Sesi QnA I
Kepelbagaian kaum di negara ini telah membuka banyak perkara untuk diperbincangkan dan juga menutup perkara-perkara lain. Ini juga membentuk satu persekitaran yang aku anggap sihat untuk kita saling mengenali sesama bangsa lain mengikut acuan kita sendiri. Taktik-taktik retorik dengan slogan yang berbagai jika tidak digerakkan dari hati, penerimaan antara kaum tidak akan dimengerti dan diaplikasi. Lantas, slogan hanya tinggal slogan.
Sebagai seniman, isu-isu yang berlaku di dalam masyarakat turut dicerminkan di dalam karya-karyanya. Baru-baru ini juga, sempena Bersih 2.0 A.Samad Said sudah menghasilkan dua puisi berkaitan dan berlegar dengan isu tersebut. Pada aku seniman turut melakar sejarah selain mencermin keperibadian seniman itu terhadap masalah di dalam masyarakatnya. Ada yang melihat korupsi yang berlaku di sekeliling itu sebagai sesuatu yang indah untuk dirakam supaya menjadi arkib hidup. Aku setuju dengan kata-kata A.Samad Said (1973) “Pada setiap penyair gundah, daun gugur pun sentiasa indah”
Kepelbagaian kaum di Malaysia turut membantu menghasilkan beberapa pengkarya dan karya yang sentiasa dibual-bualkan. Antara yang begitu memberi kesan pada abad dekad ini adalah karya-karya Allahyarham Yasmin Ahmad, dan juga Interlok karya Abdullah Hussain. Interlok turut menyebabkan karya ini dipolemikkan secara tiba-tiba setelah beberapa tahun ianya ditulis. Ianya dikaitkan dengan tujuan politik, persoalan sosio-budaya, perkauman, nilai sejarah dalam cerita itu sendiri dan fakta-fakta yang salah berkaitan sesuatu kaum tersebut. Alfian Sa’at akhirnya telah menulis sebuah skrip pentas bertajuk PARAH. Pertama kali dipentaskan di Singapura dengan menggunakan tajuk PARiAH. Teater ini diarahkan oleh Jo Kukathas di bawah produksi The Instant Cafe Theatre Company.
Watak-watak dalam PARAH adalah adaptasi watak yang hidup di dalam filem Talentime Yasmin Ahmad. Melur, Hafiz, Mahesh dan Kahoe adalah rakan sekelas tingkatan lima di sebuah sekolah menengah kebangsaan. Mereka sering berkumpul bersama di rumah Melur untuk mengulangkaji pelajaran bersama. Melur adalah watak Melayu ciptaan Yasmin yang berbeza cara pemikirannya dengan masyarakat sekelilingnya yang dijelmakan kembali oleh Alfian Sa’at. Melur dalam teater ini mengingatkan aku watak-watak orang Melayu baharu yang dicadangkan oleh Yasmin Ahmad dalam filem-filemnya. Adaptasi watak ini di dalam teater ini juga begitu bijak. Ianya tidak meniru bulat-bulat watak Melur yang ada di dalam filem Talentime sebaliknya mewujudkan watak yang bersesuaian dilihat di atas pentas. Melur dalam PARAH adalah gadis lincah yang banyak cakap, suka menyoal dan punya energy pentas yang baik.
Watak Mahesh di dalam teater ini tidak dibisukan. Kesemua mereka berdialog. Yang paling lancang adalah watak Hafiz. Hafiz merupakan seorang Melayu yang agak rasis. Dia tanpa segan silu menggelarkan Mahesh sebagai keling dan Kahoe sebagai cina jinjang. Katanya panggilan itu perlu dibiasakan supaya mereka dapat menerima seadanya dan lali dengan panggilan tersebut. Dari sini ternyata mencerminkan pemikiran Hafiz yang pendek. Dia langsung mengenepikan perasaan Mahesh yang tidak suka dipanggil keling dan pariah itu. Kahoe pula berada di tengah-tengah situasi apabila pergaduhan antara Mahesh dan Hafiz. Dia juga selalunya berada di belakang Melur yang keras menegah Hafiz menggunakan perkataan itu. Watak-watak ini juga diwujudkan dengan tidak mengada-ngada untuk mencerminkan pengalaman 1Malaysia. Penyatuan kaum di dalam teater ini lebih realistik berbanding yang wujud dalam program Rumah Terbuka 1Malaysia.
