Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

31.8.10

Dua Puluh Ramadhan

Dua Puluh Ramadhan. Tetapi kisah berlaku pada sembilan belas Ramadhan. Sahur.

Sahur, aku selalu masak. Malas nak turun ke kedai makan semata-mata untuk bersahur. Lebih baik aku masak sendiri. Disebabkan aku tiada masa untuk pergi ke kedai runcit memandangkan aku selalu habis rehearsal jam 10.30 malam (jadi kedai pun dah tutup), maka aku selalu sahur dengan goreng telur sahaja. Telur mata lembu makan dengan kicap. Lada kat rumah aku pun tak ada. Jadi, memang tawar rebeh la makanan aku tanpa ada perasa pedas dan sesedap rasa yang lain.

Jadi, hari sabtu aku punya masa untuk pergi ke kedai runcit. Sebelum keluar rumah, aku tulis semua barang yang hendak disimpan di dapur rumah supaya nanti setiap kali sahur kiranya berlauklah sikit daripada biasa. Kemudian pergi ke kedai runcit berdekatan dan beli semua barang-barang yang aku catatkan dalam kertas kecil. Bawang besar, halia, lada kecil, lada kisar, sabun basuh pinggan, telur, ikan, sayur dan pelbagai lagi. Aku pusing dua tiga kali dalam kedai runcit untuk memastikan aku tidak terlepas membeli barang keperluan dapur.

Balik aku bebuka dengan makanan yang dibeli di bazaar. Biasa berbuka aku tidak masak. Sebab nanti aku masak nak kena rasa. Jadi, lebih baik tak payah nak mengada-ngada. Aku hanya masak untuk sahur sahaja. jadi, dalam pukul 3 lebih macam tu aku dah kupas bawang, ketuk barang tumis, potong sayur, siang ikan dan buat apa yang patut. Aku masak nasi. Bila nasi dah masak je, aku terus goring semua tu. ikan goring kunyit, kobis panjang masak air dan sambal ketuk. Pergh... sedap betul.

Bila nasi dah masak, aku bangun pergi ke dapur dan mula memasak lauk pula. Shit! Garam habis. Semua sayur dan ikan sudah dipotong. Tinggal nak goreng sahaja. minyak dah dipanaskan. Ah, goring ikan dulu tanpa garam. Aku jamin, tawar rebeh. Aku sediakan lada dan bilis untuk sambal ketuk juga tanpa garam. Aku juga jamin, tawar rebeh. Menu terakhir aku masak kobis panjang masak air. Aku jamin tawar rebeh nak mampus. Garam yang tinggal sekadar hujung sudu sahaja. aku selongkar dapur mana tahu ada bungkusan garam yang tersembunyi. Haram tak ada. Aku masukkan segala benda yang ada potensi untuk kasi masin sikit. Oyster yang rasa masin sikit tu pun aku gandakan sukatannya. Dan akhirnya aku terjumpa ikan sepat masin.

Tanya Dila Raden secara atas talian, samada boleh ke tak. Dia kata belasah je. Dan aku juga yakin akan ada rasa masin sikit tetapi aku jamin rasanya akan jadi pelik. Aku masukkan seekor ikan dalam tu. lantaklah nak jadi apa. Dari makanan aku jadi tawar rebeh. Dah tak masin lagi. Tetapi rasanya sangat pelik. Siap! Dan makan.

Aku makan sampai habis nasi. Ikan goring dan sambal ketuk pun habis. Kobis panjang masak air tu sahaja yang tak habis. Separuh daripadanya dimakan oleh tong sampah. Tak sedap!

Besoknya aku beli garam.

29.8.10

Lapan Belas Ramadhan

Lapan Belas Ramadhan.

Kuliah tinggal seminggu sahaja lagi sebelum cuti hari raya. Kuliah? Semester ini aku cuma ada dua kelas sahaja.Walau aku ambil lima subjek. Yang lain-lain hanya projek dan tidak perlu masuk ke kelas. Hanya hadir rehearsal dan jumpa penyelia. Tapi ketiadaan kuliah membuat aku seorang siswa yang pemalas.

Semester ini juga aku punya satu perasaan malas yang amat sangat. Aku tidak boleh fokus dengan apa yang aku buat. Ada sahaja perkara lain yang mengganggu. Walhal perkara tersebut bukan penting sangat. Sepatutnya waktu aku banyak dihabiskan dengan mengerjakan Oedipus. Masuk studio untuk rehearsal tetapi kekangan masa membuatkan waktu rehearsal terbatas. Aku perlu memikirkan pelakon-pelakon aku yang ada kelas lain. Aku perlu merancang masa rehearsal mereka dengan baik supaya setiap adegan dapat ditangani dengan baik.

Aku ada terbaca satu buku. Ayat pertama dalam buku itu menulis lebih kurang begini: “directing is a lonely job”. Guru aku juga, Nurzizi Zulkifli, turut berkata perkara yang sama. Aku tidak tahu samada dia memetik kata-kata dari buku ini juga atau sebaliknya, aku tidak tahu. Setakat ini aku pernah mengarah beberapa buah teater tetapi untuk Oedipus aku betul-betul terasa yang mengarah ini adalah kerja yang sunyi.

Kerja-kerja mencungkil idea untuk Oedipus telah aku mulakan sejak dari semester lima lagi. Semua buku-buku yang aku baca memberikan banyak inspirasi. Dari filem, fotografi, painting, arca, topeng, tarian, bunyi, arkitektur, design, set, peristiwa dan banyak lagi. Terlalu banyak rujukan. Dan apabila terlalu banyak rujukan aku jadi terlalu berserabut sebab terasa mahu meletakkan semuanya di dalam Oedipus.

Dan dalam menangani idea-idea ini, aku terasa yang aku perlu buat keputusan ini seorang diri. Kau takkan boleh berkompromi dengan pendapat orang lain selain diri kau sendiri. Dan inilah yang aku alami. Mungkin kau boleh bagi idea lain tetapi idea aku tetap idea aku. Aku mahu ianya menjadi seperti yang berada di dalam kotak fikiran aku. Oleh itu, semuanya aku perlu tangani seorang diri. Itulah yang membuatkan kerja-kerja pengarahan itu sebagai satu kerja yang sunyi. Sunyi dalam erti kata membuat keputusan untuk memberikan/mencari idea. Aku pelik mas abaca buku itu yang mengatakan pengarahan adalah kerja yang sunyi walhal kau ada pelakon semasa dalam rehearsal, kau ada designer lain yang bantu kau develop idea dan banyak lagi. Aku rasa ramai orang merasakan apa yang aku rasa.

Masa bersendirian inilah banyak idea yang bukan-bukan hadir. Dulu, masa aku rajin tulis skrip, banyak idea datang masa aku dalam tandas, tengah berak. Kadang-kadang tersenyum sendiri dalam tandas tu. dan perasaan gian untuk duduk lelama dalam tandas sering datang. Lama-lama jadi habit dan idea pun dah tak datang sebab aku perah-perah idea tu. Ianya jadi tak sincere.

Idea dan ilham takkan datang secara paksaan. Kalau orang tanya aku, macam mana dapat idea/ilham nak buat itu dan ini. Terus terang aku akan jawab, idea dan ilham ada di mana-mana tapi macam mana kita nak buat semua benda yang kita lihat itu memberikan inspirasi untuk dijadikan sesuatu yang lebih menarik. Itulah cabarannya. The way we talk. Itu yang membuatkan kita semua berbeza antara satu sama lain. Idea boleh datang dari daun, dari awan, dari kawan kita, dari mak kita, dari ex-girlfriend kita, dari apa sahaja. Cuma bagaimana kau melihat sesuatu itu berlainan dari orang lain. Lagi sensitif kita pada perkara itu, lagi tinggi kau akan bubuh nilai pada kejadian/peristiwa tersebut.

Aku pernah ternampak ada satu perarakan di jalan raya. Perarakan kematian kaum Cina. Mereka akan berarak memakai pakaian yang khusus sambil meratapi si mati yang berada di dalam kereta jenazah. Hah! Ini idea.

p/s: apa yang aku merepek ni. argh... aku tak ada idea. aku main tulis je ni.

