Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

8.5.11

Teater Inggeris dan Teater Melayu di Malaysia

oleh Fasyali Fadzly bin Saipul Bahri

Menyentuh mengenai topik ini, mungkin ada di kalangan penggiat teater di Malaysia akan beralih punggung untuk membincangkan permasalahan yang wujud di antara penggiat teater Melayu dan teater Inggeris. Permasalahan ini sebenarnya telah dibincangkan oleh penggiat teater sebelum ini terutama penggiat veteran. Krishen Jit turut mengutarakan permasalahan ini di dalam kolum tulisannya dahulu melalui Talking Drama. Saya hanya sempat membaca tulisan ini setelah dibukukan hasil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tajuk Membesar Bersama Teater. Walaupun ditulis sekitar tahun 70an, polemik ini terus diperkatakan sehingga kini. Seolah tiada penyatuan antara kedua-duanya.

Pada dasarnya permasalahan ini timbul kerana wujudnya perbezaan bahasa yang digunakan oleh kedua-dua produksi ini. Seperti sedia maklum, teater Inggeris mempunyai tempatnya sendiri untuk berteater. Kewujudan pusat pementasan seperti Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), The Actors Studio (TAS) dan Petaling Jaya Live Art (PJLA) menjadi hub kepada teater Inggeris untuk berkarya. Kewujudannya adalah atas tujuan komersil iaitu menjana pendapatan melalui pementasan-pementasan teater, kelas lakonan dan bengkel produksi. Ini bermakna ianya tidak dinaungi oleh mana-mana badan kerajaan dan bergerak sendiri atas tajaan syarikat-syarikat korporat dan persendirian. Walaubagaimanapun, TAS mempunyai strategi tersendiri dalam membangunkan teater Melayu apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini TAS mewujudkan program Teater Rakyat yang memfokuskan pementasan teater berbahasa Melayu. Antara pementasan di bawah program ini adalah Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli, Medea, Titis Sakti dan banyak lagi.

Sementara itu, teater Melayu masih lagi bernaung di bawah badan kerajaan dan kebanyakannya mementaskan teater di panggung-panggung kepunyaan kerajaan dan badan berkanun. Antaranya ialah Istana Budaya (kepunyaan Kementerian Kebudayaan, Komunikasi dan Penerangan), Panggung dan Auditorium Bandaraya (milik DBKL), Stor Teater DBP, Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, Auditorium DBP (ketiga-tiganya milik Dewan Bahasa dan Pustaka), Auditorium Tunku Abdul Rahman MATIC (milik Kementerian Pelancongan) dan beberapa lagi. Mereka tidak mempunyai panggung khas untuk tujuan komersil seperti yang dimiliki oleh kumpulan teater Inggeris. Jadi, mereka mengharapkan kekosongan panggung-panggung yang ada untuk mementaskan teater. Di samping itu, mereka masih lagi mengharapkan bantuan kewangan untuk mementaskan teater. Akan tetapi wujud juga teater Melayu yang sering mementaskan teater walaupun tidak mendapat bantuan kewangan. Antaranya adalah Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) dan Rumah Anak Teater (RAT). Baru-baru ini juga, muncul kumpulan PARADOKS yang mementaskan teater. Kebanyakan mereka mementaskan teater skala kecil di Stor Teater DBP, Panggung Bandaraya dan MATIC. Masing-masing mempunyai kapasiti tempat duduk kurang daripada 400 penonton pada satu-satu masa malah yang paling popular iaitu Stor Teater DBP hanya mampu menampung 80 orang penonton pada satu-satu masa.

Jika dilihat kepada trend lokasi pementasan, wujudlah jurang antara teater Melayu dan teater Inggeris. Masing-masing mahu membezakan stail persembahan antara kedua-duanya. Hal inilah yang dinyatakan oleh mendiang Krishen Jit dan ramai lagi penggiat teater. Masing-masing mahu menyatukan kumpulan ini. Alasannya adalah kerana wujud jurang antara keduanya.

