Selepas menonton keempat-empat persembahan dalam Diploma Showcase, aku menonton pula Muzikal Kampung Baru (MKB) di Auditorium DBKL bersempena Honours Stage (HOST). Sempat menghadirkan diri semasa majlis sidang media yang dibuat dua minggu sebelum persembahan, produksi memberitahu bahawa tahun ini adalah ulang tahun yang ke-111 Kampung Baru. Persembahan ini juga telah mendapat perhatian beberapa pihak penaja dan wartawan. Berkemungkinan isu Kampung Baru yang mendapat tempat di kalangan penduduknya dan warga Kuala Lumpur amnya. Sebelum pementasan ini, beberapa bulan dahulu juga turut terdapat beberapa cadangan kerajaan untuk menaiktaraf Kampung Baru ini bagi mencapai kemajuan selari dengan kemajuan Kuala Lumpur yang bertaraf kota metropolitan. Turut memberikan sokongan dalam pementasan ini adalah generasi ke-tiga Kampung Baru yang diberi nama G3 selain pihak DBKL dan pelbagai lagi badan kerajaan dan bukan kerajaan.
MKB ditulis oleh Hatta Azad Khan. Di antara karya muzikalnya yang telah dipentaskan adalah Muzikal Tun Perak, Muzikal Tanah Air Api Angin, Muzikal Ram dan Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Selain naskhah muzikal, beliau turut menulis karya teater kontemporari yang popular pada era 70an dan 80an seperti Kerusi, Patung-patung, Mayat, Stesen dan banyak lagi. Jika dibandingkan dengan gaya penulisannya semasa era pra-millenium dan pasca-millennium tentu banyak bezanya. Penulisan era pasca-millenium Hatta lebih bertumpu kepada genre muzikal. Berlatar belakangkan penulisan drama of thought seperti saranan Bernard Shaw, beliau berubah arah menjadikan muzikal sebagai hala tuju baharunya. Walaubagaimanapun, penulisan muzikal yang disifatkan Bernard Shaw sebagai total theatre itu turut disulami dengan pemikiran penulis.
Aku ada menulis mengenai total theatre vs drama of thought di sini. Walaubagaimanapun, dalam karya muzikal Hatta Azad Khan, beliau cuba mengimbangi kedua-dua aspek ini. berkemungkinan sebagai seorang penulis, beliau mahu pemikirannya itu juga boleh disampaikan di dalam bentuk yang lebih santai.
MKB mengisahkan sekumpulan anak muda berilmu, lulusan universiti luar dan dalam negara dalam pelbagai bidang bersatu tenaga di bawah teraju Gulam Russel. Mereka membuat pelan dan perancangan membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh lengkap dengan infrastruktur, latihan kemahiran penduduk, serta agihan hartanah selepas dibangunkan. Kumpulan ini telah mengadakan penyelidikan yang rapi di seluruh jabatan kerajaan dan pihak berkuasa bandaraya tentang segala aspek ekonomi, sosial dan perundagan Kampung Baru. Apabila mengemukakan idea itu kepada penduduk Kampung Baru pelbagai peringkat umur, mereka mendapat reaksi yang pelbagai. Haji Palawan, golongan tua yang merupakan penduduk asal Kampung Baru sukar dibawa berunding. Dia menyimpan rasa geram dan dendam yang mendalam terhadap kegagalan pihak yang bertanggungjawab membangunkan Kampung Baru. Haji Palawan teringatkan Kongres Melayu yang pernah diadakan di Padang kelab Sulaiman pada tahun 1946. Dia mengimpikan pemimpin seperti Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Raja Molek dan dua suruhannya, Nesan dan Jalad pula sentiasa mencari kesempatan untuk mendapatkan habuan dengan jalan menyewakan hartanah Kampung Baru kepada sesiapa sahaja yang mahu menjalankan apa-apa sahaja jenis perniagaan. Mereka juga menentang cadangan Gulam dan kawan-kawan. Namun, kumpulan yang berilmu dan bersemangat kental ini tidak mudah mengalah. Mereka turut disokong oleh Mak Renong dan Cik Pa. Haji Palawan akhirnya memberi restu.