28.8.10

Tujuh Belas Ramadhan

Tujuh Belas Ramadhan.

Cara-cara untuk lari tanpa guna kaki adalah jangan balas mesej, jangan jawab panggilan telefon, jangan tinggalkan komen di status, jangan ‘like’ status, jangan chat, jangan jawab video call, jangan Skype, jangan jumpa, jangan emel dan jangan send mesej kat inbox. Cari jalan untuk tidak selisih jalan, untuk tidak terserempak dan untuk tidak bertegur. Buat-buat sibuk walaupun tak sibuk. Berdiam diri. Sampai dia tak larat kejar.

Dengan cara ini, kau akan lari tanpa guna kaki.

Terima kasih.

27.8.10

Enam Belas Ramadhan

Enam Belas Ramadhan.

Dulu, masa kecil aku selalu ikut arwah Abah pergi solat sunat Terawikh. Di kampong aku solat terawikh boleh dikatakan yang paling laju pernah aku ikut. Bukan buat 8 rakaat tapi yang 20+1 tu. masa aku kecil, Pak Imam Deris yang selalu mengetuai jemaah. Solatnya memang laju. Kalau Isyak masuk jam 8.30, 9.15 dah selesai solat Terawikh 20+1 rakaat tu. kau baru je habis baca Al-Fatihah imam dah ruku’. Kau baru je angkat jari telunjuk masa tahiyat akhir, imam dah bagi salam. Kau baru bagi salam ke kiri, imam dah berdiri untuk rakaat seterusnya. Memang laju.

Tapi aku masih kanak-kanak masa tu. bukan kira pun itu semua. Yang kau tahu nak makan bekalan moreh untuk jemaah yang solat terawikh. Tugas aku dan kawan-kawan masa kecil aku adalah makan kuih-kuih yang dibawa ke masjid semasa jemaah sedang khusyuk solat terawikh. Bila masuk rakaat yang terakhir baru nak tergesa-gesa masuk ke dalam masjid dan terus duduk tahiyat akhir dan bagi salam. Konon-konon macam lengkap la sembahyang tu. Kanak-kanak, bukan tau apa pun. Yang penting dapat makan dulu sebelum orang lain makan moreh tu.

Kami tetap tinggalkan kuih-kuih yang dibawa ke masjid tetapi bilangannya sudah tinggal sedikit. Biasa kuih yang nampak sedap akan tinggal satu atau dua sahaja. Untuk orang belakang, kononnya.

26.8.10

Lima Belas Ramadhan

Lima Belas Ramadhan. Dalam tidak sedar, sudah dua minggu berpuasa.

Sejak dah meningkat umur ni, aku sudah tiada rasa mahu shopping baju raya atau apa-apa keperluan raya. Pertama, aku tiada tanggungjawab lagi untuk buat persiapan hari raya untuk keluarga. Kedua, sebab aku tidak punya wang yang banyak untuk shopping. Cukup sekadar pakai apa yang ada sahaja. Cuma tahun ini aku punya baju Melayu yang baharu. Yeehaa!!!

Setiap tahun, apabila tiba raya, aku adalah orang terpenting dalam keluarga untuk menyambut hari raya. Pada aku, raya takkan bererti kalau tiada ketupat anyam. Setiap tahun, akulah orang yang akan menganyam ketupat. Aku akan anyam untuk rumah aku dan juga rumah atuk. Untuk rumah aku cukup sekadar 30 bijik dan rumah atuk lebih kurang 100 biji. Kemahiran menganyam ketupat telah aku pelajari semasa sekolah rendah lagi. Aku masih ingat aku dan sepupu aku yang perempuan akan belajar menganyam selepas sahur. Kami belajar dari arwah Abah dan Atuk (atuk lelaki kami panggil Abah, atuk perempuan kami panggil Atuk). Susah nak belajar anyam ketupat ni. Kena tahu mana daun-daun kelapa tu pergi ke mana untuk membentuk ketupat.

Ada satu petua setelah ketupat yang pertama dianyam itu jadi. Abah akan suruh cincang ketupat yang pertama itu supaya nanti tidak akan lupa buat ketupat. Dan aku ikut petua itu. Masa kecil, manalah tahu. Ikut sahaja. Ayah aku juga turut mengajar (walaupun dia punya tangan sebelah sahaja). Dia akan tunjuk daun kelapa itu perlu ke mana dan ke mana. Dia tidak boleh tunjuk dengan membuat, jadi dia hanya akan tunjuk dan mengarah sahaja.

Sejak dari itu, aku akan menganyam ketupat untuk persediaan hari raya. Dulu kalau duduk dengan Atuk, aku akan anyam lebih kurang 200 biji. Banyak, memang banyak sebab keluarga aku besar. Pak cik dan mak cik aku yang dari jauh akan balik semasa raya. 200 biji tu sekejap sahaja akan habis. Raya kedua dah tak dapat merasa lagi. Jadi untuk menganyam 200 biji ketupat akan mengambil masa sehari suntuk. Dari lepas sahur sehingga waktu berbuka. Anyam sahaja. tak termasuk isi beras. Hari menganyam ketupat adalah dua hari sebelum raya. Dan isi beras sehari sebelum raya. Rebus ketupat adalah pada waktu tengahari puasa terakhir dan siap masak pada petangnya.

Sebab aku perlu belajar menganyam ketupat adalah kerana arwah Abah tidak suka makan ketupat Adabi. Jadi perlu ada di dalam keluarga yang mesti pandai menganyam ketupat untuk memenuhi seleranya. Kaum perempuan sudah tentu akan sibuk di dapur untuk memasak jamuan hari raya selain kuih dan biskut raya. Jadi, secara tidak langsung, tugas menganyam akan jatuh pada orang yang tidak masuk ke dapur dan pandai menganyam ketupat. Dan orang itu adalah aku.

Pernah ada satu tahun itu, aku menganyam lebih kurang 250 biji ketupat. Biji mata aku hampir mencecah ke lantai menghadap daun kelapa dari subuh sehingga ke senja. Aku anyam untuk empat buah rumah. Rumah atuk, rumah aku, rumah Mak Ngah dan rumah Pak Utih. Semuanya 250 biji.

Tahun, ini mak aku sudah tanya bila aku balik. Aku kata, mungkin dua, tiga hari sebelum raya. “Habis tu siapa nak anyam ketupat?”, tanya mak aku.

Jadi setelah mendengar perkhabaran bahawa cuti raya diawalkan, aku punya peluang untuk pulang awal dan menganyam ketupat. Mungkin tidak banyak untuk dianyam sebab aku hanya menganyam untuk rumah aku dan rumah Atuk sahaja. Tak tahu pula jika ada tempahan lain. Tetapi tetap perlu dianyam sebab aku juga tidak suka makan ketupat Adabi semasa hari raya. Tak ada feel, bak kata orang putih. Raya aku tak sempurna. hehehe. Dari sarapan, makan tengahari, makan petang dan makan malam semuanya aku akan sental ketupat. Setahun sekali beb, bila lagi mahu dapat. Raya kedua dah tak dapat makan lagi dah. Ketupat pun dah basi, lauk-lauk pun dah banyak habis. Maka, aku akan sental ketupat-ketupat itu pada hari raya pertama lagi.

Rugi kau dapat makan ketupat Adabi je.

25.8.10

Empat Belas Ramadhan

Empat Belas Ramadhan. Tadi lepas habis kelas, aku terus ke Seksyen 23 untuk mengambil rebab yang aku tempah pertengahan bulan Jun lepas. Aku nekad untuk ada rebab sendiri sebab aku rasa aku perlu ada rebab sendiri. Sebelum ini, aku hanya menggunakan rebab yang fakulti sediakan. Maklumlah, kalau barang pinjam, takkan sedap mana pun. Aku main sakit jari, bunyi kurang enak dan aku tak rasa rebab itu aku yang punya. Jadi, kurang rasa kasih sayang terhadap barang pinjam tersebut.