Saya kira, usaha penyatuan dua kelompok ini akhirnya akan menemui jalan kegagalan. Tiada jalan penyelesaian walaupun banyak usaha, bengkel, dialog, wacana dan forum telah dijalankan. Jadi, ianya menunjukkan bahawa ini bukanlah satu permasalahan tetapi satu kepelbagaian dalam meraikan idea. Tidak kira ianya teater berbahasa Melayu atau Inggeris tetapi apa yang perlu dilihat adalah bagaimana idea-idea di dalam teks diangkat di atas pentas. Ianya cuma masalah bahasa yang digunakan di atas pentas. Jika dilihat dari segi idea, ianya masih lagi bertitik tolak kepada isu-isu setempat dan tempatan. Jadi masalah yang perlu diselesaikan adalah masalah pemikiran yang wujud setelah teks diangkat di atas pentas. Bagaimana ianya diangkat di atas pentas – itulah yang utama yang perlu dilihat.

Tidak dinafikan ada juga teater Inggeris yang gagal dari segi idea dan ada juga teater bahasa Melayu yang membawa gagasan idea yang bagus. Jadi, jelaslah di sini, ianya bukan berpunca daripada masalah bahasa. Idea-idea yang diangkat oleh teater Inggeris biasanya bersifat terkini dan kontemporari. Ianya disuntik elemen-elemen urbanism, pendekatan yang lebih sekular dan lebih liberalisme. Mereka berani menyuntik isu-isu taboo yang sukar diperolehi di dalam panggung wayang dan juga kaca televisyen. Isu-isu ini dilegarkan dengan konteks tempatan untuk mencari pasaran setempat. Jadi, tidak hairanlah penonton yang sudah bosan dengan filem-filem tempatan dan juga drama televisyen akan beralih ke panggung-panggung teater Inggeris untuk mencari kelainan. Isu dan idea yang dibawa lebih bebas dan hampir tiada sekatan berbanding medium skrin yang terikat dengan Lembaga Penapisan Filem dan sebagainya. Isu-isu taboo dan sensitif seperti seksualiti, politik, agama dan perkauman sering menjadi tema persembahan untuk menarik penonton-penonton yang lebih terbuka mindanya. Justeru itu, penonton lebih tertarik dengan pementasan-pementasan teater Inggeris yang menawarkan persembahan yang lebih segar dan berani.

Selain itu juga, teks-teks teater Inggeris lebih bersifat telus dan terus. Ianya tidak berselindung di balik simbol-simbol yang sukar untuk dibaca bagi memudahkan penonton memahami naskhah tersebut. Jarang sekali menonton teater-teater Inggeris dengan simbol-simbol dalam teks yang membuatkan penonton berkerut dahi memahami naskhah. Pengarangan naskhah lebih bertitik tolak kepada gerakan naratif yang mudah supaya penonton dapat mengikuti perkembangan cerita. Boleh dikatakan ianya bersifat popular dan kontemporari. Bukan tiada teks-teks yang terlalu artistik dan berbentuk eksperimen tetapi pendekatannya lebih popular dan segar.

Teater-teater Inggeris juga membawa idea-idea segar dengan suntikan eksperimen dalam pementasan-pementasan mereka. Hal ini berkemungkinan kerana mereka mempunyai skrip-skrip yang bermutu yang ada kala diambil daripada luar negara. Malah bukan sahaja skrip yang diambil dari luar tetapi pertukaran idea dengan pengarah-pengarah luar negara juga turut membenarkan pengembangan idea dilakukan oleh kumpulan teater Inggeris. Pada tahun lepas Eugenio Barba telah datang mengadakan bengkel teater di KLPAC. Instant Cafe Theatre Company juga turut membawa pengarah teater dari Denmark, Tage Larson untuk mengarah teater Shakespeare bertajuk Othello. Dengan adanya input dari luar negara sekaligus membawa idea-idea baharu kepada pengarah-pengarah teater tempatan. Jadi, dengan kehadiran beberapa penggiat antarabangsa, pertukaran budaya, adaptasi karya import dan sebagainya membuatkan teater Inggeris lebih banyak input berbanding teater Melayu yang kurang mendapat saluran idea dan naskhah.

