Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

27.8.10

Enam Belas Ramadhan

Enam Belas Ramadhan.

Dulu, masa kecil aku selalu ikut arwah Abah pergi solat sunat Terawikh. Di kampong aku solat terawikh boleh dikatakan yang paling laju pernah aku ikut. Bukan buat 8 rakaat tapi yang 20+1 tu. masa aku kecil, Pak Imam Deris yang selalu mengetuai jemaah. Solatnya memang laju. Kalau Isyak masuk jam 8.30, 9.15 dah selesai solat Terawikh 20+1 rakaat tu. kau baru je habis baca Al-Fatihah imam dah ruku’. Kau baru je angkat jari telunjuk masa tahiyat akhir, imam dah bagi salam. Kau baru bagi salam ke kiri, imam dah berdiri untuk rakaat seterusnya. Memang laju.

Tapi aku masih kanak-kanak masa tu. bukan kira pun itu semua. Yang kau tahu nak makan bekalan moreh untuk jemaah yang solat terawikh. Tugas aku dan kawan-kawan masa kecil aku adalah makan kuih-kuih yang dibawa ke masjid semasa jemaah sedang khusyuk solat terawikh. Bila masuk rakaat yang terakhir baru nak tergesa-gesa masuk ke dalam masjid dan terus duduk tahiyat akhir dan bagi salam. Konon-konon macam lengkap la sembahyang tu. Kanak-kanak, bukan tau apa pun. Yang penting dapat makan dulu sebelum orang lain makan moreh tu.

Kami tetap tinggalkan kuih-kuih yang dibawa ke masjid tetapi bilangannya sudah tinggal sedikit. Biasa kuih yang nampak sedap akan tinggal satu atau dua sahaja. Untuk orang belakang, kononnya.

0 Komen: