Hakcipta terpelihara. Dilarang terbit semula tanpa kebenaran penulis.

1.1.10

Selamat Datang 2010

Sudah lama aku tidak menulis di dalam blog ini. Ketika aku menulis artikel ini, (dalam bentuk MS Word) tarikh sudah pun bertukar kepada hari terakhir tahun 2009 - 31 Disember 2009. Dan biasanya orang akan sibuk menanam azam saban tahun. Tidak lupa juga aku. Tahun 2009 juga aku kira aku punya azam yang paling poyo pernah aku azamkan. Biasanya aku akan tanam azam nak berhenti hisap rokok, nak gemukkan badan dan sebagainya. Tetapi azam tahun 2009 aku adalah untuk menulis sekurang-kurangnya dua karya teater (karya panjang bukan karya pendek 10 minit dan sebagainya). Azam aku yang poyo ni tidak tercapai. Aku sekadar dapat menulis satu karya sahaja iaitu Reban Ayam Itik. Satu lagu tidak sempat dizahirkan ke bentuk tulisan. Hanya terperap sahaja sebagai idea. Aku pun tidak tahu mengapa aku tidak dapat menyiapkan beberapa karya yang aku tulis sekerat jalan sahaja. Mungkin mood tidak sampai lagi kot atau idea belum cukup matang.

Pernah aku tanya Pak Agi, berapa lama hasilkan satu-satu puisi yang bermutu. Dia cakap bergantung. Ada yang makan masa seminggu, dua minggu. Tetapi ada yang makan masa sampai dua, tiga bulan. Ada juga yang makan tahun. Jadi aku fikir, jika dia seorang pemuisi hebat pun mengambil masa yang lama untuk tulis puisi yang panjangnya tidaklah sepanjang karya teater, jadi aku fikir untuk menulis karya teater yang panjang pun tentunya mengambil masa yang sangat lama untuk siap. Tambahan aku masih baru belajar. Jadi aku fikir tidak perlu terburu-buru untuk hasilkan karya yang bagus. Ini bukan alasan pesimis dan eskapis tetapi seorang yang optimis. Wakaka.

Dekad 2000-an juga adalah dekad aku mula mengenal teater. Kini dekad ini akan berlalu pergi meninggalkan aku dan semua orang teater yang lain. Biasanya di Malaysia, perkembangan teater dapat dilihat berkembang melalui dekad-dekad sedari 1950an lagi sehingga ke 1990an dan seterusnya. Jika 50an sandiwara mula muncul menggantikan bangsawan. Kemudian muncul drama realism pada 1963. Dekad 60an ini juga adalah saat Malaysia mula terkesan dengan realism Russia gagasan sekolah Stanislavsky, Anton Chekhov, dan juga sekolah realism Tennesse William, Hendrik Ibsen dan sebagainya. Jika diperhatikan teater realism dunia muncul dari karya-karya Anton Chekhov sejak dari dekad 1890an lagi.

Kemudian pada dekad 1970an, di Malaysia muncul karya yang meninggalkan realism Kala Dewata dan seangkatan. Revolusi ini dicetuskan dengan karya Bukan Lalang Ditiup Angin oleh Nordin Hassan. Aliran surrealism yang digunakannya begitu pekat dapat dilihat dari segi cadangan imej-imej yang ditulis melalui skrip. Sebagai contoh jam yang mempunyai nombor yang tidak tersusun, pohon yang tidak berdaun dan juga dikuatkan lagi dengan dialog-dialog yang sukar difahami secara lahiriah. Watak-watak juga muncul sebagai manusia yang wujud-tak-wujud di dalam karya-karyanya. Kesan surrealism ini sebenarnya terkesan dari beberapa lukisan Salvador Dali yang mula meneroka alam prasedar. Selain itu juga, sudah ramai yang mula melihat psikologi sekolah Freud yang memperkatakan tentang conscious dan sub-concious ini. Kemudian dengan gerakan Dadaism yang merebak di seluruh Eropah pada ketika itu juga turut memecahkan gerakan Dadaism kepada bentuk ism-ism yang lain seperti cubism, surrealism dan banyak lagi ism yang tak ter-ism-kan. Andre Breton dan seorang kawannya (aku lupa namanya) telah mengeluarkan satu manifesto untuk mengkelaskan karya-karya berbentuk surrealism.

Aku tidak pernah pula membaca manifesto tersebut samada melalui buku ataupun secara atas talian.

