Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

20.8.10

Sepuluh Ramadhan

Sepuluh Ramadhan. Kalau aku sekarang berada di kampong dan umur belasan tahun, waktu sekarang ini sudah mula risau kerana tiada batang besi yang hendak dijadikan meriam. Ya, aku tak main meriam buluh sebab bahaya. Kami main pakai besi. Selamat, teguh dan bunyinya berdempir sikit dari meriam buluh.

Dulu, antara orang yang terlibat main meriam adalah aku, Cal (adik aku), Abang dan Gidil. Abang dan Gidil adalah adik-beradik dan sepupu aku juga. Kami akan beli karbaid di bandar Kota Tinggi ataupun di kedai rundit berhampiran rumah. Aku sempat merasai zaman beli pakai timbang tapi tak lama. Masa beli pakai timbang itu, kami akan pilih yang besar-besar supaya dapat tahan lama bila main nanti. Tapi, zaman beli pakai timbang tak lama. Lepas itu, karbaid semua dijual secara paket-paket 1kg. Jadi untuk tahu karbaid yang dibeli besar atau kecil, kena raba-raba dan tekan-tekan plastik karbaid tu. Kalau ada rasa ketulan besar, maknanya ada karbaid besar dalam plastik warna putih itu.

Dulu, masa awal puasa kami semua dah mula risau pasal tak ada besi lagi yang hendak dikorbankan untuk dijadikan meriam buluh. Maka, petang-petang sebagai pengganti aktiviti main bola, kami akan masuk ke dalam kebun kelapa sawit dan merentas kampong untuk mencari batang besi diameter lebih kurang 8cm ke atas dan panjang lebih kurang 1meter lebih. Ada kawan-kawan aku yang memang menyimpan meriam besi mereka setelah habis raya. Ada kawan-kawan yang memiliki paling koman dua batang meriam. Ada juga tiga batang tidak termasuk meriam tanah. Semuanya mempunyai pelbagai saiz dan panjang. Dan pencarian aku pada petang itu dengan sepupu dan adik aku berjaya. Berhampiran satu longkang di kebun kelapa sawit, aku nampak ada satu tiang besi warna hitam kuning. Besi itu sudah senget. Besi itu diletakkan disitu kerana untuk membuat penghadang kepada lori kelapa sawit agar tidak termasuk ke dalam longkang tersebut. Tapi kami sudah cabut besi tersebut dan bawa balik ke rumah untuk dijadikan meriam yang paling berprestij.

Bila bawa balik, kami periksa kondisi besi tersebut. Ketebalan boleh tahan. Takkan boleh pecah punya. Aku anggarkan tebalnya lebih kurang 3-5mm. Agak tebal tu sebenarnya. Di salah satu hujung meriam tersebut tidak perlu disumbat kayu kerana lubangnya telah tertutup dengan rapi. Jadi yang perlu kami buat adalah membuat lubang untuk tempat pencucuh. Ini memakan masa yang lama. Bergilir-gilir kami buat. Lepas sahur dah keluar rumah bawa gergaji besi untuk tebuk lubang. Dan akhirnya siap.

Meriam itu, milik kami berempat. Ada beberapa batang meriam lain tapi tidak dapat menandingi kehebatan meriam baharu yang kami buat itu. Bunyinya padu dan mantap. Untuk adik aku yang kecik, biasanya kami bagi dia main meriam katak. Meriam katak juga guna karbaid. Tetapi tidak menggunakan batang besi sebaliknya menggunakan tin milo saiz besar. Karbaid dan air dicurahkan atas tanah. Telangkupkan tin milo tersebut untuk menutup karbaid yang telah dicurah air itu tadi. Ambil kayu dan cucuhkan dengan api. Pencucuh yang menyala api ini dijolok pada satu lubang kecil di bontot tin milo tersebut. Letupan berlaku dan tin akan terpelanting tinggi bergantung kepada jumlah gas yang berjaya dihasilkan sebelum dicucuh api. Lagi tinggi lagi best. Sebab dalam kegelapan malam, tin milo itu akan melayang tinggi dan tidak sesiapa pun menduga tin itu akan jatuh ke mana. Masing-masing hanya akan menutup kepala dengan tangan.

