orang lain dulu sebelum ianya dipentaskan. Tapi malangnya tak ramai orang komen. Lepas tu, aku beranikan diri aku bagi link skrip dalam blog tu kepada Nam Ron. Selang beberapa hari dia komen. Aku jadi teruja sebab dia komen. Lepas tu, aku cuba lagi cari pandangan beberapa orang lain termasuk pensyarah-pensyarah aku juga. Aku beri pada kawan-kawan untuk buat script reading. Lama lepas tu aku pergi menonton teater di KLPAC seorang diri. Nam Ron juga terlibat dalam show tu. Lepas habis show, aku keluar hisap rokok sebelum balik. Aku ternampak Nam Ron juga keluar dari panggung dan hisap rokok bersama kawan-kawan dia. Aku salam dia dan ucap tahniah. Pada masa tu, aku nak cakap terima kasih sebab komen aku punya skrip tapi tak terucap. Aku ni pemalu orangnya.
Lepas tu?
Lepas tu dia tanya, macam pernah jumpa. Aku cakaplah tak pernah sebab itu memang pertama kali aku jumpa dengan dia. Dia tanya adakah aku ni Vitamin – nickname aku dalam blog. Aku pun mengiyakan. Terus dia cakap, aku perlu pentaskan skrip Berani Mati tu. Buatlah dalam apa gaya sekalipun, perlu dipentaskan. Balik je dari tonton teater tu, aku berfikir-fikir. Seminggu lepas tu, aku setup produksi dengan kawan-kawan aku dan terus start arahkan teater aku yang kedua dan skrip aku yang pertama. Alhamdulillah, Berani Mati berjaya dipentaskan.
Kau rasa macam mana?
Bila aku ingat balik, aku rasa macam bodoh je teater tu. Setelah lebih kurang 3 tahun aku rasa aku boleh buat dengan lebih baik. Tambahan bila aku baca skrip tu balik, aku rasa boleh buat yang lebih baik.
Selepas Berani Mati?
Aku teruskan kerja-kerja pengarahan aku. Dan pada ketika itu, aku juga rasa yang aku ni boleh mengarah juga. Haha. Jadi, aku cuba fokus kepada kerja-kerja pengarahan. selepas itu barulah aku mengarah teater kanak-kanak Reban Ayam Itik, Mak Yong Puteri Timun Muda, Kotak Hitam, Waiting For Godot Too dan Teater Juta-Juta.
Siapa pengaruh kau dalam kerja pengarahan?
Yang ini pun sama. Aku tak suka mengikut stail tertentu pengarah-pengarah yang sedia ada. Syahrul Fithri cakap, sekarang zaman post-modern – jadi kita tak boleh mengikut sesuatu stail sahaja. Kita kena dengan sendirinya akan terkesan dengan banyak stail yang kita dah tahu. Tambahan aku mengaji secara formal dalam bidang teater, jadi aku ilmu-ilmu formal ini sudah menjadi sebahagian stail pengarahan aku. cumanya, aku tidak boleh terlalu rigid dengan sesuatu stail dan takut-takut untuk dilanggar.
Tapi mesti ada work yang menjadi inspirasi kau semasa kau mengarah, kan?
Ada. dalam dunia teater tu sendiri aku sangat adore dengan cara Meyerhold berfikir dan invention yang dia buat dalam teater. Pada aku, Meyerhold adalah seorang pengarah teater yang keluar terus secara total dengan apa yang ada pada zaman dia. Dia lawan apa yang guru dia, Stanislavsky buat. Ini adalah model murid yang bagus. Belajar dari guru hebat, lepas tu langgar apa yang guru dia cakap. Selain itu aku juga suka dengan konsep-konsep teater dari Bertolt Brecth, Julie Taymor, Peter Brook, Jerzy Grotowski, Ninagawa, Dimitris Papaiaonnou, Zizi Zulkifli dan banyak lagi pengarah teater yang lain.
Banyak juga pengarah kau minat ni, kan?
Banyak jugalah. Selain itu aku juga suka dengan work yang bagus-bagus. Tak kisah filem ke, novel ke, painting ke, sculpture ke, muzik ke atau apa-apa sahajalah. Sebab pada aku, seni ni kita tak boleh menumpu kepada satu-satu disiplin sahaja. Kita kena buka kepada banyak disiplin. Aku dah cakap sebelum ni. Kalau kita buka pada disiplin-disiplin yang lain, aku rasa punya lebih banyak inspirasi. Jadi, dalam kebanyakan teater yang aku buat, kalau kau perasan akan ada nampak stail-stail orang lain yang aku cuba adapt masuk menjadi sebahagian aku punya stail.
Apa stail kau? Apa signature kau yang orang boleh cakap, “okay, ni Fasyali punya work”?
Aku pun tak tahu. Aku rasa signature tu atau stail tu, biarlah orang lain yang tengok dan cam. Aku rasa aku akan buat sahaja tanpa fikir semua tu. Aku takut nanti terlalu menjaga stail aku, idea aku jadi tersekat dan tak berkembang.
Tapi kebanyakan teater yang kau arahkan adalah skrip tulisan kau sendiri kan?
Ya, kecuali dua iaitu Jerjak dan Oedipus. Yang lain semua skrip aku sendiri. Oedipus tu pun adalah projek final aku masa bergelar student.
Kenapa kau direct skrip kau sendiri? Tak teringin nak buat skrip orang lain?
Pertama kalau aku tak direct skrip aku sendiri, siapa nak direct. Kedua, aku tak menjumpai skrip yang betul-betul aku yakin boleh direct. Teringin juga aku nak direct salah satu skrip Moliere dan Shakespeare. Tapi Insya-Allah bulan Februari 2011 ni nanti aku akan mengarah sebuah teater oleh Shakespeare. Nanti aku akan umumkan kemudian.
Kau tak rasa ke orang Melayu dan Islam di Malaysia ni akan cakap kerja-kerja kau ni adalah pengaruh barat, sekular dan terlalu Western?
Pada aku, ilmu itu milik Tuhan yang satu. tak kisahlah ianya daripada mana sekalipun tetapi aku percaya bahawa ilmu tu milik Tuhan. Jadi aku tidak ada masalah untuk mengaplikasikan mana-mana teori sekalipun samada ianya terbit dari Arab, Amerika, Eropah atau Asia sekalipun. Mana yang baik aku ambil. mana yang tidak, aku ketepikan.
Tapi kenapa kau tak ambil sumber dari yang dekat je, contohnya Quran? Daripada kau ambil teori-teori barat yang jauh?
Aku baru setahun jagung dalam teater ni. Even interview ni pun aku yang tulis sendiri. Aku tanya, aku jawab. Tak ada sesiapa yang tanya dan paksa aku jawab. Bagi aku, kalau belum tiba masanya untuk aku menggunakan pendekatan-pendekatan Islam baik jangan mengada-ngada nak buat. Nanti sesat. Kalau aku sorang tak apa, ni nanti semua orang sesat. Jadi baiklah aku buat cara aku tersendiri. Aku buat apa yang aku tau je.
(bersambung Part III)
1 comment:
aku suka soalan dan jawapan terakhir interview ni :)
Post a Comment