Tahun 1980an pula, absurd mula datang. Penulis di Malaysia yang kebanyakannya menulis karya dalam bentuk absurd pula adalah seperti Dinsman dan Hatta Azad Khan. Bukan Bunuh Diri, Protes, Ana, Kerusi, Mayat, Patung-Patung dan banyak lagi adalah karya mereka yang popular yang sering dipentaskan ketika festival teater peringkat negeri ataupun kebangsaan. Saban tahun, hanya karya-karya ini yang diangkat oleh kelab teater di seluruh Malaysia. Aku tidak pasti mengapa. Mungkin juga ketandusan karya-karya bagus sejak dekad ini. Tetapi absurd di Malaysia tidak seperti absurd di Barat. Jika di Barat absurd mereka menolak ketuhanan tetapi absurd di Malaysia tidak mengambil konteks ketuhanan sebaliknya konteks peribadi seseorang manusia itu. Mereka mencari abrsudisiti di dalam manusia yang seharusnya diperkatakan dan dipersoalkan. Ada juga cuit-cuit manja di dalam karya Protes yang mempersoalkan tentang fungsi kewujudan kepada penciptanya. Tetapi aku kira, Dinsman mengambil jalan selamat kerana memusing absurdisiti (kepeningan) tersebut kepada si pelaku (bukan si pencipta).

Dekad 1990an adalah tahun yang aku kira paling kasihan dan sadis di dalam perkembangan teater tanah air. Dekad 1990an kebanyakan penulis masih mencari-cari aliran baru yang mahu ditonjolkan. Mungkin kerana terkena badi bahawa setiap dekad perlu ada aliran baharu, maka penulis-penulis tidak dapat mencari aliran apa yang seharusnya ditonjolkan pada dekad 1990an. Hasilnya, dekad tersebut tidak melahirkan penulis-penulis hebat yang membuka aliran baru. Penulis baharu susah nak cari makan, tambahan buku-buku skrip teater tidak lagi banyak diterbitkan. Tiada lagi pertandingan menulis drama-drama. Penulis lama pula sibuk mencari aliran baharu yang hendak ditonjolkan. Akibatnya, dekad ini masing-masing mencari dan meraba-raba mencari hala tuju. Sudahnya, dekad ini, kerjanya mementaskan karya-karya lama yang diberi nafas baharu melalui teknik pengarahan yang berbeza.

2000an. Aku kira Malaysia pada dekad ini sudah mula mencari aliran baharu yang bersifat komersil. Mereka sudah main muzikal. Haha. Titik tolak kejayaan muzikal adalah daripada bertitik tolak dari kejayaan pementasan teater mega Muzikal Puteri Gunung Ledang tulisan Adlin Aman Ramli dan komposer oleh Dick Lee. Terdapat beberapa pementasan teater muzikal tempatan yang pernah dipentaskan di Istana Budaya sebelum PGL. Antara yang dikatakan menelan bajet besar tetapi pulangan yang sedikit adalah Muzikal Rubiah. Sebelum itu lagi sudah dipentaskan Muzika Tanah Air Api Angin oleh Hatta Azad Khan. Disebabkan kegagalan untuk memberikan impak yang maksima dan wow, aku kira teater ini bukan menjadi titik tolak kepada perkembangan aliran baru dalam dekad 2000an. Aku tetap mengatakan bahawa PGL adalah titik tolak bahawa semua orang kena buat muzikal selepas ini. (daa~~). Akibat dari PGL dan pengaruh besar produksi yang mementaskan PGL inilah yang menyebabkan ramai orang mahu mementaskan muzikal. Maka lahirlah beberapa muzikal selepas itu. Sampai semua orang mahu (atau wajib?) buat muzikal. Karya besar A.Samad Said, Lantai T.Pinkie juga digoda untuk dijadikan muzikal juga. Itu belum lagi dikira Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang turut dimuzikalkan dan beberapa karya picisan lain yang turut menerima tempias muzikal. Mereka kata perlu beyond dan meniru seperti West End dan Broadway. Teater di sana maju, kata mereka. Oleh itu aku mahu petik kata-kata dari Edward Albee (penulis US) yang mengatakan bahawa Broadway is a wasteland. So, lets not talk about it? Jadi, apa cer sekarang ni?