Naskhah ini secara terang mengajak penduduk Kampung Baru untuk menerima cadangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru. Berkemungkinan penduduk yang berkeras menolak cadangan kerajaan akan menganggap bahawa naskhah ini sebagai alat propaganda supaya cadangan tersebut diterima. Walaupun ada pihak yang sudah membaca naskhah ini menyelar bahawa karya tersebut tidak berat sebelah, tetapi berdasarkan persembahan yang diarahkan oleh Madzlan Abet, ternyata ianya memihak kepada pembangunan walaupun secara zahiriahnya adalah bersifat menang-menang. MKB membawa ideologi yang telah lama dibawa oleh Syed Alwi, Bidin Subari dan Kala Dewata dalam menangani isu baharu dan lama, maju dan kolot, kampong dan bandar. Di dalam MKB isu ini dibawa sekali lagi tetapi dalam pendekatan yang baharu dan lebih dekat. Ianya disampaikan tanpa berselindung di mana penduduk asal Kampung Baru disifatkan sebagai mereka yang tidak mahu mengikut arus kemajuan dan golongan muda yang terpelajar yang mahu membangunkan Kampung Baru. Pertembungan ideologi lama dan baharu ini walaubagaimanapun tidak memihak kepada golongan lama dan penduduk tetap di Kampung Baru. Di sinilah yang dikatakan sebagai alat propaganda. Kemajuan intelek dan pendidikan berjaya menguasai mereka yang suka bernostalgia dan selesa dengan keadaan sedia ada. Dinamika para intelektual lulusan dalam dan luar negara dilihat berjaya menganjak pemikiran lama penduduk Kampung Baru terutama Haji Palawan yang kental menolak pembangunan. Pada awalnya disebabkan perasaan ragu-ragu terhadap pembangunan yang tiada hala tuju, Haji Palawan menolak keputusan anak muda diketuai oleh Gulam Russel.
Selain pemikiran statik penduduk Kampung Baru yang suka bernostalgia itu, mereka juga digambarkan sebagai Melayu yang racis apabila menolak kehadiran Gulam Russel yang berdarah campur dan juga isteri Gulam, Ratnasari yang juga hasil perkahwinan campur India-Cina. Kumpulan anak muda ini juga dianggotai Joshua dan Nathan yang masing-masing berketurunan Cina dan India. Disebabkan pemikiran yang sempit dan ketidak-bukaan kepada anasir luar membuatkan Haji Palawan selesa kekal di takuk lama tanpa menghiraukan bahawa keadaannya Kampung Baru yang memerlukan perhatian. Hatta Azad Khan di dalam naskhah ini juga mengajak bahawa Melayu itu beranjak kepada pembaharuan. Sikap suka bernostalgia dan tegar selasa walau sebenarnya tidak, seharusnya dikikis. Pemikiran ‘kampung’ itu perlu diperbaharui. Berkemungkinan ini adalah pendekatan Hatta dalam melihat permasalahan Melayu yang begitu ketara di era kini.