Hal ini pula dilihat berlainan sekali dengan suasana teater Melayu. Masalah ketandusan skrip-skrip yang baik merupakan masalah yang utama. Teater Melayu sering menggunakan teks-teks lama untuk dipentaskan. Teks-teks lama ini diberi interpretasi baharu walaupun telah banyak kali ianya dipentaskan. Kebanyakannya mengambil skrip teater tahun 70an dan 80an. Antara karya teater yang diambil adalah daripada penulis Dinsman, Hatta Azad Khan, Nordin Hassan, Kala Dewata, Malina Manja dan ramai lagi. Trend ini boleh dilihat jelas dalam Festival Teater peringkat negeri dan kebangsaan yang kebanyakannya menggunakan teks-teks lama. Ada juga beberapa kumpulan yang menggunakan teks adaptasi ke bahasa Melayu. Teks adaptasi ini juga terdapat limitasi. Hanya karya-karya terkenal dunia sahaja yang berjaya dibawa masuk seperti karya-karya Albert Camus, Tennessee William, Anton Chekhov, Shakespeare, drama klasikal Yunani, dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, teks-teks ini adalah teks-teks lama dan tidak bersifat kontemporari dengan isu semasa dan setempat. Biasanya ianya dibawa masuk setelah berpuluh tahun teks itu diterbitkan. Jika ada pendekatan kontemporari ianya bolehlah dianggap sedikit berbanding karya-karya teater Inggeris. Kebiasaannya teks adaptasi dipentaskan kerana temanya yang lebih universal. Ianya boleh disesuaikan dengan kehendak penonton dan isu setempat.

Saban tahun juga, terdapat banyak karya-karya yang memenangi sayembara dan pertandingan. Walaubagaimanapun, kebanyakan teks-teks ini tidak sesuai diangkat di atas pentas oleh kumpulan-kumpulan kecil. Kebanyakannya membariskan berpuluh-puluh pelakon dan memerlukan modal yang lebih besar. Skrip-skrip teater yang menang juga tidak dapat memenuhi tuntutan penggiat teater skala kecil. Ini juga sebagai satu masalah yang perlu dilihat oleh penulis teater Melayu tempatan.

Selain itu, teater Melayu masih juga mengharapkan idea-idea lama yang ada dan pernah digunakan oleh pengarah-pengarah sebelum ini. Mereka masih mengharapkan idea-idea oleh pengarah-pengarah terdahulu dan juga bentuk persembahan sedia ada untuk dibuat inovasi. Berikutan kekurangan pementasan yang bagus juga membuatkan idea-idea ini akan kekal berputar di kalangan peminatnya sendiri dan inovasi mungkin sekali tidak terjadi. Teater Melayu bukan tiada tokoh yang bagus tetapi mereka lebih gemar untuk berada di dalam lingkungannya sendiri. Ada juga yang sudah meningkat usia tua dan tidak berupaya untuk turun padang bersama penggiat teater muda. Hal inilah yang mewujudkan generasi baharu dalam industri teater tempatan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa generasi kedua ini dikatakan membawa gelombang baharu (new wave). Ianya wujud setelah penubuhan banyak institusi seni di seluruh negera. Golongan veteran yang dulu mengajar di kebanyakan institusi ini telah mewujudkan generai kedua yang membawa idea-idea yang lebih segar. Nam Ron dan Zizie Zulkifli adalah dua orang graduan Akademi Seni Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1990 yang bangkit menerajui gelombang kedua ini di dalam teater Melayu. New Wave ini turut dikepalai oleh beberapa nama yang lain yang turut menghasilkan karya-karya kontemporari Melayu.