Selain itu juga, di akhir dekad 2000an, telah datang satu fenomena mementaskan karya durasi pendek. Beberapa organisasi telah mengadakan persembahan karya-karya pendek seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Festival Drama 10 Minit, KLPAC dengan Festival Short+Sweet, Kakiseni dengan penganjuran pertandingan penulisan karya pendek kurang 10 minit yang dikenali sebagai Kakiscript Competition. Hujung tahun ini juga sempat ASWARA mementaskan beberapa karya-karya pendek dalam Emotif. Rumah Anak Teater dengan Projek KoKen Vol 1&2 pada bulan Januari dan Ogos tahun 2009. Aku kira untuk pembukaan dekad 2010an, karya-karya pendek akan mengambil alih kegilaan mementaskan teater selain kegilaan mementaskan karya-karya teater muzikal.

Aku cuma mengenal teater pada tahun 2003. Pada masa itu baru hendak berjinak-jinak menjadi pelakon. Tidak ada pengalaman langsung membuat dan menonton pada ketika itu. Kosong. Sangat kosong dan tak tahu apa-apa tentang teater. Sehinggakan takdir yang Tuhan beri aku gagal di peringkat degree Teknologi Maklumat (IT) membuatkan aku mencari jalan baharu untuk terus belajar dan aku memilih teater. Dan syukur ke hadrat Ilahi, jalan itu terbuka dengan luas untuk aku lalui. Dalam 6 tahun tersebut, banyak benda yang aku belajar mengenai teater. Oleh itu, sukalah aku memberikan sepuluh teater yang aku pernah tonton mengikut ranking dari atas ke bawah.

1. Monolog Sang Serigala (Produksi PELAKON UM. Pengarah: (tak Ingat) Penulis: (Tak Ingat) Lakonan: Rosdeen Suboh)
Kekuatan teater ini adalah dari segi lakonan yang begitu provokatif sifatnya. Rosdeen Suboh boleh aku katakan dia sebagai Thespian. Dia bukan lagi pelakon tetapi seorang thespian. Lakonannya yang provokatif seolah-olah membawa penonton kepada satu anjakan pemikiran yang lain yang merelakan dan membenarkan semuanya tanpa mengira halal haram.

2. Air Con (Produksi: Instant Caf?Theatre Company. Pengarah: Jo Kukhatas & Zalfian Fuzi. Penulis: Shanon Shah. Lakonan: Zahiril Adzim & Amerul Afendi)
Teater ini adalah antara teater yang aku pergi menonton seorang diri. Penulisannya kemas dan teratur dengan gaya pengarahan yang unik berbanding teater Melayu yang biasa dipersembahkan di sekitar KL seperti MATIC, Panggung Bandaraya DBKL etc (tidak termasuk di KLPAC). Lakonan Amerul Afendi sangat mengesankan aku. Aku kira, dia adalah pelakon yang hebat setakat ini yang dimiliki Malaysia. Patut diberikan pingat Datuk setelah dia bersara nanti. Menyentuh isu-isu sensitif seperti racism, gay, kejatuhan institusi sekolah di Malaysia dan sebagainya dengan cara yang menarik.

3. Wangi Jadi Saksi (Pengarah&Penulis: U-Wei Hj Shaari)
Teater ini aku tonton di belakang pentas dan juga di depan pentas. Untuk beberapa pementasan terawal, aku bekerja sebagai krew (sekadar menggantikan tempat kawan aku) dan aku memilih satu hari lain untuk aku menonton sebagai penonton yang duduk di kerusi penonton. Teater ini unik bagi aku kerana ianya berani bermain dengan sejarah yang sedia tertulis. U-Wei mengambil petikan sejarah dan membuat interpretasi sendiri mengenai kematian Jebat yang sebenarnya dilakukan oleh Pateh Karma Wijaya. Dang Wangi yang menjadi satu-satunya saksi pada ketika suaminya Jebat dibunuh, suara aduannya tidak didengar memandangkan dia hanyalah dayang istana (marhaen). Sedangkan Pateh Karma Wijaya pula adalah orang istana (borjouis). Tambahan lakonan dari segi ensemble produksi ini sangat mantap.

4. Wajah Lumpur (Produksi Fantasy Studio. Pengarah, Penulis & Pelakon: Aminah Rhapor)
Sebuah tragedi moden garapan Aminah Rhapor. Dia pandai menyulam cerita. Teknik naratif ini aku kira hampir menyamai (ingat ya, hampir ?tidak begitu dekat dan tidak begitu jauh) dengan naratif Oedipus Rex. Aku hampir menitiskan air mata melihat kematian demi kematian disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Lakonan Aminah Rhapor seharusnya mendapat pujian. Malangnya pementasan teater ini, tidak ramai penonton yang hadir pada ketika itu. Malam yang aku tengok, MTC tidak penuh. Dan khabarnya begitu juga dengan malam-malam yang selainnya.