Aku ada menulis entri berkenaan tempahan secara telefon kepada bekas guru aku di sini. Dan aku berjanji akan memberitahu namanya kepada kau setelah dapat. Dan nama ini telah aku pilih setelah aku mengamati rebab yang punya ciri dan bentuk keperempuanan. Aku beri namanya Puspa. Dalam bahasa lama-lama (tak tahu pula aku lama yang macam mana), puspa bermaksud kekasih (untuk perempuan). Jadi, dialah kekasih aku yang baru ini. Suaranya sedap. Kondisinya elok. Cuma, mungkin dia belum serasi dengan aku lagi. Kata guru rebab aku, gesek-geseklah selalu untuk cari keserasian antara kami berdua. Bunyinya belum matang lagi. Nanti lama-lama akan dapat bentuk suara yang lebih elok dari yang ada sekarang.

Mas kahwin untuk memiliki Puspa adalah RM800. Telah aku serahkan pada pembuatnya, Encik Anuar. Sebelum diserahkan secara rasmi tadi, dia sempat memberitahu sedikit sebanyak skill dan kemahiran yang perlu aku pelajari terlebih dahulu. Dia pernah cakap benda yang sama semasa mengajar aku di semester dua dahulu. Katanya, mahirkan teknik dan skill, kemudian lagu boleh cari sendiri. Sempat juga aku melihat dia menggesek-gesek Puspa sebelum diserahkan ke tangan aku. Amboi sedap betul bunyinya. Tersengih-sengih aku melihat dia menggesek.

Dengan Puspa, aku ada projek baru untuk dilaksanakan. Projek dengan rakan sekelas. Katanya mahu merakam beberapa lagu menggunakan instrumen rebab dan beberapa alat muzik moden. Aku setuju sahaja. Terus terang aku katakan, aku masih tidak pandai memainkan lagu Mak Yong menggunakan rebab. Tiada satu lagu Mak Yong pun aku reti main dari awal sampai habis. Sekadar bunyi sikit-sikit tu bolehlah. Dan aku rasa kerugianlah aku jika aku tidak tahu dan tidak boleh memainkan rebab ini dalam kumpulan Mak Yong. Aku mahu, suatu hari nanti Puspa akan menyanyi untuk mengiringi persembahan Mak Yong.

p/s: Puspa, nyanyikan aku lagu untuk rawat hati lara.

24.8.10

Tiga Belas Ramadhan

Tiga Belas Ramadhan. Aku tidak sedar bahawa entri aku dalam siri Ramadhan ini rupanya mempunyai pembaca setia. Salah seorang yang aku tahu adalah adik aku sendiri. Setakat ini aku terlepas menulis Satu Ramadhan dan Dua Belas Ramadhan. Entri aku yang lepas adalah mengenai meriam besi yang menjadi satu nostalgia antara aku, adik aku dan sepupu aku semasa di kampong dulu. Adik aku sempat menulis di wall Facebook bertanyakan mengapa tiada entri Dua Belas Ramadhan. Aku kata tiada idea mahu tulis apa. Katanya ceritakan sahaja cerita mengenai kisah godak parit atau buat pelita.

Ya, godak parit. Belakang rumah atuk aku ada sebatang parit. (Semasa kecil, aku dan sepupu lebih banyak menghabiskan masa di rumah atuk aku). Parit ini bukanlah seperti parit-parit yang terdapat di bandar-bandar tetapi parit kampong. Airnya lebih bersih. Parit ini digunakan untuk mengairi kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah atuk. Ianya juga sebagai satu tanda sempadan kebun antara tanah atuk aku dan juga tanah pemilik ladang kelapa sawit. Semasa kecil, kelapa sawit ini juga masih kecil. Dan parit ini juga masih terjaga dek kerana kami selalu memancing ikan di sini selain berkubang. Mahu mandi di sungai terlalu jauh dari rumah dan air sungai masih terlalu ganas bagi kami. Jadi, parit ini dijadikan sebagai tempat untuk kami melepaskan gian mahu mandi di sungai. Kanak-kanak kampong yang lain sudah berani mandi sungai pada ketika ini.

Parit rumah atuk ini juga menyimpan banyak nostalgia. Kami ambil tanah liat untuk buat tembikar, memancing ikan keli, puyu dan juga berkubang. Ada satu kawasan yang agak dalam di hujung parit untuk dijadikan kawasan berkubang. Dalamnya cuma separas dada sahaja pada waktu itu. Dan hanya kawasan itu sahaja yang tidak nampak kotor dan tidak semak. Di parit inilah kami selalu mengail ikan puyu untuk diletakkan di dalam akuarium. Petua orang dulu-dulu, membela ikan puyu adalah untuk mengelakkan rumah dimasuki pencuri. Dan Alhamdulillah, sehingga kini, rumah atuk tidak pernah dimasuki pencuri walaupun kini atuk sudah tidak membela ikan puyu lagi.

Jika musim kemarau, waktu inilah yang kami tunggu-tunggu untuk menggodak parit. Parit ini akan terputus kerana air yang tinggal hanya ada di kawasan yang dalam sahaja. Selain itu, parit ini hanya tinggal lopak sahaja. Jadi, ikan-ikan hanya akan bertumpu di kawasan yang mempunyai takungan air. Paras airnya sudah tinggal separas pinggang sahaja. Sudah pasti banyak ikan terperangkap di kawasan ini. Kami ambil tong cat di rumah dan bawa ke parit. Kami cari satu jaring untuk dijadikan sebagai jala bagi menangkap ikan-ikan di sini. Tumpuannya cuma satu iaitu, menambah koleksi ikan puyu di akuarium rumah atuk.

Air parit yang jernih bertukar keruh kerana kami berkubang di dalamnya. Kami lebih suka menggunakan istilah godak kerana selepas kami masuk ke dalam parit, airnya pasti akan bertukar keruh. Sama seperti menggodak teh yang dilarutkan bersama susu. Kami berempat akan turun ke dalam parit ini. Dua di satu hujung dan dua lagi di satu hujung yang lain. Dengan jaring yang kami bawa, kami perangkap ikan dan penuhkan tong cat yang kami bawa. Hasilnya sangat lumayan bagi kanak-kanak yang tidak pernah pergi ke sungai dan memancing. Ikan dari pelbagai saiz akan terperangkap di jaring kami. Kebanyakannya adalah ikan keting (sama seperi ikan baung tetapi lebih cerah warnanya dan lebih kecil saiznya), puyu, keli, haruan dan sepat. Tetapi ikan sepat susah diperolehi. Mengapa? Aku pun tidak tahu. Kami godak parit tersebut sampai keruh dan mengakibatkan ikan-ikan di dalam parit tersebut mabuk disebabkan kerana tidak cukup oksigen. Air sudah bercampur dengan lumpur dan menyekat pengudaraan yang baik untuk ikan-ikan yang selalunya tinggal di air jernih. Kadang kala, aku hanya duduk di tebing parit sambil memegang kayu. Jika ternampak kilas ikan di permukaan, cepat-cepat aku hayun kayu dan memukul kepala ikan tersebut. Ada yang terkena dan ada yang tidak. Pernah sekali, sepupu aku memukul sehingga terputus kepala ikan keli.

Apa yang menariknya apabila kami menggodak parit adalah semasa melaungkan perkataan godak. Sambil berjalan memerangkap ikan di jaring, kami akan menjerit, "GODAK!!!". Ianya menjadi satu kegembiraan buat kami kerana jarang-jarang dapat melakukan aktiviti ini selain mengharapkan mendapat hasil tangkapan yang lumayan. Ah, tiba-tiba aku seperti berada di parit tersebut pula.

