Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

25.8.10

Empat Belas Ramadhan

Empat Belas Ramadhan. Tadi lepas habis kelas, aku terus ke Seksyen 23 untuk mengambil rebab yang aku tempah pertengahan bulan Jun lepas. Aku nekad untuk ada rebab sendiri sebab aku rasa aku perlu ada rebab sendiri. Sebelum ini, aku hanya menggunakan rebab yang fakulti sediakan. Maklumlah, kalau barang pinjam, takkan sedap mana pun. Aku main sakit jari, bunyi kurang enak dan aku tak rasa rebab itu aku yang punya. Jadi, kurang rasa kasih sayang terhadap barang pinjam tersebut.

Aku ada menulis entri berkenaan tempahan secara telefon kepada bekas guru aku di sini. Dan aku berjanji akan memberitahu namanya kepada kau setelah dapat. Dan nama ini telah aku pilih setelah aku mengamati rebab yang punya ciri dan bentuk keperempuanan. Aku beri namanya Puspa. Dalam bahasa lama-lama (tak tahu pula aku lama yang macam mana), puspa bermaksud kekasih (untuk perempuan). Jadi, dialah kekasih aku yang baru ini. Suaranya sedap. Kondisinya elok. Cuma, mungkin dia belum serasi dengan aku lagi. Kata guru rebab aku, gesek-geseklah selalu untuk cari keserasian antara kami berdua. Bunyinya belum matang lagi. Nanti lama-lama akan dapat bentuk suara yang lebih elok dari yang ada sekarang.

Mas kahwin untuk memiliki Puspa adalah RM800. Telah aku serahkan pada pembuatnya, Encik Anuar. Sebelum diserahkan secara rasmi tadi, dia sempat memberitahu sedikit sebanyak skill dan kemahiran yang perlu aku pelajari terlebih dahulu. Dia pernah cakap benda yang sama semasa mengajar aku di semester dua dahulu. Katanya, mahirkan teknik dan skill, kemudian lagu boleh cari sendiri. Sempat juga aku melihat dia menggesek-gesek Puspa sebelum diserahkan ke tangan aku. Amboi sedap betul bunyinya. Tersengih-sengih aku melihat dia menggesek.

Dengan Puspa, aku ada projek baru untuk dilaksanakan. Projek dengan rakan sekelas. Katanya mahu merakam beberapa lagu menggunakan instrumen rebab dan beberapa alat muzik moden. Aku setuju sahaja. Terus terang aku katakan, aku masih tidak pandai memainkan lagu Mak Yong menggunakan rebab. Tiada satu lagu Mak Yong pun aku reti main dari awal sampai habis. Sekadar bunyi sikit-sikit tu bolehlah. Dan aku rasa kerugianlah aku jika aku tidak tahu dan tidak boleh memainkan rebab ini dalam kumpulan Mak Yong. Aku mahu, suatu hari nanti Puspa akan menyanyi untuk mengiringi persembahan Mak Yong.

p/s: Puspa, nyanyikan aku lagu untuk rawat hati lara.

3 Komen:

maPieCeoFarT said...

huish... dalam nota bawah skali tu berbahaya, takut kang Puspa berbunyi walau tak digesek...huhu...

Vitamin said...

kalau dia berbunyi tu maknanya dia mahu digesek la tu. perlukan belaian manja dari seorang lelaki kesepian...

Pegawai Khalwat said...

Puspa wangi! Ooo.. puspa wangi!

Dato' Nikah Kahwin datang ni..