5. Ka-Si-Pe-Cah/Break-Ing (Produksi: Tak ingat)
Teater ini ada tiga karya tetapi suka aku menyatakan bahawa aku suka karya kedua. Aku tidak ingat tajuknya tetapi dijayakan oleh kumpulan berbangsa Cina. Semua pelakonnya berbangsa Cina termasuk pengarahnya juga. Ini adalah pementasan teater bukan Melayu yang aku lihat aku ketawa sampai pening kepala. Teater ini juga aku lihat seorang diri. Dia bukan sahaja parodikan isu bahasa, tetapi lenggok bahasa lama dalam cerita P.Ramlee, shot kamera melalui pancaran projector yang dilakukan melalui bloking pelakon atas pentas. Sumpah, ini teater yang aku tonton dan membuatkan aku ketawa sampai pening kepala.

6. Jerejak (Produksi: UiTM. Pengarah&Penulis: Syahrul Fithri Musa)
Teater ini memerlukan aku peka dengan setiap baris dialog yang dilemparkan. Saat pertama dipentaskan, aku kurang mengerti akan maksud penulis/pengarah. Hanya setelah membacanya dalam bentuk teks barulah aku faham. Tetapi aku kira, persembahan ini membuatkan aku belajar untuk perlu cepat membaca makna di atas pentas kerana pentas bukan DVD/VCD yang boleh diulang-tayang. Isu Islam, Asia Barat dan sekutu Zionis dicernakan melalui dua watak yang mewakili Islam yang berlainan fahaman (mazhab ?Whateva it is). Seharusnya perpaduan di dalam Islam itu yang diambil kira jika tidak orang asing akan mengambil bahagian untuk lebih memudaratkan agama Islam. Itu yang aku dapat.

7. Muzikal Puteri Gunung Ledang (Produksi: Enfiniti Production. Pengarah Zahim Albakri&Adlin A.R. Penulis: Adlin A.R. Pelakon: Tiara Jacquelina & Stephen Rahman-Hughes)
Teater skala besar ini aku suka kerana pementasannya juga memberikan impak skala besar sesuai dengan modalnya. Bukan macam teater muzikal yang lain, modal besar tetapi impak kecil. Jadi aku kira, PGL adalah teater modal besar dan impak juga besar.

8. Mak Yong Titis Sakti (Produksi: KLPAC. Pengarah: Zizie Zulkifli)
Uniknya pementasan ini adalah kerana aku melihat Mak Yong tetapi berdasarkan teks Shakespeare. Oleh sebab karya agung biasanya hidup melangkaui zaman, batas negara, kaum dan agama maka, tidak hairanlah jika Midsummer Night's Dream ini berjaya diangkat ke dalam bentuk pementasan Mak Yong pula. Zizie bijak mengambil plot cerita yang seharusnya dipilih untuk dimasukkan di dalam pementasan Mak Yong Titis Sakti. Tidak semua plot cerita dimasukkan. Hanya beberapa babak yang dimasukkan untuk mengekalkan kesan saduran dari teks Shakespeare.

9. MYTH (Mencari Yang Telah Hilang) (Produksi: KL Fringe Festival. Pengarah/Pereka/Penulis: Hamzah Tahir)
Teater ini adalah teater paling pelik yang pernah aku tonton. Setnya di tepi bangunan DBP (bukan dalam panggung teater tetapi di luar bangunan. Bersebelahan bilik pencawang TNB). Tiada lampu pentas (sekadar lampu dari tiang jalan, lampu suluh dan lampu kereta), tiada system audio yang canggih (kecuali pemain cakera melalui kereta dan juga pembesar suara hailer bagi menggantikan mickrofon) kostumnya putih dan dibalut dengan plastik. Pergerakan pelakon yang pelik tetapi mempunyai gerakan yang begitu konsisten. Secara keseluruhan, teater ini provok audien melalui imej-imej yang ditampilkan. Membaca karya Hamzah aku kira perlu dibaca melalui imej-imej yang ditonjolkan. Sumpah aku tak faham masa pertama kali menonton tetapi aku kagum dengan kepelikan yang ditonjolkan itu. Dan itu sudah cukup untuk aku terus kagum (walau aku tak faham. Kerana tak faham itu indah. Tapi kalau terus tak faham, itu parah).

