Kini, Aswara tampil lagi dengan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) edisi 2011 yang berlangsung dari hari Ahad (22 Mei 2011). Setiap malam, ASWARA menyajikan dengan persembahan teater yang berbeza hasil karya pelajar-pelajarnya dari jurusan teater peringkat Diploma dan juga Ijazah Sarjana Muda. Semalam telah berlangsung sebuah pementasan teater Paduka Oedipus terjemahan oleh Samoza karya Shakespeare. Teater ini diarahkan oleh salah seorang pensyarah Jabatan Teater ASWARA yang aku tidak tahu namanya. cuma dikenali dengan nama Abang Kema. Pelajar yang dinilai adalah pemegang watak Oedipus (Syazwan), Jocasta/Messenger (Nadirah, kot?) dan juga sinografi (Franky).
Kepada sesiapa yang tidak mengetahui cerita Oedipus ini, boleh tanya Lebai Google sendiri. Karya ini telah ditulis lebih kurang 600 tahun sebelum masihi. Jadi taip sahaja Oedipus pasti keluar beribu-ribu maklumat mengenai karya ini.
Karya popular yang agung ini telah diangkat ke banyak bentuk. Daripada teater, filem, novel, komposisi muzik, opera, muzikal dan banyak lagi. Biasanya pendekatan-pendekatan baharu digunakan oleh pengarah untuk menyesuaikan Oedipus dengan konteks tempatan dan kotemporari.
Namun sewaktu hadir ke pementasan Oedipus semalam di Panggung Eksperimen ASWARA, Oedipus masih kering. Pementasan ini masih bermain di ruang yang pengarah fikirkan selamat tetapi sebenarnya tidak selamat. Pengarah yang memilih (atau dipertanggungjawabkan untuk mengarah) teks ini perlu bersedia dengan banyak idea-idea yang luar biasa kerana umur teks Oedipus ini sudah ‘tua bangka’. Jadi, pembaharuan perlu diletakkan supaya persembahan ini nampak ‘muda’ dan 'berani' dari segi idea. Aku juga hairan, mengapa teks Oedipus ini diangkat menjadi sebegini rupa.
Aku bukanlah hebat gila dengan teks ini. Akan tetapi aku turut menggunakan teks ini sebagai penilaian tahun akhir masa mengaji dulu. Jadi setiap dialog aku ikuti untuk menanti apakah perkara baharu yang menakjubkan aku untuk diingati pada malam itu. Namun tidak juga kesampaian. Okay, aku menunggu lagi. Aku kira monolog Orang Istana (Messenger’s Speech) akan buat aku kagum. Monolog ini pada aku penuh dengan imejan-imejan yang amat sukar sekali untuk seorang pelakon menyampaikannya. Dialog-dialognya penuh dengan gambaran-gambaran peristiwa yang berlaku di dalam istana semasa Jocasta menggantung diri dan Oedipus membutakan mata. Ianya perlu disampaikan dengan hebat supaya penonton dapat berkongsi tragedi tersebut.
Malangnya, monolog ini lemah. Ditambah dengan bunyi perkusi/dram yang terlalu kuat sehingga menenggelamkan monolog tersebut. Pelakon tidak dapat memberikan gambaran yang baik perkara yang berlaku di dalam Istana Oedipus. Sinografer mahu membantu dengan pancaran video tetapi ianya kelihatan janggal dan tidak memberi kesan dramatik pada adegan tersebut. Katakan begini; aku ceritakan satu kisah yang berlaku pada aku petang semalam. Aku hanya bercakap dan beritahu melalui lisan kepada kamu. Selepas habis cerita, aku tunjukkan video mengenai cerita yang sama aku ceritakan kepada kamu. Apa perasaan kamu? Aku betul-betul kecewa dengan monolog Orang Istana itu. Hal ini adalah pengulangan yang tidak bijak.
Pengarahan Oedipus juga lemah. Aku tak pasti apakah idea yang hendak disampaikan dalam pementasan ini. Ianya nyata sebagai satu duplikasi teater-teater klasik yang selalu dipentaskan di ASWARA.
Setelah habis pementasan, aku masuk ke dalam bilik sesi soal jawab. Aku saja-saja masuk sebab nak tengok dan melihat bagaimana sesi soal jawab itu dijalankan. Namun, tidak seperti yang aku gambarkan. Tetapi pengalaman berada di ruang itu sesuatu yang menarik dan akan diingati melebihi pementasan itu sendiri.
Ada banyak lagi pementasan sempena PeTA ASWARA. Semuanya percuma. Sesiapa yang selalu bertanya kepada aku tiket teater percuma, aku sarankan datang pementasan ini. Banyak pelakon, pengarah dan sinografer muda yang berpendidikan menjayakan teater ini. Mereka dididik secara formal mengenai kerja teater, jadi ada idea-idea muda yang boleh diterokai daripada mereka ini.
p/s: Tak sabar nak tonton Titus Andronicus arahan Kirin Muhamad. Dalam sinopsis dia cakap Shakespeare dah mati.
3 comments:
teringin nak tengok teater..tp tak pernah dapat.
datanglah ke ASWARA minggu ni. ada teater free untuk ditonton...
Banyak kali aku terlepas PETA.
Post a Comment