Meriam hitam kuning tersebut menjadi kebanggaan kami berempat. Kami bawa ke seluruh kampong dan menguji dengan meriam milik kawan yang lain. Ada yang bunyinya lebih kuat dari meriam kami. Ada yang tidak dapat melawan meriam kami.

Dalam kami mula menguar-uarkan kehebatan meriam kami, ada seorang kawan aku yang sudah lebih advance dari kami. Dia sudah gali satu lubang di hadapan rumahnya. Beberapa tin cat dikerat bontotnya untuk membuat beberapa gelung. Tin-tin cat ini disambung-sambung dan dikambus di dalam tanah. Kedalaman tin ini ditanam perlulah diambil kira. Takut-takut nanti bersepai tin cat itu nanti. Kami pergi ke rumahnya dan melihat hasil kreativiti kawan aku ini. Dia memang kental. Sudahlah main meriam di depan rumah. Buat meriam tanah di depan rumah pula tu. Dia menguji kekuatan meriamnya di hadapan kami. Memang kuat tetapi memerlukan kepandaian dalam menyukat air, ketepatan masa untuk mencucuh dan memerlukan jumlah karbaid yang banyak untuk dibunyikan. Meriam ini semata-mata mahu melawan bunyi meriam yang terdengar di kampong sebelah yang jaraknya mencecah 15-25km jauhnya.

Biasanya kami main meriam setelah habis solat sunat Terawikh. Kadang-kala tak sempat habis terawikh dah sampai ke rumah untuk main meriam. Dan main sebentar ketika lepas bersahur untuk lepas gian. Nak main siang hari tak syok! Kami main di dalam kebun, di bawah pokok cempedak. Ada tempat baring-baring kalau mahu. Agak-agak seratus meter dari rumah. Tak boleh main dekat-dekat. Atuk dan mak kami semua bising. Dia kasi main tapi tak kasi main dekat dengan rumah. Dan mereka selalu menitik beratkan soal keselamatan. Terutama Arwah Abah (atuk lelaki yang kami panggil Abah). Mereka pantang kalau dia tahu kami main meriam buluh.

Musim main meriam ini sememangnya sinonim hanya dengan bulan Ramadhan. Sebagai penutup aktiviti main meriam, biasanya meriam di kampong aku hanya akan berbunyi sebelum atau selepas sembahyang raya. Selepas itu, besi-besi meriam perlu disimpan untuk mengelakkan dicilok oleh pengumpul besi buruk yang datang dengan lori dan claim semua besi adalah buruk dan perlu dibeli dengan harga murah.

Aku tidak pasti samada bermain meriam ini terus menjadi tradisi di kampong aku semasa ketibaan Ramadhan atau tidak. Biasanya aku hanya dapat pulang pada 2, 3 hari sebelum raya menjelma. Ada terdengar bunyi meriam tetapi aku rasa tidak semeriah dahulu. Aku kira, mereka semua ketandusan batang besi untuk dijadikan meriam. Meriam hitam kuning kami tu pun entah ke mana agakya. Mungkin ada orang dengan senang hati sudah mengkategorikan itu sebagai besi buruk.

3 Komen:

Pegawai Khalwat said...

Lawan meriam antara kampung. Ha ha ha, aku juga punya pengalaman yang sama.

Meriam siapa bunyi paling kuat, akan diisytihar sebagai pemenang secara kolektif.

Tapi aku lebih banyak main meriam tanah. Sekali meletup, rasa macam ledakan ujian nuklear bawah tanah.

Vitamin said...

hahaha. aku tak mampu nak main meriam tanah... karbaid nak kena guna banyak...

maPieCeoFarT said...

seronoknya! teringin nak rasa meriah tu mcm mana, sbb serius tak penah rasa main meriam2 ni semua...masa kecik habis dasyat pun modify mercun bola, mercun katak dgn mercun ketupat jadi benda lain je, xde meriam... rumah pulak dekat taman... rumah arwah nenek pun kampung x berapa nak kampung... skrg lagi la sedih, kampung pun dah takde, raya dekat rumah sendiri je...