Hasil tangkapan kami bawa dan simpan di belakang tandas belakang rumah. Ikan yang besar diberikan kepada atuk aku untk dimasak. Terutama ikan keli. Tetapi atuk, mak aku dan mak cik aku (mak sepupu aku) enggan masak kerana mengatakan ikan keli tersebut makan tahi dan kotor untuk dimakan. Kesannya sehingga kini, aku tidak boleh makan ikan keli sebab mak aku pernah cakap macam tu. Jadi, hasil tangkapan tersebut terbiar di belakang tandas sehingga semuanya mati kerana hidup berhimpit-himpit di dalam tong cat. Kemudiannya kami buang semula di dalam parit. Membenarkan Circle of Life bak kata Elton John.

Kadang-kala aktiviti godak parit ini turut disertai oleh kawan kami yang cemburu dengan aktiviti kami menggodak parit. Tiada tempat lain di kampong kami yang boleh digodak paritnya melainkan di belakang rumah atuk kami. Jadi, secara tidak rasminya parit tersebut seperti sudah menjadi milik kami secara mutlak. Tetapi ada juga kadangkala hak kami ini dicabul secara senyap-senyap oleh beberapa budak lain di kampong. Bila kami datang mahu menggodak parit sahaja, parit ini sudah pun keruh dan ikan-ikan sudah banyak tercungap-cungap di permukaan air mencari nafas. Jadi kami terpaksa membatalkan niat.

Sehingga kini, parit ini masih wujud. Kali terakhir aku pergi ke parit ini adalah untuk memeriksa pam air yang rosak dan tersumbat untuk membekalkan air ke kolam ikan keli ayah aku. Jernih dan tenang airnya. Kali terakhir apabila melihat parit tersebut, aku seperti hairan. Mengapa dahulu aku sanggup masuk ke dalam parit yang kotor ini dan berani masuk ke dalamnya. Tidak pernah pula semasa kecil terfikir ada ular yang akan mematuk dan rasa jijik dan geli dengan air yang jernih tetapi berlumut itu. Ah, zaman kanak-kanak. Apa yang tidak boleh? Everything is possible!

22.8.10

Sebelas Ramadhan

Sebelas Ramadhan. Sejak dari semalam lagi kawan aku, Raihan (seorang buddy), dah rancang untuk berbuka puasa di Bangi. Di UKM. Tempat aku belajar dulu sebelum masuk ke universiti tempat aku belajar sekarang. Kepada sesiapa yang clueless, boleh baca banyak entri aku sebelum-sebelum ini yang mengatakan aku pernah belajar di sana.

Aku sangka, Raihan mahu ajak berbuka puasa di mana-mana kedai di Bangi tetapi tidak. Berbuka puasa di kolej kediaman aku dulu semasa belajar di UKM. Sebelum pergi ke kolej tempat berbuka puasa, aku sempat mengajak Raihan untuk pergi ke fakulti tempat aku belajar dahulu. Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat. Sudah enam tahun aku tinggalkan fakulti ini. Terakhir yang aku ingat, aku pergi ke pejabat Ketua Jabatan Sains Komputer. Ketua Jabatan cakap aku gagal dan diberhentikan sebab CGPA aku teruk. Dia memberikan aku pelbagai option untuk aku atasi masalah aku. Setelah itu, aku tidak pernah masuk ke bangunan fakulti tersebut.

Sewaktu aku meninggalkan bangunan tersebut, catnya masih lagi ceria. Tapi kini, bila aku datang, catnya sudah berlumut dan sedikit buruk. Ada bangunan baru yang ditambah. Aku masih ingat bilik makmal, bilik kuliah, bilik tutorial, dewan kuliah, cafe, tempat aku selalu parking motor, tempat aku selalu hisap rokok, laluan jalan kaki yang aku lalui setiap hari dan keadaan di situ setiap hari perkuliahan.

Terus terang aku katakan bahawa aku sangat teringin mahu menjadi seorang pengaturcara komputer. Buat programming pada aku sangat seronok. Dan aku menyesal sangat-sangat sebab tak dapat jadi seorang programmer. Kini, aku menghadap komputer cuma untuk buat tugasan, main facebook, layari internet, blogging, toying with Photoshop, Illustrator dan pelbagai aplikasi lain. Serius, jika aku punya anak nanti, aku mahu salah seorang daripadanya akan menjadi programmer (kalau bolehlah). Ataupun orang yang terdekat dengan aku seorang programmer. Mungkin juga isteri (mungkin. wakaka).

Dan tidak pula aku menyesal dengan apa yang aku ada sekarang. Aku malah berbangga dengan apa yang aku buat.

UKM pada aku adalah satu tempat kegagalan yang paling indah pernah aku ada. Mungkin aku gagal dalam peperiksaan tetapi aku rasa, tidak hidup aku. Kehidupan selama dua tahun di sana telah mencetuskan sesuatu yang menjadikan aku sekarang ini. Mungkin ianya mengambil masa yang lama untuk aku jumpa jalan terbaik tetapi lebih baik jumpa dari tidak jumpa langsung.

Aku ada satu joke (sekurang-kurang bagi aku) mengenai kegagalan semasa belajar dahulu. “Di UKM aku ambil short course IT sahaja. Belajar pseudo-kod.”

20.8.10

Sepuluh Ramadhan

Sepuluh Ramadhan. Kalau aku sekarang berada di kampong dan umur belasan tahun, waktu sekarang ini sudah mula risau kerana tiada batang besi yang hendak dijadikan meriam. Ya, aku tak main meriam buluh sebab bahaya. Kami main pakai besi. Selamat, teguh dan bunyinya berdempir sikit dari meriam buluh.

Dulu, antara orang yang terlibat main meriam adalah aku, Cal (adik aku), Abang dan Gidil. Abang dan Gidil adalah adik-beradik dan sepupu aku juga. Kami akan beli karbaid di bandar Kota Tinggi ataupun di kedai rundit berhampiran rumah. Aku sempat merasai zaman beli pakai timbang tapi tak lama. Masa beli pakai timbang itu, kami akan pilih yang besar-besar supaya dapat tahan lama bila main nanti. Tapi, zaman beli pakai timbang tak lama. Lepas itu, karbaid semua dijual secara paket-paket 1kg. Jadi untuk tahu karbaid yang dibeli besar atau kecil, kena raba-raba dan tekan-tekan plastik karbaid tu. Kalau ada rasa ketulan besar, maknanya ada karbaid besar dalam plastik warna putih itu.

Dulu, masa awal puasa kami semua dah mula risau pasal tak ada besi lagi yang hendak dikorbankan untuk dijadikan meriam buluh. Maka, petang-petang sebagai pengganti aktiviti main bola, kami akan masuk ke dalam kebun kelapa sawit dan merentas kampong untuk mencari batang besi diameter lebih kurang 8cm ke atas dan panjang lebih kurang 1meter lebih. Ada kawan-kawan aku yang memang menyimpan meriam besi mereka setelah habis raya. Ada kawan-kawan yang memiliki paling koman dua batang meriam. Ada juga tiga batang tidak termasuk meriam tanah. Semuanya mempunyai pelbagai saiz dan panjang. Dan pencarian aku pada petang itu dengan sepupu dan adik aku berjaya. Berhampiran satu longkang di kebun kelapa sawit, aku nampak ada satu tiang besi warna hitam kuning. Besi itu sudah senget. Besi itu diletakkan disitu kerana untuk membuat penghadang kepada lori kelapa sawit agar tidak termasuk ke dalam longkang tersebut. Tapi kami sudah cabut besi tersebut dan bawa balik ke rumah untuk dijadikan meriam yang paling berprestij.

Bila bawa balik, kami periksa kondisi besi tersebut. Ketebalan boleh tahan. Takkan boleh pecah punya. Aku anggarkan tebalnya lebih kurang 3-5mm. Agak tebal tu sebenarnya. Di salah satu hujung meriam tersebut tidak perlu disumbat kayu kerana lubangnya telah tertutup dengan rapi. Jadi yang perlu kami buat adalah membuat lubang untuk tempat pencucuh. Ini memakan masa yang lama. Bergilir-gilir kami buat. Lepas sahur dah keluar rumah bawa gergaji besi untuk tebuk lubang. Dan akhirnya siap.