Naratif dalam PARAH mula berkembang apabila Melur membaca novel Interlok kepunyaan ibunya untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakannya. Dia mula perasan bahawa ada satu helaian hilang dalam mukasurat tersebut. Dia bertanya kepada rakan-rakannya yang lain samada mengoyakkan helaian tersebut atau tidak. Selepas diteliti, helaian yang dikoyakkan itu rupanya mengandungi perkataan pariah. Namun, setelah menjumpai bahawa rupa-rupanya, novel tersebut ada perkataan pariah, timbul pula isu lain. Mahesh rasa tidak selesa dengan novel tersebut. Rakan-rakan Indianya yang mengatakan tidak mahu belajar menggunakan teks KOMSAS tersebut kerana mengandungi perkataan tersebut yang dikatakan menghina kaum India. Mahesh tersepit kerana dia langsung tidak menyangka isu pariah itu diperbesarkan oleh rakan-rakannya yang lain. Wujud di sini beberapa polemik penggunaan perkataan pariah di dalam novel Interlok.
Novel Interlok ini juga telah membuka pekung Hafiz yang begitu rasis. Dia yang dibesarkan oleh nenek tidak mendapat didikan seorang ibu dan bapa seperti rakan-rakannya yang lain. Lantas dia cuba mendapatkan perhatian dan mencuba sekerasnya untuk bersaing dengan rakan-rakannya yang lain. Didikan yang kurang sempurna mungkin mengakibatkan dia menjadi begitu rasis. Walaubagaimanapun, pada akhiran cerita segalanya terbongkar apabila mukasurat yang hilang itu sebenarnya dikoyakkan oleh Hafiz kerana menjumpai surat beranak yang diposkan kepadanya dan mengatakan bahawa dia adalah anak angkat kepada jirannya. Mukasurat yang dikoyakkan itu bersamaan dengan tarikh dan waktu kelahiran hafiz di dalam surat beranak. Dia mengoyakkan bukan atas dasar perkataan pariah itu tetapi kerana desakan peribadi dan nalurinya sendiri.
Alfian Sa’at bijak menyulam cerita menjadi sangat menarik. Persoalan ini adalah sesuatu yang begitu kontemporari sifatnya. Dengan perasaan kita masih rindu dan berbicara tentang filem-filem Yasmin Ahmad dan juga Interlok Abdullah Hussain, ianya dipentaskan pada waktu yang sesuai dan juga tepat. Ianya begitu jujur bercerita tentang rakyat Malaysia yang hidup di dalamnya. Mereka begitu rapat sehinggakan mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang utopia ciptaan Alfian Sa’at. Walaubagaimanapun, dunia ciptaan ini begitu menolak Malaysia ciptaan Abdullah Hussain yang dilahirkan begitu tipikal watak-wataknya. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa novel Interlok ini bukan sahaja dibahaskan secara terang-terang di dalam parlimen tetapi juga di dalam karya-karya kontemporari.
Dunia ciptaan Alfian dalam PARAH lebih dilihat menyebelahi Yasmin Ahmad dalam konteks perbandingan ini. Akan tetapi aku dapat rasakan bahawa Alfian cuba mewujudkan Malaysia yang tidak pernah disarankan oleh mana-mana pengkarya. Dia begitu telus bercakap mewakili kaum-kaum lain. Dia juga begitu mendalami apa yang dirasakan oleh kaum lain untuk diterjemahkan di dalam bentuk skrip. Karyanya tidak bersandar pada retorik-retorik dan slogan yang giat dilaungkan pendukung bangsa (konon!).