10. Stabil (Produksi: Rumah Anak Teater. Pengarah/Penulis: Fared Ayam)
Bestnya karya ini adalah kerana dialog-dialognya yang witty dan mencuit hati. Dia tidak menggeletek untuk membuatkan aku tertawa tetapi cukup sekadar mencuit membuatkan kita tertanya. Tambahan lakonan Amerul Afendi yang dibawa itu agak bingai-bingai sedikit.

Ini adalah top 10 yang aku buat sekadar menghabiskan sisa-sisa tahun 2009. Mungkin ranking ini akan berubah-ubah mengikut selera dan kehendak aku sendiri. dan mungkin juga senarai-senarai ini ada yang akan terkeluar dan senarai lain yang akan masuk jika terdapat beberapa perubahan dari segi pemikiran dan ideologi. (mana tahu tiba-tiba aku minat muzikal pulak, maka semua senarai teater akan berubah kepada muzikal sahaja). Semua yang aku senaraikan ini adalah karya-karya baru yang dipentaskan sejak aku kenal teater. Karya-karya lama yang dipentaskan kembali tidak disenaraikan. Harap maaf. Kecuali pementasan Mak Yong Titis Sakti, ianya diadaptasi dari karya W.Shakespeare Midsummer Night's Dream. Pementasan ini tersenarai kerana keunikan bentuk pementasannya yang membuatkan ianya seperti original Mak Yong dan bukan saduran dari Shakespeare. Ada dua karya pendek iaitu MYTH dan Stabil. Kedua-dua karya ini dipentaskan pada malam yang berbeza oleh produksi yang berbeza. Selainnya karya-karya panjang. Malangnya semua karya berbahasa Melayu. Maaf, aku tidak fasih lagi berbahasa Inggeris. Sekadar faham sendiri-sendiri bolehlah. Nak lebih-lebih tak reti aku.

Lagi satu, pementasan yang aku rasa best tapi disebabkan aku terlibat di dalamnya sebagai tenaga kreatif, maka ianya tidak dapat di-ranking-kan. Nanti takut ada unsur-unsur bias, kecuali teater Wangi Jadi Saksi, itu aku sekadar menggantikan tempat kawan aku sahaja sebagai krew props. Tidak terlibat langsung sebagai tenaga kreatif.

Akhir kata, perjalanan aku masih panjang lagi. Semua data-data yang aku tulis di atas adalah berdasarkan pembacaan aku melalui buku-buku dan pemerhatian. Penulisan ini berbentuk peribadi dan bukannya untuk kamu semua mengikuti dan bersetuju. Jika bersetuju tak mengapa, jika tidak bersetuju pun tidak mengapa.

Selamat tinggal 2009 dan selamat datang 2010.

p/s: azam tahun baru: selesaikan azam tahun baru yang tahun lepas punya

7 Komen:

pari-pari menyanyi said...

bang syali, nk tanyer,, cam ner abg dapat idea hasilkan naskah skrip??
ilham tu dtg on da spot or perlu masa?

fadz said...

wah, byk juga teater yg vit terterakan yg tidak sempat aku tgk.

slm thn baharu.

daTT said...

ini btol2 lama lu tak ngadap ni....

hahahahahahaha......

purple puppet said...

good;)

Pegawai Khalwat said...

6 tahun ko kenal teater macam 16 tahun ko kenal teater.

Untungnya banyak show yang dapat kau tengok, tambah ilmu dan pengalaman.

Aku kat sini, nak tengok show orang pun susah. Takkan nak tengok show sendiri?

Mai la buat show kat sini.... aku ejas tempat free. Lain2 hang tanggung la.

Vitamin said...

pari-pari menyanyi,
ilham datang secara tiba-tiba. tak tahu macam mana dia muncul. pernah duduk dpn komputer nak perah idea. tapi tak keluar jugak. huhu..

fadz,
ala, ni semua show kecil2an. mana dapat publisiti gile gempakz macam kat IB. hehehe.. dalm senarai 10 tu ada satu lagi tak masuk.. Begeikoh. show dari jepun buat kat ASWARA. itu pun kategori gempak juga la..

datt,
tu la pasal. ini kes dah tak boleh tidur dan tak tau nak buat apa.. hahaha..

purple puppet,
tq.

pegawai Khalwat,
akan datang tapi nak kena tunggu dulu. nak fikir gak nak buat show apa. takut nanti bawak show yg bukan2. buat malu je. hehehe.. jatuh reputasi..

JanuskieZ said...
This comment has been removed by a blog administrator.