Meriam itu, milik kami berempat. Ada beberapa batang meriam lain tapi tidak dapat menandingi kehebatan meriam baharu yang kami buat itu. Bunyinya padu dan mantap. Untuk adik aku yang kecik, biasanya kami bagi dia main meriam katak. Meriam katak juga guna karbaid. Tetapi tidak menggunakan batang besi sebaliknya menggunakan tin milo saiz besar. Karbaid dan air dicurahkan atas tanah. Telangkupkan tin milo tersebut untuk menutup karbaid yang telah dicurah air itu tadi. Ambil kayu dan cucuhkan dengan api. Pencucuh yang menyala api ini dijolok pada satu lubang kecil di bontot tin milo tersebut. Letupan berlaku dan tin akan terpelanting tinggi bergantung kepada jumlah gas yang berjaya dihasilkan sebelum dicucuh api. Lagi tinggi lagi best. Sebab dalam kegelapan malam, tin milo itu akan melayang tinggi dan tidak sesiapa pun menduga tin itu akan jatuh ke mana. Masing-masing hanya akan menutup kepala dengan tangan.

Meriam hitam kuning tersebut menjadi kebanggaan kami berempat. Kami bawa ke seluruh kampong dan menguji dengan meriam milik kawan yang lain. Ada yang bunyinya lebih kuat dari meriam kami. Ada yang tidak dapat melawan meriam kami.

Dalam kami mula menguar-uarkan kehebatan meriam kami, ada seorang kawan aku yang sudah lebih advance dari kami. Dia sudah gali satu lubang di hadapan rumahnya. Beberapa tin cat dikerat bontotnya untuk membuat beberapa gelung. Tin-tin cat ini disambung-sambung dan dikambus di dalam tanah. Kedalaman tin ini ditanam perlulah diambil kira. Takut-takut nanti bersepai tin cat itu nanti. Kami pergi ke rumahnya dan melihat hasil kreativiti kawan aku ini. Dia memang kental. Sudahlah main meriam di depan rumah. Buat meriam tanah di depan rumah pula tu. Dia menguji kekuatan meriamnya di hadapan kami. Memang kuat tetapi memerlukan kepandaian dalam menyukat air, ketepatan masa untuk mencucuh dan memerlukan jumlah karbaid yang banyak untuk dibunyikan. Meriam ini semata-mata mahu melawan bunyi meriam yang terdengar di kampong sebelah yang jaraknya mencecah 15-25km jauhnya.

Biasanya kami main meriam setelah habis solat sunat Terawikh. Kadang-kala tak sempat habis terawikh dah sampai ke rumah untuk main meriam. Dan main sebentar ketika lepas bersahur untuk lepas gian. Nak main siang hari tak syok! Kami main di dalam kebun, di bawah pokok cempedak. Ada tempat baring-baring kalau mahu. Agak-agak seratus meter dari rumah. Tak boleh main dekat-dekat. Atuk dan mak kami semua bising. Dia kasi main tapi tak kasi main dekat dengan rumah. Dan mereka selalu menitik beratkan soal keselamatan. Terutama Arwah Abah (atuk lelaki yang kami panggil Abah). Mereka pantang kalau dia tahu kami main meriam buluh.

Musim main meriam ini sememangnya sinonim hanya dengan bulan Ramadhan. Sebagai penutup aktiviti main meriam, biasanya meriam di kampong aku hanya akan berbunyi sebelum atau selepas sembahyang raya. Selepas itu, besi-besi meriam perlu disimpan untuk mengelakkan dicilok oleh pengumpul besi buruk yang datang dengan lori dan claim semua besi adalah buruk dan perlu dibeli dengan harga murah.

Aku tidak pasti samada bermain meriam ini terus menjadi tradisi di kampong aku semasa ketibaan Ramadhan atau tidak. Biasanya aku hanya dapat pulang pada 2, 3 hari sebelum raya menjelma. Ada terdengar bunyi meriam tetapi aku rasa tidak semeriah dahulu. Aku kira, mereka semua ketandusan batang besi untuk dijadikan meriam. Meriam hitam kuning kami tu pun entah ke mana agakya. Mungkin ada orang dengan senang hati sudah mengkategorikan itu sebagai besi buruk.

Sembilan Ramadhan

Sudah Sembilan Ramadhan. Namun, aku belum mendapat rutin yang sesedap badan untuk dibiasakan dengan ramadhan kali ini. yang ada cuma pergi ke kelas dan buat rehearsal.

Ya, rehearsal. Aku sedang sibuk dengan persiapan teater untuk penilaian akhir sebagai seorang pelajar jurusan teater. Batch aku adalah batch pertama dengan silibus baru. Aku juga adalah antara batch pertama di universiti tempat aku belajar yang mengambil jurusan ini. kami diberikan pilihan untuk membuat tesis ataupun projek akademik. Lama juga aku berfikir-fikir untuk membuat keputusan samada membuat tesis ataupun membuat projek.

Ada yang mencadangkan untuk membuat tesis. Kata mereka tidak ramai penggiat teater sekarang yang boleh menulis. Sekurang-kurangnya dengan membuat tesis bolehlah nanti aku belajar untuk menulis menganai teater dengan lebih bersifat akademik sifatnya. Ada juga yang mencadangkan untuk membuat projek. Katanya mereka, cuba bandingkan tesis dengan projek. Kalau kau buat tesis berapa ramai yang baca tesis kau dan kalau kau buat projek, berapa ramai pula yang baca persembahan kau. Akhirnya dengan keputusan muktamad, aku mengambil saranan kedua; membuat projek. Ianya satu persembahan yang akan dinilai dari segi proses membuat sehingga ke final presentation.

Untuk membuat projek ini, sudah banyak buku-buku yang aku baca, esei-esei yang aku baca di internet, persembahan yang aku tengok melalui youtube, filem-filem yang memberikan inspirasi, orang-orang yang aku jumpa, teater-teater yang aku hadir dan tonton serta peristiwa-peristiwa yang aku saksikan. Semuanya banyak memberikan input-input yang berguna untuk aku gunakan dalam persembahan ini nanti. Walaubagaimanapun, aku mempunyai satu masalah ini. Aku terlalu banyak sangat input dan sekarang aku sudah tidak pasti mahu menggunakan yang mana satu untuk projek ini. Banyak sangat stail yang aku cedok untuk mendapatkan stail aku sendiri. Sehingga ke hari ini, aku masih belum mendapat sentuhan yang betul-betul aku puas hati sehingga boleh dibanggakan (sekurang-kurangnya untuk diri aku).

Proses rehearsal pada aku adalah proses yang paling seronok di dalam sesebuah produksi. Aku sering datang ke dalam rehearsal dengan idea-idea untuk diselitkan tetapi apabila menjalani rehearsal, ianya tidak menjadi seperti yang telah aku rancang. Antaranya yang membuat idea-idea ini tidak dapat dibuat adalah kerana kekangan masa dan instrumen (pelakon). Mereka selalu sahaja memberikan aku kejutan-kejutan positif dan juga negatif untuk aku mengeluarkan idea-idea yang tidak dirancang. Bak kata orang dulu-dulu, kita hanya mampu merancang, Tuhan sahaja yang menentukan. Pada aku kejutan-kejutan inilah yang menyebabkan proses rehearsal menjadi semakin seronok.

Seperti dalam hidup ini, selalu sahaja kejutan-kejutan berlaku dalam hidup aku. Dan pastinya aku akan bertindak sebagai pengarah dalam menentukan hidup aku yang penuh dengan kejutan-kejutan. Aku sudah lali dengan kejutan-kejutan minor dan major lantas memberikan aku banyak cara untuk menangani hidup.

