Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

24.8.10

Tiga Belas Ramadhan

Tiga Belas Ramadhan. Aku tidak sedar bahawa entri aku dalam siri Ramadhan ini rupanya mempunyai pembaca setia. Salah seorang yang aku tahu adalah adik aku sendiri. Setakat ini aku terlepas menulis Satu Ramadhan dan Dua Belas Ramadhan. Entri aku yang lepas adalah mengenai meriam besi yang menjadi satu nostalgia antara aku, adik aku dan sepupu aku semasa di kampong dulu. Adik aku sempat menulis di wall Facebook bertanyakan mengapa tiada entri Dua Belas Ramadhan. Aku kata tiada idea mahu tulis apa. Katanya ceritakan sahaja cerita mengenai kisah godak parit atau buat pelita.

Ya, godak parit. Belakang rumah atuk aku ada sebatang parit. (Semasa kecil, aku dan sepupu lebih banyak menghabiskan masa di rumah atuk aku). Parit ini bukanlah seperti parit-parit yang terdapat di bandar-bandar tetapi parit kampong. Airnya lebih bersih. Parit ini digunakan untuk mengairi kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah atuk. Ianya juga sebagai satu tanda sempadan kebun antara tanah atuk aku dan juga tanah pemilik ladang kelapa sawit. Semasa kecil, kelapa sawit ini juga masih kecil. Dan parit ini juga masih terjaga dek kerana kami selalu memancing ikan di sini selain berkubang. Mahu mandi di sungai terlalu jauh dari rumah dan air sungai masih terlalu ganas bagi kami. Jadi, parit ini dijadikan sebagai tempat untuk kami melepaskan gian mahu mandi di sungai. Kanak-kanak kampong yang lain sudah berani mandi sungai pada ketika ini.

Parit rumah atuk ini juga menyimpan banyak nostalgia. Kami ambil tanah liat untuk buat tembikar, memancing ikan keli, puyu dan juga berkubang. Ada satu kawasan yang agak dalam di hujung parit untuk dijadikan kawasan berkubang. Dalamnya cuma separas dada sahaja pada waktu itu. Dan hanya kawasan itu sahaja yang tidak nampak kotor dan tidak semak. Di parit inilah kami selalu mengail ikan puyu untuk diletakkan di dalam akuarium. Petua orang dulu-dulu, membela ikan puyu adalah untuk mengelakkan rumah dimasuki pencuri. Dan Alhamdulillah, sehingga kini, rumah atuk tidak pernah dimasuki pencuri walaupun kini atuk sudah tidak membela ikan puyu lagi.

Jika musim kemarau, waktu inilah yang kami tunggu-tunggu untuk menggodak parit. Parit ini akan terputus kerana air yang tinggal hanya ada di kawasan yang dalam sahaja. Selain itu, parit ini hanya tinggal lopak sahaja. Jadi, ikan-ikan hanya akan bertumpu di kawasan yang mempunyai takungan air. Paras airnya sudah tinggal separas pinggang sahaja. Sudah pasti banyak ikan terperangkap di kawasan ini. Kami ambil tong cat di rumah dan bawa ke parit. Kami cari satu jaring untuk dijadikan sebagai jala bagi menangkap ikan-ikan di sini. Tumpuannya cuma satu iaitu, menambah koleksi ikan puyu di akuarium rumah atuk.