Disebabkan ketiadaan panggung pementasan yang khusus, penggiat teater Melayu kebanyakannya menunggu peluang untuk mementaskan karya mereka. Ada yang mengambil peluang semasa festival teater, sambutan Hari Wilayah dan banyak lagi. Dengan menggunakan ruang ini, mereka tidak perlu membayar sewa panggung yang mahal dan menghadapi masalah kewangan yang terlalu serius. Mereka juga tidak mendapat bayaran berdasarkan kutipan tiket tetapi dibayar secara terus oleh pihak penerbit sebagai wang saguhati penglibatan. Oleh yang demikian, mereka dapat meneruskan kegiatan seni mereka dengan wang tersebut. Rata-rata tidak sanggup mengambil risiko mementaskan dan menerbitkan teater sendiri kerana takut pulangan wang tidak besar untuk menampung kos produksi. Oleh yang demikian, teater-teater Melayu kebanyakannya bergerak secara kecil-kecilan untuk berkarya. Mereka sesama sendiri perlu berebut tempat pementasan yang murah supaya dapat mementaskan teater mereka.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan dan individu yang sudah mengambil dan melihat pendekatan kedua-dua teater ini. Mereka menilai pro dan kontra setiap satunya dan disesuaikan dengan keupayaan sendiri untuk mementaskan teater mengikut acuan kontemporari. Nam Ron adalah seorang pengarah teater Melayu yang sudah melangkah luas melintasi sempadan yang tercipta ini. Beliau sering bekerjasama dengan pengarah-pengarah teater Inggeris untuk mencari idea-idea baharu. Pengarah-pengarah teater Inggeris juga melihat pendekatan Nam Ron dalam menangani teater Melayu, untuk diadaptasi ke teater Inggeris supaya dapat menarik penonton dari kaum Melayu. Begitu juga dengan teater Melayu yang mengadaptasi gaya kerja pengarahan dari pengarah teater Inggeris seperti Jo Kukhatas, Faridah Merican dan beberapa lagi.

Permasalahan penyatuan teater Inggeris dan teater Melayu seharusnya bukanlah menjadi masalah yang utama di dalam negara ini. Bahasa adalah perbezaan utama yang digunakan oleh produksi tempatan. Seperti sedia maklum, bahasa adalah medium untuk berkomunikasi. Tetapi di dalam teater apa yang penting adalah meraikan idea. Jadi, apa yang perlu dilihat adalah bagaimana setiap satu idea itu dibawa di dalam teater Inggeris atau pun Melayu. Apabila bercakap mengenai idea, ianya bukanlah masalah secara kelompok tetapi masalah individu yang mendukung idea tersebut. Idea dicetuskan oleh individu sebelum dibawa secara kelompok. Oleh yang demikian, permasalahan utama di dalam penyatuan teater Inggeris dan Melayu adalah idea. Setiap daripada mereka perlu melihat bagaimana idea itu dibawa oleh seseorang individu itu – tidak kisahlah jika ianya disampaikan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina atau India atau sebagainya.

Bahasa sudah tentu tidak boleh disatukan malah boleh mencetuskan satu masalah baharu pula. Tetapi penyatuan idea antara kedua-duanya boleh menimbulkan satu gagasan baharu yang lebih dinamik sifatnya. Idea-idea inilah yang perlu dikongsi oleh penggiat teater Inggeris dan juga teater Melayu. Ini bukanlah bermaksud teater Melayu juga perlu mengambil pendekatan liberal dan sekular, tetapi perlu dilihat dari aspek yang lain iaitu bagaimana idea dibawa. Inilah sebenarnya perkara yang perlu dilihat oleh semua penggiat teater di Malaysia. Bagi meraikan semangat kebangsaan, teater seharusnya tidak perlu dipecah-pecahkan mengikut kelas, kaum, bahasa dan sebagainya. Ianya perlu wujud supaya dunia boleh melihat teater kita berjiwa Malaysia.

p/s: Teringat pementasan break-ing/ka-si-pe-cah di KLPAC dulu. Ini adalah contoh terbaik bagaimana idea dibawa oleh tiga kumpulan teater Inggeris, Melayu dan Cina.
Post a Comment