Berbalik dengan rehearsal. Ada juga yang tidak suka dengan kejutan-kejutan di dalam rehearsal. Itu terpulang pada pengarahan. Ada yang suka merancang untuk membuat A dan mahukan ianya jadi A. Pada aku kerja mengarah adalah kerja kolektif. Idea kau bergabung dengan idea pelakon, pereka (designer) dan idea penulis. Kau tidak akan mampu mengenepikan idea-idea ini secara total (melainkan Antonin Artaud yang mencadangkan bahawa pengarah mempunyai kuasa kuku besi dan tidak demokratik di dalam persembahannya). Kerana aku percaya setiap orang yang bekerja di dalam sesuatu produksi perlu berkarya. Jadi ada sesetengah idea yang aku tidak sekat bagi menjadikan sesuatu persembahan itu lebih berkembang sifatnya. Aku juga sedar bahawa fungsi pengarah adalah untuk meng’arah’kan sesuatu idea tersebut menjadi satu arah/jalan yang telah ditetapkan oleh pengarah itu sendiri.

(Tadi aku bercakap mengenai Artaud. Artaud mencadangkan idea yang utama adalah datang dari pengarah. Jika idea pengarah tidak sama dengan idea penulis, pengarah boleh mengenepikan idea penulis dengan mengeluarkan satu idea baharu. Dia juga menolak kebijaksanaan/kepakaran pelakon di mana dia percaya pelakon hanya sebagai alat bertukang sahaja. Dia biasanya memilih well-trained actor untuk berlakon dengannya supaya pelakon-pelakon tersebut dapat memberikan apa yang dikehendaki. Berbanding mengambil pelakon amatur, dia perlu berkompromi dengan keupayaan pelakon dan ini mengakibatkan idea pengarah perlu berkahwin dengan idea pelakon. Artaud membuat begini kerana katanya sesebuah teater itu perlu relevan dengan dasar kepenontonan sekarang. Karya Oedipus akan gagal sebagai karya teater sekiranya ianya tidak dapat memberikan impak dalam persembahan tersebut. Jadi untuk membuatkan ianya relevan pada mana-mana latar masa dan budaya, ianya perlu diberikan suntikan secara total mengikut kehendak pengarah.)

Aku bukan Artaud yang gila (ya, Artaud memang gila kerana kebergantungan terhadap ubat-ubatan dan dadah). Aku masih rasional dengan idea-idea orang lain kerana pertama, aku bukan sangat hebat seperti Artaud sampai berani mengenepikan idea oranglain. Kedua, bukan Artaud seorang sahaja tokoh teater yang wujud – banyak lagi tokoh-tokoh yang perlu aku kompromi. Ketiga – apa yang Artaud cakap adalah pada tahun 1930an (esei Theatre and It's Double ditulis pada tahun 1938). Sekarang sudah 2010. Jadi untuk untuk membenarkan idea Artaud sahaja seperti membenarkan aku dan idea aku masih berada di 1930an juga.

Jadi, para manusia di dunia, cuma satu pesanku – suprise me! Ianya menyeronokkan aku. Aku suka. Aku suka dengan tindakan kau.

19.8.10

Lapan Ramadhan

Biasanya bila ada sesuatu kejadian yang penting dalam hidup aku, blog ini adalah satu-satunya tempat untuk aku luahkan. Ada yang aku akan luahkan pada orang lain. Dan ada juga aku simpan dan letak dalam kepala otak aku. Dan ada juga yang aku tulis. Akan tetapi mengenai isu-isu yang menyentuh sensitivity seseorang, aku akan cuba untuk buat satu kod dalam tulisan ini supaya tidak sesiapa pun tahu yang aku bercakap mengenai apa dan mengenai siapa. Aku ini perahsia orangnya. Jadi, kod-kod ini hanya aku seorang sahaja yang faham. Ada beberapa entri yang aku tulis dan baca balik (yang ada kod-kod rahsia) berjaya memberikan aku memori pada kejadian tersebut dan individu tersebut.

Aku tidak mahu orang yang selalu baca blog ini, terasa yang aku bercakap mengenainya secara sedar. Jika dia sedar sekalipun hanya dia seorang sahaja yang sedar, dan orang lain tidak sedar mengenai tulisan itu yang sebenarnya mempunyai tujuan tertentu.

Tulisan hari ini juga punya kod rahsia.

Hari ini, sedang aku baring di dalam studio yang kegelapan ada satu ‘angel’ datang bagi thumbdrive.

18.8.10

Tujuh Ramadhan

Tujuh Ramadhan.

Sejak akhir-akhir ini, aku sering dapat panggilan dari rakan-rakan di kampus. Kebanyakannya adalah junior yang mahu minta pendapat aku mengenai teater. Aku tidak kenal mereka siapa sehinggalah ada yang minta menjadi rakan di Facebook, jumpa di kandang atau apa sahaja.

Aku ada satu sifat ini. Suka berkongsi apa yang aku ada. Tapi biarlah kena dengan caranya. Aku dapat panggilan tadi. Jam 8 malam. Lepas berbuka aku sepatutnya masuk ke kelas semula. Dalam perjalanan masuk ke kelas aku terima satu panggilan mahu bertanya aku sesuatu mengenai teater. Aku cakap, telefon semula dalam jam 9 lebih. (kelas habis jam 9 malam).

Jam 9 kelas habis terus ke kandang. Dah ada dua orang junior yang mahu minta penjelasan dari aku tentang perkara yang dia tak tahu dan tak pasti mengenai teater. Yang dua orang ini sudah dibuat janji dari semalam lagi. Kami berdiskusi. Dan habis.

Jam 10 lebih, junior yang telefon masa aku nak masuk kelas tadi telefon semula. Aku dah duduk di meja sendiri ketika ini. Dia telefon tanya aku sinopsis cerita XYZ (sekadar rekaan). Dalam hati aku berdetak, “takkan sinopsis kau tanya aku? Kau tak baca skrip ke?”. Lepas tu dia cakap, dia baca tapi tak faham. Jadi, aku tanya dia, apa yang dia faham mengenai cerita tu. Sebab lepas sekali baca, mustahil kau tak faham apa-apa. Paling koman pun, kau tau watak-watak yang terlibat. Apa masalah watak tersebut. Ini tidak, dia seolah-olah tak faham apa pun. Aku detak dalam hati, kau bukan baca al-gebra sampai tak faham langsung. Lepas tu dia teragak-agak untuk beritahu aku. Aku detak dalam hati lagi. Hurm, sah-sah kau tak baca skrip dan tiba-tiba kau tanya aku sinopsis cerita untuk siapkan tugasan yang pensyarah bagi pada kau. Aku bengang sebab terasa digunakan untuk kesenangan pihak lain. Lantas aku letak telefon masa dia tengah bercakap. Bukan sebab malas nak layan sebab aku rasa dia tak bersedia apa-apa untuk dibincangkan. Dia seolah-olah mahu aku menyuap semuanya pada dia. Maaf ya. Aku bukan cikgu sekolah untuk beri semuanya bulat-bulat. Dan aku rasa perbuatan dia tak ada etika. Maaf sekali lagi. Kalau kau terbaca entri ini, harap kau memahami.

Lepas aku letak telefon. Aku padamkan telefon. Lima minit kemudian, aku buka semula dan hantar mesej dan beritahu bateri aku kong. Aku akan mesej semula untuk dia telefon semula. Aku terpaksa menipu untuk biar dia fikirkan macam mana dia perlu mencari sinopsis cerita XYZ itu. Mustahil kalau dia tak faham langsung cerita XYZ itu. Cerita itu bukan naskhah Nordin Hassan, Hatta Azad Khan (era 70&80an), Dinsman dan seangkatan dengannya. Ianya naskhah teater komedi. Very straight forward bak kata orang putih. Takkan kau tak faham langsung. Urgh!!! Aku tertekan sebab terasa dipergunakan sebagai jalan pintas menyiapkan tugasan mereka. Maaf, aku tak mahu diperguna berkali-kali.

Segala yang aku tulis di dalam ini mengenai teater dan sebagainya tiada sebarang tujuan pun untuk mendidik. Aku sekadar mahu berkongsi dan mahu menulis sahaja. sebab yang paling utama aku menulis adalah aku tidak mahu terlupa perkara-perkara yang baca dan saksikan. Jadi aku tulis supaya satu hari nanti bila aku terlupa aku ada rujukan untuk aku lihat semula apa yang aku dah tulis, baca dan saksikan. Kalau kau mahu berdiskusi, aku sentiasa terbuka untuk itu. Tapi aku bukan untuk dijadikan bahan menyiapkan tugasan.

