Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

14.12.10

Ke Mana Arahnya?

Bernard Shaw menyatakan “… more than once that the theatre of the twentieth century would go in one of the two directions: it would follow Richard Wagner’s example of drama with music toward a predominantly sensuous ‘total theatre’, or it would fall into line with the ‘drama of thought’, which had acquired its most striking modern forms from Ibsen himself, Pirandello and Brecht”

Pernyataan di atas sudah menerangkan semua yang ingin dinyatakan dalam tulisan pada kali ini. tetapi tulisan ini akan menyentuh pandangannya pada konteks tempatan. Perkembangan teater di Malaysia juga bergerak pada dua dasar yang sama dinyatakan oleh Bernard Shaw – satu ke arah total theatre dan satu lagi juga ke arah drama of thought.

Apa yang dimaksudkan dengan total theatre adalah seperti yang begitu popular dipentaskan dalam skala besar-besaran. Pementasan ini menggabungkan lakonan, tarian, nyanyian dan segala bentuk persembahan yang melibatkan persembahan secara terus kepada penonton. Richard Wagner adalah orang pertama yang melopori persembahan berbentuk muzikal. Bentuk-bentuk teater muzikal juga terinspirasi dari apa yang Wagner cakap pasal musical motif dalam komposisi lagu.

Richard Wagner mencadangkan bahawa setiap karektor mempunyai musical motifnya tersendiri. Hal ini akan dapat diperhatikan dengan jelas walaupun tanpa melihat persembahan. Apabila lagu (yang mengandungi musical motif) didendangkan kita secara tanpa sedar akan menvisualkan segala kisah yang berlaku di dalam bayangan. Hal ini ditambah dengan melodi yang merangsang emosi untuk menggerakkan jalan cerita tersebut sehingga membentuk eksposisi, krisis, klimaks dan penyelesaian. Oleh sebab itu di dalam sesebuah persembahan muzikal, pemegang kredibiliti terbesar adalah komposer dan bukan pengarah. Kedua adalah lyricist dan ketiga adalah koreografer. Hal ini kerana komposer sudah mencipta jalan cerita melalui pembentukan melodi. Lyricist pula menambah kata di dalam melodi untuk menguatkan jalan cerita dan koreografer pula menjelaskan jalan cerita melalui gambaran/visual yang dijanakan oleh penari-penari. Fungsi pengarah tidak ada dalam muzikal-muzikal hebat di Broadway. Untuk mereka yang kaki teater, biasanya mereka akan tanya “siapa komposer, lyricist dan koreografer?” dan bukan “siapa pengarah

Hal ini tidak berlaku di Malaysia. Hal ini kerana kita sememangnya kekurangan komposer muzikal. Kedua, kita tidak mempunyai kepakaran yang mendalam mengenai penerbitan teater muzikal ala Broadway. Mereka menggerakkan cerita dengan mengeksploitasi komposisi lagu, tarian dan nyanyian. Kita pula menghasilkan teater muzikal dengan mengambil komposer lagu-lagu pop yang tidak tahu apa itu leitmotif, motive musical dan sebagainya. Oleh itu, terjadilah muzikal sekadar buat. Hal ini tidak salah kerana mereka akan mengatakan bahawa akhirnya nanti, penonton yang akan menilai persembahan tersebut samada seronok atau tidak untuk ditonton.

Oleh sebab itu, muzik untuk lagu-lagu muzikal di Malaysia tidak mempunyai karektornya yang tersendiri dan tidak dapat menggerakkan cerita walau tanpa dibantu dengan visual dan lakonan. Untuk mengetahui keberkesanan lagu-lagu muzikal yang dibuat ini, cuba pejam mata dan dengar lagu tersebut. Adakah ianya memberikan satu interpretasi visual atau ianya sekadar sedap dan catchy sahaja untuk didengar?

Selain Richard Wagner, terdapat juga beberapa komposer lain yang turut menggunakan leitmotif dalam karya-karya mereka. Cuba dengar karya Igor Stravinsky bertajuk Oedipus atau Firebird (yang ini, Disney telah buat animasi berdasarkan komposisi lagu tersebut). Cuba juga dengar Arnold Schoenberg melalui karya Verklärte Nacht (Transfigured Night) yang terinspirasi dari puisi. Setiap karya ini mempunyai satu penceritaan yang jelas. Jika hendak dikaji secara dalam menggunakan 6 elemen drama Aristotle juga mampu dihuraikan melalui karya ini.