Kerja pengarahan juga dibuat dengan baik. Jo Kukathas berjaya mengawal tempo persembahan ini dengan cemerlang. Dialog yang kadang panjang, kadang laju, kadang perlahan, kadang pendek disulam dengan begitu cantik sekali. Aku tidak pernah terbeban dengan dialog-dialog yang dilontarkan. Semuanya masuk ke telinga dan terus menyentuh minda dan hati. Penggunaan set yang minimal juga tidak langsung mencacatkan pementasan ini. Pelakon sendiri yang keluar masuk membawa props dan set untuk dilakonkan ke adegan seterusnya. Konsep persembahan ini menghampiri dengan Air-Con arahan Jo Kukathas juga.
Ini adalah kali pertama aku menonton karya Alfian Sa’at dan buat aku jatuh cinta pada karya ini. Aku juga langsung tidak pernah membaca karya-karyanya yang lain sebelum ini. Habis sahaja pementasan, aku tidak habis-habis menyebut macam mana dia boleh tulis cerita begini. Ianya begitu jujur dan memberi kesan pada aku secara peribadi. Pementasan ini buat aku betul-betul puas. Kepuasannya seperti baru lepas main. Teater ini buat aku tersenyum seorang diri. Macam mana orang Singapura boleh tulis pasal Malaysia dan ianya begitu Malaysia sekali bila dipentas.
Apabila dipentaskan di Singapura dengan tajuk PARiAH, aku agak tertanya-tanya. Jo Kukathas sendiri sebagai India menerima pakai perkataan itu di dalam teater arahannya. Adakah perkataan itu tidak menyinggung hatinya sendiri dan kaum India yang lain. Akan tetapi, selepas menonton persembahan ini, Jo Kukathas seolah mencadangkan bahawa pariah itu sudah ada definisi baharu. Dia mengatakan bahawa kaum India di Malaysia bukanlah pariah tetapi mereka yang rasis, menolak bangsa-bangsa lain sebagai kaum pendatang itu sebenarnya lebih pariah dan lebih parah. Mereka yang tidak mahu mengenali bangsa lain itu lebih hina dari pariah.
Bagi yang rasis tegar, tentunya persembahan ini akan diselang seli dengan laungan Hidup Melayu dan junjungan keris tercacak muncung ke atas. Tetapi keterbukaan rakyat Malaysia yang hadir pada malam tadi membuktikan bahawa konsep penerimaan kaum boleh berlaku dengan telus dan saksama sekiranya kita saling menghormati dan mengenali kaum-kaum lain. Mungkin yang yang tertutup pemikirannya akan menganggap bahawa teater ini menghina kaum dan menyentuh sensitiviti kaum. Pada aku sensitiviti itu wujud bila kau fikir ianya sensitif. Kalau kau terbuka menerima setiap perkara dan berfikir dengan rasional, tentunya kau kau akan membuat penilaian sendiri. Media kita pun pariah juga sebenarnya.
Teater ini boleh dikatakan lengkap dari segi teks, pengarahan, lakonan dan perkara meta-teksnya. Mungkin ada penambahbaikan tetapi sebagai persembahan, ia cukup memberikan aku magik pentas yang sukar diperoleh di mana-mana tempat. Ia buat aku cemburu terhadap Alfian Sa’at. Aku yakin teater ini akan menduduki carta top 10 aku dekad 2010-2019. Tahniah diucapkan kepada seluruh ahli produksi.
4 Komen:
Rasa rugi terlepas untuk tonton teater ni :(
memang rugi gila la. huhu
aku cemburu hang dah ada top ten.
yang tu tak perlu cemburu. kau patut cemburu aku dapat tgk show ni...
Post a Comment