17.8.10

Enam Ramadhan

Enam Ramadhan. Puasa aku seperti biasa. Tidak diganggu gugat dengan cabaran-cabaran yang hebat. Setakat perut lapar tu biasa. Tapi aku mendapat cabaran dengan masa. Kelas aku jam 10.30am. habis jam 11.45am. selepas itu tiada kelas. Sampai ke 8.30pm baru ada latihan. Jadi, setengah hari aku dihabiskan tanpa berbuat apa-apa. Walhal, aku sebenarnya perlu berbuat apa-apa. Aku tak sibuk dalam sibuk.

Rutin pelajar tahun akhir memang macam lahanat. Aku tak suka. Aku rasa mahu habis cepat belajar. Dah tepu kepala otak aku dengan suasana belajar di sini yang menjadi semakin tak best. Aku cuma datang ke kelas untuk habiskan silibus dan keperluan fakulti.

Berbuka puasa hampir seorang diri. Tetapi diselamatkan oleh kawan dan kekasihnya. Kami berbuka puasa bertiga. Oh, tak lupa juga alter-ego aku yang comel dan selalu clash pendapat dengan aku.

16.8.10

Lima Ramadhan

Tiada apa yang menarik dibuat pada lima Ramadhan. Sekadar melakukan aktiviti untuk membuang rasa kesepian dan kebosanan.

14.8.10

Empat Ramadhan

Empat Ramadhan bersahur di Pelita Nasi Kandar Jalan Telawi bersama rakan-rakan. Jam tiga pagi dah tercongok di sana. Lepas bersahur nak ke Jalan Ampang. Ada satu staff sale yang dibuat di hotel di situ. Tak tahu hotel apa. Kata rakan bila staff sale memang murah gila barang yang dijual.

Lepas sahur, jam 4.30pagi bergerak ke sana. Jualan bermula jam 8pagi. Mak aih, apa lama bebenar nak tunggu. Tapi jam 7pagi jualan dibuka sebab ramai sangat orang. Sumpah ramai sangat orang dan murah sangat minyak wangi yang dijual. Aku beli dua. Satu untuk aku, dan satu lagi untuk alter-ego aku.

Balik rumah. Tidur jam 10.30pagi. Membuta di siang hari. Bangun jam 4.30petang. Basuh baju. Main facebook. Cuci pinggan mangkuk semalam. Mandi. Pergi Bazar. Beli makanan. Balik rumah. Berbuka dengan teman serumah, Azhar.

Hari ini, empat Ramadhan ku terasa pendek. Mana taknya, membuta di siang hari.

13.8.10

Tiga Ramadhan

Aku beli air soya panas, kuih lopes dan apam balik sebelum balik rumah tadi. Aku tahu, hari ini aku berbuka seorang diri di rumah. Tak ada mood nak berbuka puasa di luar. Sementara menunggu azan aku tonton filem Annie Hall oleh Woody Allen.

Lama terbiar dia membebel, aku tukar siaran dan berjalan pergi ke dapur untuk buka semua makanan dan air yang telah aku beli. Mahu berbuka di hadapan TV.

Pergi dapur. Ambil cawan. Buka bungkusan air. Tuang air dalam mug. Pergi dapur semula. Ambil piring. Untuk kuih lopes. Pergi dapur lagi. Ambil jag. Air soya banyak lebih. Masukkan lebihan air soya dalam jag. Mahu duduk depan TV. Pegang jag tangan kiri. Mug air soya tangan kanan. Jalan selangkah. Mug di mulut. Hirup air soya. Teguk. Eh, belum azan. Camne ni? Gelak seorang diri. Sebab tak ada sesiapa di sisi. Tak tahu nak berkongsi kelakar dengan siapa. Telefon mak. Khabarkan kelucuan. Tergelak.

12.8.10

Dua Ramadhan

Ramadhan baru datang dua hari.

Puasa pertama aku bersahur seorang diri dan buka beramai-ramai dengan kawan-kawan (tetapi aku merasa seperti seorang diri juga). Lepas dari berbuka semalam, tanpa terawikh aku mengadakan latihan untuk Oedipus. Aku terpaksa korbankan waktu aku dan pelakon yang terlibat untuk Oedipus di sebelah malam. Lepas berbuka semalam, lepak-lepak sekejap dan malam terus ke latihan. Habis latihan terus pulang ek rumah. 20 minit perjalanan.

Sampai rumah. mandi. Hadap laptop. Hisap rokok. Makan biskut. Komen status. Minum air. Ambil tilam. Tarik selimut. Set alarm untuk bangun sahur 4.30am. Niat puasa. Tutup laptop. Baring-baring. Tidur. Tak ada mimpi. Terjaga. Jam 8.30am. Arghh!!!

Aku tak sahur untuk puasa kedua!

11.8.10

Review 41 : Hegemoni

Untuk menyambut tirai bulan Ramadhan, terlalu banyak pementasan teater yang dibuat sepanjang bulan Julai dan minggu pertama Ogos. Aku terlepas banyak pementasan. Yang paling aku ralat adalah Short Eyes oleh Fared Ayam. Pertama kali dipentaskan di ASWARA dulu, aku pulang ke kampong. Dan untuk pementasan kali kedua juga, aku berada di kampong. Hasrat hati ingin mengejar show terakhir (Ahad matinee) tetapi apakan daya, tidak berkesempatan juga.

Jadi, aku hanya sempat ke pementasan teater Hegemoni oleh Aloy Paradoks. Hegemoni ditulis dan diarahkan oleh Aloy. Berlangsung dari 5-9 Ogos 2010 di Stor Teater DBP. Aku hadir pada malam penutup. Terpaksa membatalkan sesi latihan Oedipus pada malam tersebut.

Hegemoni mengatakan dan mengutarakan isu dadah (seperti terdapat dalam brochure). Ada tiga segmen yang dipecah-pecahkan. Setiap satu segmen itu boleh berdiri dengan sendirinya tanpa ada segmen yang lain. Oleh itu, boleh juga dikatakan bahawa Hegemoni adalah gabungan tiga karya pendek (20-30 minit) yang dibuat secara terus-terusan. Bentuk teater ini sudah selalu terjadi kini di mana pada satu-satu malam persembahan akan terdapat banyak karya-karya pendek yang dipentaskan di ruang yang sama. Pada fikiran aku, pementasan-pementasan seperti ini sudah menjadi semakin popular di awal kemunculan dekad baru ini. Seperti telah aku ramal dalam tulisan lepas (klik sini).

Isunya (pada aku) isu lama dan tipikal. Semua orang bercakap mengenai dadah. Dari menteri, ketua kampong, mak ayah, cikgu-cikgu dan semua lapisan masyarakat mengatakan hal ini. Tetapi apa yang membuatkan teater ini istimewa adalah bahasa yang digunakan. Ianya sangat sedap didengari. Kata-kata ini umpama sajak-sajak dengan bahasa-bahasa puitis tetapi telah didialogkan. Pada mulanya aku terasa terasing (alienate) dengan bahasa puitis seperti ini tetapi lama-kelamaan kata-kata itu terbiasa. Pada mulanya aku mahu mengatakan teater yang Aloy buat ini adalah Theatre of Words di mana ianya bermain dengan keindahan bahasa sahaja tetapi kurang dari segi nilai persembahan. Tetapi aku silap kerana dari segi persembahannya ianya juga turut mantap. Persoalan dan isu dadah yang diutarakan juga tidak terlalu klise. Aku tertarik dengan segmen kedua kerana ceritanya sangat dekat dengan diri aku dan aku rasakan yang cerita itu jujur walau dengan ayat-ayat yang tidak realistik (realistik maksud aku di sini, tidak seperti orang kebanyakan cakap sehari-harian). Ada style kata orang putih. Aku juga pernah sekali menonton persembahan Topeng-topeng oleh Fauziah Nawi (STEFANI). bahasanya indah tetapi aku langsung tak faham cerita.