Dalam kebanyakan naskhah ‘pertembungan ideologi’, kita akan cuba menyaksikan siapakah yang akan menang di dalam pertembungan tersebut. Di dalam Alang Rentak Seribu karya Syed Alwi (kini Allahyarham) meletakkan pertembungan tersebut di dalam situasi menang-menang. Walaubagaimanapun dalam kebanyakan karya-karya Bidin Subari dan Kala Dewata, biasanya watak yang dimenangkan adalah golongan marhaen berbanding borjoius. Di dalam MKB, Hatta memenangkan golongan muda Gulam Russel. Ini sekaligus menerbitkan ideologi Hatta dalam permasalahan ini – masalah Kampung Baru dan juga Melayu baru. Dalam naskhah ini, Haji Palawan akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk membangunkan Kampung Baru. Walaubagaimanapun, sebagai penduduk asal Kampung Baru, Haji Palawan dilihat tidak begitu sukar untuk menimbang keputusannya. Akhiran cerita dihabiskan dengan mudah. Jika penduduk Kampung Baru yang sebenar tentunya keputusan tidak dibuat semudah ini. Disebabkan isu ini adalah dekat dan begitu semasa sifatnya, kita juga menuntut aksi-aksi yang realistik dengan situasi semasa. Aksi-aksi ini bukanlah aksi lakon tetapi keputusan yang diambil oleh kebanyakan watak yang ditampilkan di dalam naskhah ini.
Berdasarkan kepada persembahan pula, MKB tidak memaparkan idealogi pengarahnya. Madzlan Abet tidak berupaya mengatasi auteurship Hatta Azad Khan lantas stail pengarahannya tidak dapat diceduk keluar daripada pementasan ini. Yang ternyata pekat di dalam persembahan ini adalah gaya penulisan Hatta Azad Khan itu sendiri. Tafsiran pengarah terhadap karya ini juga tidak begitu jitu dan mendalam dari segenap aspek. Eksplorasi teaterikal tidak menampakkan kematangan. Persembahannya masih lagi bertitik tolak kepada muzikal yang ada di Malaysia.
Selepas keluar menonton, aku sempat berjumpa dengan bekas rakan sekelas yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Beliau juga turut terlibat dalam beberapa produksi muzikal sebelum ini. Jadi aku ingin mengambil kira pandangannya di dalam tulisan kali ini. Kami berkongsi pendapat bahawa music direction di dalam pementasan ini tidak jelas. Kata kawan aku, berkemungkinan terdapat banyak komposer yang mencipta lagu untuk muzikal ini. Hal ini aku sanggah sama sekali kerana untuk muzikal Terima Kasih Cinta juga menggunakan pelbagai lagu pop yang digubah oleh ramai orang yang berlainan tetapi music direction-nya jelas. Oleh yang demikian, hal ini tidak mustahil. Seorang musical director perlu mengetahui hala tuju muziknya. Ada satu lagu yang aku perasan penggunaan rentak yang tidak sesuai. Tidak pasti tajuk lagu tetapi di dalam lirik tersebut ada mengatakan bahawa itu lagu joget. Akan tetapi lagu yang dimainkan tidak mengambil elemen joget. Lantas koreografi yang digunakan juga sedikit janggal dengan lirik, nyanyian dan rentak lagu tersebut. Hal ini tidak salah tetapi direction lagu itu tampak tidak jelas.
Dari segi set pula, ianya tidak praktikal untuk digunakan di dalam pementasan ini. perubahan latar tempat sedikit sebanyak mengganggu perubahan set yang sukar dilaksanakan. Ensemble perlu mengalih set-set tersebut dengan mengangkat, memusing, meletak, memasukkan dan mengeluarkan set tersebut setiap kali adegan bertukar. Pertukaran ini lantas mengambil masa yang agak lama dan tidak kemas. Set yang direka perlu praktikal dengan persembahan ini. Ianya tidak nampak mesra dari kaca mata penonton. Penonton terpaksa menunggu set ini habis disusun sebelum adegan seterusnya disambung kembali. Tidak dinafikan ada set yang diulang pakai untuk kegunaan yang lan tetapi beberapa set utama tidak begitu praktikal pengubahannya.
Secara keseluruhannya, pementasan ini berjaya dipentaskan tanpa banyak eksplorasi dari segi idea pengarahan. Ianya bermain di ruang selamat dan kebiasaan. Idea-idea baharu tidak diraikan bersesuaian dengan kehendak skrip yang mengajak pemikiran baharu dan tidak bersifat ‘kampung’.

No comments:
Post a Comment