Air parit yang jernih bertukar keruh kerana kami berkubang di dalamnya. Kami lebih suka menggunakan istilah godak kerana selepas kami masuk ke dalam parit, airnya pasti akan bertukar keruh. Sama seperti menggodak teh yang dilarutkan bersama susu. Kami berempat akan turun ke dalam parit ini. Dua di satu hujung dan dua lagi di satu hujung yang lain. Dengan jaring yang kami bawa, kami perangkap ikan dan penuhkan tong cat yang kami bawa. Hasilnya sangat lumayan bagi kanak-kanak yang tidak pernah pergi ke sungai dan memancing. Ikan dari pelbagai saiz akan terperangkap di jaring kami. Kebanyakannya adalah ikan keting (sama seperi ikan baung tetapi lebih cerah warnanya dan lebih kecil saiznya), puyu, keli, haruan dan sepat. Tetapi ikan sepat susah diperolehi. Mengapa? Aku pun tidak tahu. Kami godak parit tersebut sampai keruh dan mengakibatkan ikan-ikan di dalam parit tersebut mabuk disebabkan kerana tidak cukup oksigen. Air sudah bercampur dengan lumpur dan menyekat pengudaraan yang baik untuk ikan-ikan yang selalunya tinggal di air jernih. Kadang kala, aku hanya duduk di tebing parit sambil memegang kayu. Jika ternampak kilas ikan di permukaan, cepat-cepat aku hayun kayu dan memukul kepala ikan tersebut. Ada yang terkena dan ada yang tidak. Pernah sekali, sepupu aku memukul sehingga terputus kepala ikan keli.

Apa yang menariknya apabila kami menggodak parit adalah semasa melaungkan perkataan godak. Sambil berjalan memerangkap ikan di jaring, kami akan menjerit, "GODAK!!!". Ianya menjadi satu kegembiraan buat kami kerana jarang-jarang dapat melakukan aktiviti ini selain mengharapkan mendapat hasil tangkapan yang lumayan. Ah, tiba-tiba aku seperti berada di parit tersebut pula.

Hasil tangkapan kami bawa dan simpan di belakang tandas belakang rumah. Ikan yang besar diberikan kepada atuk aku untk dimasak. Terutama ikan keli. Tetapi atuk, mak aku dan mak cik aku (mak sepupu aku) enggan masak kerana mengatakan ikan keli tersebut makan tahi dan kotor untuk dimakan. Kesannya sehingga kini, aku tidak boleh makan ikan keli sebab mak aku pernah cakap macam tu. Jadi, hasil tangkapan tersebut terbiar di belakang tandas sehingga semuanya mati kerana hidup berhimpit-himpit di dalam tong cat. Kemudiannya kami buang semula di dalam parit. Membenarkan Circle of Life bak kata Elton John.

Kadang-kala aktiviti godak parit ini turut disertai oleh kawan kami yang cemburu dengan aktiviti kami menggodak parit. Tiada tempat lain di kampong kami yang boleh digodak paritnya melainkan di belakang rumah atuk kami. Jadi, secara tidak rasminya parit tersebut seperti sudah menjadi milik kami secara mutlak. Tetapi ada juga kadangkala hak kami ini dicabul secara senyap-senyap oleh beberapa budak lain di kampong. Bila kami datang mahu menggodak parit sahaja, parit ini sudah pun keruh dan ikan-ikan sudah banyak tercungap-cungap di permukaan air mencari nafas. Jadi kami terpaksa membatalkan niat.

Sehingga kini, parit ini masih wujud. Kali terakhir aku pergi ke parit ini adalah untuk memeriksa pam air yang rosak dan tersumbat untuk membekalkan air ke kolam ikan keli ayah aku. Jernih dan tenang airnya. Kali terakhir apabila melihat parit tersebut, aku seperti hairan. Mengapa dahulu aku sanggup masuk ke dalam parit yang kotor ini dan berani masuk ke dalamnya. Tidak pernah pula semasa kecil terfikir ada ular yang akan mematuk dan rasa jijik dan geli dengan air yang jernih tetapi berlumut itu. Ah, zaman kanak-kanak. Apa yang tidak boleh? Everything is possible!

2 Komen:

maPieCeoFarT said...

takde amik gamba ke masa aktiviti menggodak ni, bang? mesti sweet gila kalau dapat tengok balik gambar2 lama... fuhh...menggamit memori sungguh...

Vitamin said...

takde la... ini zaman mana nak fikir buat memori ke apa. :)