Jerzy Grotowski pernah menulis satu buku mengenai teater miskin bertajuk Towards Poor Theatre. Buku ini diterbitkan sama tahun dengan buku tulisan Peter Brook, The Empty Space. Pada aku idea kedua-dua buku ini hampir sama (sekali lagi, HAMPIR tetapi tidak sama). Satu-satunya ayat paling popular dari buku The Empty Space ini adalah ayat pembukaan.

“I can take any empty space and call it a bare stage. A man walks across this empty space whilst someone else is watching him, and this is all is needed for an act of theatre to be engaged.”

“aku boleh pilih mana-mana ruang kosong dan namakan ianya pentas kosong. Seseorang berjalan melintasi pentas kosong tersebut dan seseorang yang lain memerhatikannya, dan ini sahaja yang diperlukan untuk satu persembahan teater ini terjadi.” [ Translasi sendiri]


Dan nampaknya Aloy Paradoks telah membuktikan bahawa situasi ini telah terjadi dan dibuktikan dengan persembahan Hegemoni. Akan tetapi dalam buku ini juga menyebut bagaimana mahu menjadikan sesuatu persembahan itu lebih memberikan kesan tanpa bantuan visual dan aspek sinografi. Jadi, Jerzy Grotowski cakap dalam bukunya (lebih kurang macam ini),

“aku hanya perlukan pelakon dan penonton sahaja untuk menghasilkan teater. Aku tak perlu set, kostum, lampu, make-up dan segala macam mak nenek”.

Begitu juga dengan Hegemoni. Aku tidak nampak sebarang tatarias dikenakan pada sebarang pelakon. Tiada kostum yang spesifik (watak ibu kena pakai baju kurung, watak penagih kena pakai compang-camping etc). Kalau kau nak tengok aspek kostum dalam teater ini, tidak nampak dan tiada. Aku tidak nampak wang produksi disalurkan kepada aspek kostum. Begitu juga dengan set. Tiada penambahan set dibuat melainkan dinding-dinding Stor Teater DBP yang sememangnya hitam. Dinding-dinding ini juga tidak dicat dan diusik langsung. Hanya ditambah prop tambahan seperti kerusi dan meja. Selain itu tiada penambahan langsung.

Inilah yang dikatakan oleh Jerzy Grotowski mengenai teater miskin. Miskin yang sebenar-benar miskin. Miskin dari segi set, kostum, prop, tatarias, produksi dan segala macam hal yang melibatkan kos. Oleh itu, sememangnya tiada akan terjadi visual kemas dan cantik dalam sinografinya. Hegemoni menggunakan ruang tersebut apa adanya ia. Yang terlibat dalam teater miskin adalah pelakon (tubuh, vokal dan emosi) dan penonton sahaja (pancaindera dan akal). Sememangnya itulah yang hanya ada pada teater tersebut. Kata Grotowski lagi, kalau cari nak cari pelakon tapi tak ada duit untuk bayar, cari pelakon yang percuma sahaja. lihat betapa miskinnya produksi teater Grotowski.

Kata Peter Brook lagi, oleh kerana tiada aspek sinografi yang mantap 100 peratus tanggungjawab persembahan adalah pada pelakon (aktif). Bagaimana pelakon melafazkan dialog dengan tonasi yang punya emosi dan juga tubuh untuk menjelaskan ruang.

Jelasnya dalam Hegemoni telah mengaplikasikan hal ini. Tanggungjawab besar kepada persembahan adalah seratus-peratus dari pelakon. Bagaimana pelakon melontarkan dialog untuk menjelaskan latar masa, tempat dan keadaan. Jika produksi kaya yang membina set dan pelbagai, hal ini boleh dijelaskan melalui sinografi. Set dan pencahayaan banyak membantu dalam menjelaskan suasana latar kejadian untuk memberikan mood dan impak yang lebih cepat. Walaubagaimanapun, kejadian ini tidak terjadi dalam teater miskin Hegemoni. Pelakonlah yang akan memberikan indikasi dan makna ruang, latar masa dan suasana. Bakat-bakat baru yang kebanyakannya menjayakan Hegemoni telah berjaya mencuri perhatian beberapa penonton. Gerakannya minimal dan terdapat pengulangan aksi. Blokingnya juga tidak rumit. Boleh kata, minimal dari segi lakonan. Tetapi apa yang ditekankan adalah emosi yang maksima dari segi penyampaiannya. Aku sangat tertarik dengan watak Alin. Betul kata Wazir dan Azrai, Fazleena nampak lain sangat. Karektornya terbina dengan cantik. Gerakan yang minimal itu membantu audien untuk memaksa merasakan emosi yang lebih dominan dari gerakan-gerakan. Hanya postur badan sahaja yang digunakan untuk menjelaskan aksi lakon.

Setiap segmen hanya terdapat dua pelakon. Semasa dua rakan berlakon, yang lagi empat akan duduk di tepi pentas sambil memberikan reaksi terhadap aksi lakon ataupun duduk berdiam diri. Sesekali pelakon yang tidak berlakon ini akan bercakap terus dengan pelakon yang sedang berlakon. Interaksi ini sesekali mengeluarkan penonton dengan cerita segmen tersebut. Yang manisnya, ianya tidak dibuat secara mengada-ngada tetapi dibuat sekadar perlu sahaja. Seperti dia tahu ketika ini dan itu, perlu ada sesuatu yang mengganggu untuk penonton tidak hanyut dan pening dengan sulaman kata-kata yang stylize dan tidak realistik.

Ada yang menarik dalam persembahan ini kerana ada sesi QnA. Ada seorang penonton terkesan dan merasakan ketika segmen 3 dibuat, perlu diberikan sedikit pencahayaan dan tidak gelap semata-mata. Katanya, dia risau pelakon akan terjatuh atau tersadung ketika bergerak di atas pentas. Dalam hati aku tergelak sinis. Itulah gunanya rehearsal. Itulah gunanya actor training. Pengarah takkan buat sesuatu di atas pentas tanpa kemahuan dan keputusannya. Dia kata lagi, keadaan gelap itu merisaukan penonton dan sepatutnya keadaan itu tidak berlaku sebab penonton perlu selesa. Hehe. Ini, Stor Teater DBP. Kalau mahu selesa menonton teater, pergi ke Istana Budaya. Menonton teater di sana, bukan sahaja boleh menonton teater dengan selesa tetapi tidur dengan selesa juga. Pada aku pendekatan seperti ini membenarkan idea Agusto Boal. Boal selalu sahaja merasakan penonton bukan seorang yang bodoh dan pasif semasa menonton. Jika Brecht mahu penonton berfikir-fikir semasa menonton, tetapi Boal telah melangkaui Brecht. Dia tidak mahu penonton bukan sahaja berfikir tetapi turut terlibat sama dalam pementasan. Hal ini dijelaskan dalam Forum Theatre di mana spectator (pasif) berubah fungsi menjadi spec-actor (aktif).

Teater ini berjaya kerana kemiskinannya. Aku percaya jika diberi duit kepada mereka ini, tentu teater ini tidak berjaya mencuri hati aku. Kemiskinanlah yang membuatkan aku tertarik dengan persembahannya. Look-nya miskin tetapi ideanya besar. Dan tidak pula aku dengar bila keluar dari panggung orang sebut-sebut, “ish, tak ada set. bosanlah cerita ni.” Makanya, Aloy dalam persembahan ini sememangnya menggunakan pelakon sebagai instrumen dan alat utama penceritaan.

Tahniah kepada Aloy dan rakan-rakannya yang lain kerana berjaya mementaskan Hegemoni. Secara jujur aku suka pementasan ini tetapi belum terlampau suka. Sebab aku suka adalah kerana semua benda dan konsep yang dibuat dalam tu aku dah baca lama dah dalam buku. Jadi tak suprise. Dan sebab apa aku suka sebab jarang orang buat teater macam ni. Tahniah sekali lagi.

4.8.10

Oedipus: October 2010