***

Aliran yang kedua adalah drama of thought iaitu pementasan yang membawa agenda pemikiran atau fahaman yang dipegang oleh pengarah ataupun penulis. Seperti karya-karya seni yang lain, seni teater adalah ruang untuk menyatakan sikap si pengkarya terhadap keadaan sekelilingnya. Mungkin bersetuju atau tidak atau mengambil sikap berkecuali. Melalui medium seni jugalah seseorang pengkarya menunjukkan pendiriannya terhadap isu yang dipandangnya. Isu ini boleh jadi isu politik, sosial, fahaman ekonomi, agama dan apa sahaja. Ianya membawa pandangan ini untuk dikongsikan bersama penonton supaya penonton dapat memberikan refleksi terhadap apa yang dikatakan/dibincangkan di dalam karya tersebut.

Sebab itulah Bernard Shaw mengklasifikasikan ianya sebagai drama of thought. Ia bukan sahaja membawa pemikiran/idea/falsafah daripada pengkarya tersebut tetapi turut membawa pengertian besar kepada penonton-penonton yang menyaksikan persembahan tersebut. Shaw percaya melalui persembahan seperti ini akan membentuk gaya berfikir yang lebih dinamik terhadap perkembangan masyarakat walaupun kadang-kala impaknya adalah kecil.

Drama of thought pula meliputi banyak cabang. Biasanya ia dijanakan melalui eksperimentasi-eksperimentasi pengkarya terhadap teknik-teknik baharu dalam penceritaan. Selepas era Stanislavsky (era pasca-moden) banyak eksperimentasi yang membawa idea pengkarya ke satu arah yang berlainan dari apa yang telah dikemukakan oleh Stanislavsky. Pemikiran baharu inilah yang akhirnya membawa hala tuju teater abad ke 20. Seperti sedia maklum, dalam abad ini juga terlalu banyak inventasi yang berlaku samada dari sudut falsafah, ekonomi, politik dunia dan sebagainya. Maka, seni memainkan peranan penting dalam mencorak bagaimana dunia dipandang dari sudut kaca mata pengkarya. Tidak terhad kepada pengkarya teater tetapi meliputi semua bidang. Maka itu, muncullah tokoh teater yang hebat dalam falsafahnya seperti Bertolt Brecth, Antonin Artaud, Richard Schechner, Jerzy Grotowski, Samuel Beckett dan banyak lagi. Di Malaysia pula wujud Dinsman, Hatta Azad Khan, Syed Alwi dan beberapa lagi.

Begitu juga konteksnya yang berlaku di Malaysia. Terdapat dua kelompok utama yang menjayakan teater. Satu yang gila mahu mementaskan teater muzikal dan satu lagi menggunakan teater sebagai medan menyampaikan pendapatnya (yang membawa gagasan pemikiran). Kedua-dua ini tidak menjadi masalah tetapi bagaimana ianya dibawa. Tidak semua teater muzikal di Malaysia hancur (tetapi majoriti hancur) dan tidak semua teater bukan muzikal itu bagus. Semuanya bertitik tolak dari bagaimana ianya disampaikan.

7 Komen:

fadz said...

boleh tak penulisan yg bagus ini diperpanjangkan sikit dan hantar utk Dewan Budaya? hehehehe

Vitamin said...

akan diusahakan. tulisan ini merupakan tulisan pertama yang tidak menggunakan perkataan 'aku'. (kalau kau perasanlah). latihan je sebenarnya ni. nak test samada boleh menulis atau tidak. hehehe

aloy_paradoks said...

:(

Syahrul said...

Kalau nak dikembangkan lg, cuba kaitkan lebih sikit terperinci mengenai senario teater di Malaysia sekarang ni dengan contoh2nya sekali. Topik ni sesuai dibaca umum.

Vitamin said...

terima kasih atas cadangan. akan cari masa untuk kembangkan lagi tulisan ini.

Fadz, tunggu ye. aku bukan penulis yang baik. perlukan BANYAK masa untuk menulis dengan baik. hehe

Pegawai Khalwat said...

Entri yang menyegarkan minda.

Tetapi kalau nak dibawa ke Dewan Budaya atau Dewan Sastera sekalipun, belum cukup muka surat.

Kalau nak diterbitkan dalam jurnal, mungkin aku boleh usahakan untuk sampai ke tangan editor.

Aku sebagai aktivis teater, menyedari isu yang melanda pembentukan total theatre dan drama of thought.

Kalau mengambil definisi yang hang berikan, aku akan katakan yang aku bertapak pada drama of thought. Bukan saja kerana aku suka begitu, tapi atas kekangan-kekangan lain terutamanya kewangan.

Psss... dengar kata Menteri Kebudayaan yang bagi imbuhan minimum kepada penggiat seni pentas. Entah macam mana dan ke mana akan perginya imbuhan itu.

Vitamin said...

:)